Tahniah Pemenang Anugerah Nobel Sastera 2017! 5 October 2017 – Posted in: Chronicles from Mandala
Tahniah buat Kazuo Ishiguro. Penulis Inggeris berdarah Jepun ini baru sahaja dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Nobel Sastera bagi tahun 2017. Akademi Sweden yang merupakan penyelenggara bagi Anugerah Nobel ini telah mengumumkannya secara rasmi pada hari ini.
Apa yang menarik, peminat dan pemerhati sastera di seluruh dunia tahun ini menantikan apakah pula kejutan Akademi Sweden selepas tahun lalu, Bob Dylan yang merupakan seorang pemuzik memenangi anugerah berprestij ini.
Mungkin bukan kerana hanya dia seorang pemuzik, tetapi tindakan Dylan mendiamkan diri berminggu-minggu selepas dinobatkan sebagai pemenang termasuk tidak menghadiri majlis penganugerahannya menambahkan kontreversi dalam pemilihannya sebagai pemenang.
Namun pengumuman hari ini telah menutup segala andaian dan penantian.
Calon Konvensional
Kazuo Ishiguro yang juga merupakan calon konvensional telah mengatasi nama-nama besar lain seperti Haruki Murakami, Atwood dan Ngugi Wa Thiong’o yang disebut-sebut calon yang berpotensi untuk memenangi anugerah tersebut.
Beliau telah menerbitkan tujuh buah buku sejak 1982 dan buku terbarunya berjudul The Buried Giant, diterbitkan pada tahun 2015 lalu.
Bahkan beberapa buah bukunya telah pun di adaptasi ke dalam filem seperti Never Let Me Go (2010), The Remains Of The Day (1993) dan The White Countess(2005).
Bukan Pengiktirafan Pertama
Anugerah Nobel Sastera bukanlah satu-satunya penghargaan yang pernah diterima oleh beliau. Sebelum ini Kazuo Ishiguro empat kali pernah dicalonkan untuk Man Booker Prize, dan akhirnya muncul sebagai pemenang pada tahun 1989 dengan karya The Remains of the Day.
The Times juga telah mengiktiraf Ishiguro sebagai salah satu dari 50 penulis Inggeris paling hebat sejak 1945 selain karya Never Let Me Go disenaraikan sebagai 100 novel Inggeris yang wajib untuk anda baca.
Tahniah sekali lagi Kazuo Ishiguro!