Kenapa Ibu Bapa Perlu Segera Bacakan Puisi Kepada Anak-Anak? 21 October 2017 – Posted in: Buzz

Ramai ibu bapa yang gemar membacakan buku bergambar dan buku kad bergambar kepada anak-anak kecil mereka setiap hari. Tapi adakah anda tahu bahawa puisi (poetry) juga boleh memberikan manfaat kepada kanak-kanak?

Membacakan puisi kepada anak kecil anda akan memberikan manfaat yang sangat banyak di masa akan datang. Terdapat banyak sebab mengapa puisi penting bagi pembaca kanak-kanak.

Manfaat Puisi Untuk Kemahiran Membaca

Kajian menunjukkan puisi dapat mendorong kanak-kanak membaca, membina kesedaran fonemik dan membina kemahiran penting seperti perbendaharaan kata, kelancaran, ekspresi, dan penulisan.

Kesemuanya adalah penting untuk kanak-kanak menjadi pembaca yang lancar.

Menurut Reading Rockets, pembaca yang baik adalah pembaca yang mempunyai kesedaran fonemik, memahami prinsip abjad – dan dapat menggunakan kemahiran ini dengan cepat dan lancar.

Mereka juga mempunyai perbendaharaan kata yang luas, mempunyai kemahiran sintaksis dan tatabahasa, serta menghubungkan pembacaan dengan pengalaman mereka sendiri.

Maka dengan cara mendedahkan puisi kepada anak-anak anda, baik melalui pembacaan atau penulisan, kita akan membantu mereka memperoleh kemahiran asas sebagaimana di atas yang membawa kepada kualiti dalam pembacaan di masa hadapan

Puisi Mendidik Emosi, Mencetus Kreativiti

Puisi juga merupakan cara yang baik bagi kanak-kanak meluahkan perasaan mereka, terutamanya sewaktu mengalami situasi yang mencabar emosi.

Ia membantu kanak-kanak memahami diri mereka sendiri dan orang lain,  dan membolehkan mereka memupuk sifat-sifat murni seperti kasih sayang dan empati.

Salah satu sebab mengapa puisi dapat membantu kanak-kanak merasakan empati dan mengungkapkan kreativiti ialah terdapat ruang di dalamnya untuk tafsiran peribadi (personal interpretation).

Membaca puisi dengan kuat juga dapat membantu anda menyelami puisi tersebut dengan lebih mendalam, dan mengungkap makna tersirat yang terkandung dalam puisi tersebut.

Di Mana Ingin Bermula?

Dorongan untuk belajar – khususnya dalam puisi – boleh bermula sejak mereka masih kecil.

Banyak buku kanak-kanak seperti buku bergambar dan buku boardbook ditulis dalam irama sajak dan puisi.

Kalau di Malaysia, penerbit seperti DBP, Institiut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dan PTS Publication banyak mengeluarkan buku-buku puisi yang sesuai untuk kanak-kanak.

Adalah penting untuk memilih buku puisi untuk kanak-kanak yang lucu, menarik, atau mempunyai kaitan dengan pengalaman mereka kerana ia akan dapat membantu meningkatkan kemahiran literasi dan memupuk motivasi mereka untuk membaca.

Penutup

Menulis dan membaca puisi adalah satu usaha yang bermanfaat bagi setiap umur dan mempunyai banyak kelebihan.

Menggunakan puisi sebagai alat dalam pendidikan kanak-kanak pula sangat membantu dalam perkembangan mereka.

Ia juga akan menjadi aktiviti yang menguatkan literasi dengan cara yang menyeronokkan serta  membantu kanak-kanak untuk belajar dengan cara yang berbeza.

Selamat berpuisi!

Terjemahan dan olahan dari artikel asal bertajuk The Benefits of Children Reading Poetry tulisan Lydia Olsen yang diterbitkan menerusi The Daily Herald bertarikh 1 Oct 2017.