Kenapa Saya Berhenti Membaca, Mendengar Dan Menonton Berita –  Dan Kenapa Anda Perlu Buat Perkara Yang Sama? 23 October 2017 – Posted in: Essays

Artikel ini telah ditulis oleh Alejandra Quintero, Co-Founder of The Hansome Pig.

Saya percaya bahawa membaca berita adalah lebih teruk keadaanya daripada yang tidak membacanya langsung.

Tiada bukti yang menunjukkan membaca berita membuatkan kita bertambah bijak, lebih pandai membuat pilihan, lebih berpengetahuan, dan kononnya menjadikan kita rakyat yang lebih baik.

Apapun alasannya, anda akan menyedari nanti bahawa anda tidak memerlukan berita-berita tersebut dan anda tidak kisah pun apabila mula tidak lagi membacanya nanti.

“Mereka yang bernasib baik di kalangan kita telah mengetahui bahayanya banyak makan dengan melampau dan telah mula untuk mengatur diet. Tetapi kebanyakan kita masih belum faham bahawa kesan berita terhadap minda adalah sepertimana gula kepada tubuh. ”

-Rolf Dobelli

Sudah lama saya ingin menulis tentang topik ini. Sebabnya yang paling utama, adalah kerana saya telah mendapat manfaat yang sangat banyak darinya.

Meningkatkan Kualiti Diri

Sejak saya berhenti mendengar dan membaca berita, saya rasa lebih mudah untuk fokus kepada banyak perkara lain.

Saya dapat memilih perkara yang ingin saya fikirkan, tabiat membaca saya menjadi lebih baik—dapat menikmati bacaan yang panjang, perlahan, dan mencabar minda.

Saya juga ada lebih banyak masa untuk mendapatkan pandangan yang jauh dari pelbagai sumber dan yang penting saya menjadi lebih optimistik.

Dapatan Kajian Terhadap Aktiviti Membaca Berita

Perkara yang berlaku ini menyebabkan saya memilih untuk membuat sedikit kajian tentang hal yang ini dan hasilnya saya sangat terkejut apabila berjumpa dengan banyak hujah yang menyokong naluri saya.

Saya asalnya menjangkakan akan menemui hujah bahawa tindakan saya ini tidak relevan, mengelirukan, manipulatif dan membuang masa – tetapi apa yang saya temui adalah sebaliknya.

Aktiviti ini dikatakan menambah toksik kepada badan, mengubah struktur otak, membunuh kreativiti, meningkatkan kesilapan kognitif dan menghalang pemikiran. Jika begini dapatannya, ia adalah satu kesimpulan yang penting.

Rolf Dobelli menggambarkan bahawa membaca berita tidak seperti perhatian khusus (limited attention) yang kita perlu berikan sewaktu kita membaca isi yang panjang, mendalam, intelek, perlahan dan tenang  – yang juga merupakan aspek yang kita perlukan untuk berfikir.

Otak kita telah dihubungkan untuk mudah memberi perhatian kepada cerita yang jelas, besar, berskandal, dramatik dan mempunyai jalan cerita.

Inilah sebabnya kita boleh menerima kuantiti berita tanpa sebarang had dan ia adalah seperti gula-gula berwarna untuk minda anda.

Bukan Hanya Sekadar Berita

Dan bukan hanya media berita, teknik menarik perhatian ini dapat dilihat di mana-mana; dari propaganda kerajaan hingga pemasaran korporat.

Kita melihatnya sepanjang masa di Facebook dan Twitter, setiap penulisan cuba mendapatkan perhatian, tidak banyak bertanya tetapi menggoda kita bagi mendapatkan satu klik.

Bagaimana Otak Kita Berfungsi?

Hari ini kita tahu bahawa otak dewasa kekal neuroplastik, ini bermakna ia mempunyai keupayaan yang menakjubkan untuk menyesuaikan diri dan mengubah struktur dan fungsinya mengikut pengalaman, persekitaran dan tingkah laku.

Oleh itu, adalah membimbangkan apabila kita menghabiskan begitu banyak masa setiap hari memandang gambar, video, tajuk utama dan teks untuk kata kunci yang berkaitan; serta pelbagai aktiviti lain di media sosial.

Dengan begitu banyak maklumat, otak kita harus membentuk jalan pintas untuk menangani beban dan gangguan tersebut, dan menyebabkan kita menghadam berita sewaktu membuat kerja-kerja lain.

Kita membaca akhbar semasa bersarapan, kita mendengar berita semasa memandu sambal memikirkan tentang hal yang mendatang, kita menonton berita di tv sambil memilih-milih saluran, dan kita melayari laman Twitter semasa kerja.

Kita mengajar otak kita untuk mengabaikan halangan itu bagi melakukan kerja-kerja tersebut dengan hanya separuh fokus. Berita akan mengurangkan perhatian dan mengurangkan pemahaman kita, dan lebih banyak kita menerimanya, lebih kuat tabiat ini akan sebati dalam diri.

Pesimistik Terhadap Individu Dan Masyarakat

Walaupun ia kedengaran amat teruk, saya merasakan bahawa ia bukan perkara utama yang perlu kita risaukan. Bagi saya, ianya semata-mata tentang sikap negatif.

Saya percaya bahawa yang lebih besar ialah kita mengabaikan kesan kandungan pesimistik terhadap individu dan kesedaran masyarakat.

Memetik kata-kata James Clear : “Apabila kamu menerima maklumat yang terlalu berlebihan tentang perkara yang kamu tidak dapat bertindak ke atasnya, atas sebab itulah timbul kata-kata seperti ‘dunia sudah terlalu teruk’ atau ‘seseorang perlu merubahnya’. Jadi kenapa anda berusaha ke atasnya sedangkan kesemuanya di luar kawalan anda?”

Kemiskinan, kelaparan, pembunuhan, peperangan, keganasan, kemalangan, mahupun gosip selebriti. Hakikatnya saya tidak perlu tahu tentang perkara ini dan anda juga tidak.

Saya tahu, anda mungkin berfikir bahawa berita itu perlu kerana ia memberikan kita maklumat mengenai dunia, tetapi pertama sekali, tanya diri anda soalan-soalan ini;

Adakah ia benar-benar memperbaiki hidup anda? Adakah ia memberi kesan kepada anda secara peribadi? Keluarga anda, perniagaan anda atau kerjaya anda?

Adakah ia representasi sebenar dunia kita? Adakah ianya menggalakkan anda berfikir? Adakah ia menggalakkan anda bertindak? Cuba anda pertimbangkan.

Maklumat vs Ilmu

Maklumat hanya penting jika ia membantu kita membuat, membina, berkongsi atau mengalami sesuatu yang hebat.

Dunia hakikatnya tidak memerlukan orang pasif yang hanya dipenuhi dengan maklumat, sebaliknya ia memerlukan orang yang proaktif untuk menjadi seorang yang berpengetahuan – berilmu.

Jadi mula dalami cabang ilmu yang anda ingin tekuni.

Fikirkan Penyelesaian Bukan Masalah

Jika minda anda dipenuhi dengan pemikiran tentang bagaimana anda boleh mati dan apa yang boleh menjadi salah, maka anda tidak boleh memikirkan cara untuk hidup dan apa yang betul.

Sekiranya anda mengambil tahu tentang sesuatu masalah, tidak mengapa kerana anda sedang mencari penyelesaian.

Setiap masalah adalah rumit, dan satu-satunya cara untuk memahaminya ialah dengan membaca buku dan bahan bacaan ilmiah yang menjurus kepada permasalahan anda. .

Jadilah orang yang berpengetahuan, bukan hanya sekadar orang yang bermaklumat.

Sebagai permulaan, cuba untuk membaca buku, majalah, artikel ilmiah dan tonton video yang memberi inspirasi. Jangan takut untuk tidak mengetahui tentang berita-berita sensasi terkini.

Kemudian peringkat yang seterusnya beranikan diri untuk membincangkan hal-hal yang penting dan memulakan perbualan yang lebih bermakna.

Pilihlah Apa Yang Perlu  Untuk Anda Dengar Dan Baca

Kita memerlukan lebih banyak editor dan wartawan yang berusaha keras mendapatkan cerita yang bermakna, tetapi kita tidak akan dapat mencapai hasrat tersebut jika kerja kita hanya berterusan berkongsi kandungan sampah mereka di Facebook.

Kita memerlukan orang yang menghargai kandungan yang mencabar fikiran. Jadikan apa yang anda klik, masa anda, perhatian anda, dan duit anda menjadi sokongan untuk memilih kandungan yang berwibawa dan berkualiti.

Terima kasih kepada Rolf Dobelli. Esei beliau yang bertajuk “Avoid News, towards a healthy news diet” yang telah memberi inspirasi kepada saya untuk menulis artikel ini. Bacaan yang sangat disyorkan.

Terjemahan dan olehan dari artikel asal bertajuk Why I Stopped Reading/Hearing/Watching the News tulisan Alejandra Quintero menerusi blog The Handsome Pig bertarikh 6 Oct 2014.