Parti Pejuang: Apakah Yang Menjadi Motivasi Tun Mahathir? 18 August 2022 – Posted in: Essays

Oleh: Ruhan Shahrir

Ikhtisar

Makalah ini adalah suatu percubaan sederhana untuk memahami tindak-tanduk politik Tun Mahathir dalam perencanaan beliau menubuhkan Parti Pejuang, dengan menggunakan kaedah sosiologi yang menekankan faktor struktur sosial dan psikologi menerusi penelusuran konsep “nama” yang tersulam dalam budaya Melayu.

Bahagian I

Dalam membuat analisis mengenai sesuatu kejadian atau fenomena, unsur-unsur struktur sosial yang terdapat di dalam masyarakat sering dijadikan pijakan terutamanya oleh sosiologis dan antropologis untuk memahami kejadian yang berlaku itu.

Struktur sosial secara ringkasnya adalah pola-pola hubungan yang telah mapan yang terbentuk di dalam masyarakat dan menjadi pengatur kepada sesuatu hubungan antara individu atau kumpulan-kumpulan sosial yang wujud di dalamnya. Umumnya struktur sosial ini diwakili oleh set-set institusi yang terbentuk melalui proses interaksi antara manusia dengan manusia serta antara manusia dan persekitarannya dalam suatu jangka masa yang panjang.

Untuk memahami dengan lebih mudah apa itu struktur sosial, contoh diperlukan. Antara struktur sosial dalam masyarakat yang sudah tersedia ada dan telah pun mapan adalah seperti institusi keluarga, kelas sosial, gender, kumpulan etnik, bangsa, agama, demografi, wilayah penempatan, bahasa, sistem budaya, sistem ekonomi, sistem politik, negara, undang-undang dan dewasa ini teknologi telah turut menjadi sebahagian daripada struktur sosial serta set-set hubungan dan institusi yang mengatur perjalanan kehidupan manusia dan masyarakat.

Walau pun ada struktur-struktur sosial ini sudah mapan, bukan bermakna ianya tidak mampu untuk berubah tetapi perubahan yang berlaku terlalu perlahan dan akan mengambil masa yang lama serta kemungkinan besar terlalu kecil untuk memberi kesan kepada masyarakat.

Malahan kecenderungan struktur sosial ini mengukuh adalah lebih besar dari berubah. Apabila ianya sudah mapan dan diterima oleh sebahagian besar daripada masyarakat sebagai norma, ia cenderung menjadi semakin kukuh sehingga sukar untuk diubah kecuali berlaku semacam suatu revolusi atau anjakan pemikiran yang besar dalam masyarakat. Intinya, struktur sosial cenderung menguat dan sangat mempengaruhi fikiran, tindakan, nilai, norma dan etos yang wujud dalam masyarakat.

Namun begitu, struktur sosial bukan satu-satunya alat untuk menganalisis sesuatu kejadian itu. Terdapat juga unsur di luar struktur sosial yang melibatkan tekad peribadi yang muncul dari dalam diri individu itu sendiri hasil daripada pengalaman diri dan proses kehidupan yang dijalani yang membentuk kehendak-kehendak tertentu yang bersifat psikologis di luar kekangan pengaruh struktur sosial tapi saling berkait.

Justeru, apa kena-mengena semua ini dengan kejadian penubuhan Parti Pejuang Tanah Air yang telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir baru-baru ini? Dua dimensi penting iaitu struktur sosial yang bersifat sosiologis dan tekad peribadi yang bersifat psikologis, pada pandangan saya diperlukan untuk memahami dengan lebih tuntas kejadian yang melahirkan Parti Pejuang Tanah Air atau singkatannya Pejuang.

Pendekatan sosiologis-psikologis atau sosio-psikologi ini akan menumpukan kepada Tun Mahathir. Ini wajar sahaja kerana beliau bukan sahaja menjadi sosok utama Pejuang, malahan beliau jugalah yang bertindak untuk mendirikan dan membuat perisytiharan penubuhan Pejuang sebagai sebuah parti politik setelah saman beliau ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Setiap sesuatu tindakan sosial atau politik yang dilakukan itu umumnya akan disertai dengan motivasi pelakunya—apa yang memotivasi atau mendorong Tun Mahathir untuk menubuhkan satu lagi parti Melayu-Pribumi, walhal sebelum ini beliau sendiri telah beberapa kali menyatakan kekesalan beliau kerana terlalu banyak parti-parti Melayu sehingga menguras kuasa politik Melayu di negara Malaysia ini.

Sebelum kita melakukan analisis, mengetahui latar belakang sejarah adalah suatu kemestian. Sejarah adalah lantai pijakan yang akan memberi konteks serta asas kepada kelahiran sesuatu kejadian itu. Untuk menjejaki sejarah khususnya sejarah sosok seperti Tun Mahathir yang berumur hampir satu abad tentulah tak mungkin dilakukan dalam tulisan yang terhad ini. Tapi cukup untuk kita mengambil beberapa peristiwa sejarah yang relevan dalam konteks penulisan tentang kelahiran Pejuang.

Pejuang sebagai sebuah parti politik baru, lahir selepas Mahkamah Tinggi menerima permohonan Tan Sri Muhyiddin untuk membatalkan saman Tun Mahathir berhubung dengan kes perlucutan keahlian Tun Mahathir dan plaintif lainnya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang mereka dakwa sebagai tidak sah. Ekoran daripada pembatalan saman Tun Mahathir oleh Mahkamah Tinggi inilah suatu perisytiharan penubuhan sebuah parti baru diumumkan oleh Tun Mahathir.

Apa yang menarik daripada sidang media Tun Mahathir ketika beliau melahirkan hasrat untuk menubuhkan parti baru ialah parti itu nanti akan “berasaskan perjuangan untuk orang Melayu dan pribumi”.

Dan lima hari kemudian ketika Mahathir menukilkan puisi yang berjudul “Parti Baharu – Pejuang” menerusi blog beliau, sekali lagi ditegaskan bahawa parti yang dinamakan Pejuang itu adalah sebuah parti “untuk selamatkan kita”.

Daripada “puisi” tersebut jelas kata “kita” itu merujuk kepada orang Melayu kerana keseluruhan “puisi” yang dimuat-naikkan itu adalah tentang keinginan Pejuang untuk menyelamatkan Melayu yang beliau lihat sebagai menuju kehancuran akibat rasuah. Pejuang ingin menebus kembali maruah bangsa Melayu kerana parti-parti Melayu yang berkuasa kini telah menyimpang dari asas perjuangan asal mereka demi kepentingan diri dan bukan lagi kepentingan bangsa Melayu.

Dari satu sisi, tindakan Tun Mahathir ini kelihatannya seperti dimotivasi oleh idea serta semangat kebangsaan Melayu—iaitu perasaan sayangkan bangsa sehingga mendorong keinginan untuk menyelamatkan bangsa Melayu dari kehancuran dan kehilangan hak akibat tindakan pemimpin-pemimpinnya yang berkuasa sekarang ini yang pada anggapan Mahathir mengamalkan rasuah dan gila jawatan serta wang.

“Menyelamatkan bangsa” adalah bingkai yang sering digunakan oleh nasionalis di banyak negara-negara lain sebagai suatu sarana untuk mengaut sokongan. Tun Mahathir dalam konteks ini tidak terkecuali. Bangsa sebagai salah satu dari struktur sosial yang wujud dalam masyarakat mempunyai pengaruh yang cukup kuat dalam menentukan tindakan politik dan juga meraih sokongan politik.

Namun begitu, secara umumnya menggunakan unsur bangsa sebagai suatu sarana untuk menggembleng sokongan akan menjadi lebih berkesan jika sekiranya kuasa politik sesuatu bangsa itu dirasakan terancam oleh sebahagian besar anggota bangsa tersebut. Apa yang dirasakan itu tidak semestinya benar tetapi “dirasakan” sebagai benar.

Kerana itu jugalah ketika Pakatan Harapan berkuasa terdapat siri-siri perhimpunan yang dianjurkan oleh parti-parti Melayu mendapat penyertaan serta sokongan sebahagian ramai daripada masyarakat Melayu. Ini adalah kerana wujudnya rasa bahawa kuasa politik Melayu terancam khususnya apabila parti yang dipimpin oleh etnik Cina iaitu DAP dilihat sebagai mendominasi kerajaan Pakatan Harapan. Sama ada DAP benar-benar mendominasi kerajaan Pakatan Harapan atau tidak, itu tidaklah penting. Apa yang penting ianya dilihat dan dirasakan sebegitu. Dan beberapa tindakan daripada DAP sendiri ketika menjadi kerajaan dahulu berkemungkinan membenarkan rasa itu.

Malahan Parti Melayu dalam Pakatan Harapan sendiri iaitu Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) akhirnya menyerlahkan keterpendaman Melayu1 mereka dengan menarik diri dari Pakatan Harapan sehingga mengakibatkan kerajaan tumbang.

Dan penarikan BERSATU daripada kerajaan Pakatan Harapan disambut pula oleh dua parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan PAS untuk sama-sama bergabung dan mendukung Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-lapan sehingga melahirkan Perikatan Nasional sebagai kerajaan baru Malaysia.

Dalam konteks ini ternyata struktur sosial dalam masyarakat yang datang dari unsur bangsa (serta agama kerana bangsa Melayu dan agama Islam telah melebur menjadi satu yang tak tercerai) sangat mempengaruhi tindakan sebahagian besar pelaku-pelaku politiknya. Dan tidaklah keterlaluan untuk dikatakan bahawa motivasi Tun Mahathir menubuhkan Pejuang, sebuah parti yang berteraskan Melayu adalah didorong oleh unsur kebangsaan Melayu yang merupakan struktur sosial paling dominan dan berpengaruh dalam masyarakat Malaysia.

Tun Mahathir sendiri dalam banyak kenyataan beliau percaya bahawa Malaysia masih memerlukan sebuah parti berteraskan Melayu untuk meraih sokongan daripada pengundi-pengundi Melayu khususnya. Kerana itulah juga untuk menghadapi Pilihanraya ke-14 yang lepas (PRU-14), Mahathir memilih untuk menubuhkan parti berteraskan Melayu melalui BERSATU dan ternyata ia merupakan suatu strategi yang tepat.

UMNO sebuah parti Melayu terbesar akhirnya tumbang setelah lebih daripada 60 tahun berkuasa dengan adanya sebuah parti Melayu (BERSATU) dalam Pakatan Harapan. Keberadaan BERSATU sebagai sebuah parti berteraskan Melayu dalam Pakatan Harapan memberi semacam keyakinan kepada sebahagian daripada pengundi-pengundi Melayu untuk memberi undi mereka kepada calon-calon Pakatan Harapan.

Namun kini, BERSATU sudah tidak lagi bersama Pakatan Harapan. Manakala DAP yang dirasakan sebagai pengancam kuasa politik Melayu dan penghalang kepada cita-cita kebangsaan Melayu yang terpendam sudah tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan.2

Kalau dilihat dari sudut ini jelas menunjukkan bahawa ancaman kemungkinan berlakunya perubahan terhadap struktur sosial yang datang dari bangsa dan kebangsaan (Melayu) yang dipercayai oleh ramai pemimpin politik Melayu sebagai unsur yang seharusnya menjadi teras kepada identiti dan keperibadian Malaysia sudah pun dilunakkan dengan terkeluarnya DAP dari kerajaan Persekutuan. Malahan cita-cita kebangsaan Melayu yang selama ini terpendam kini telah terbuka luas untuk dijadikan kenyataan dengan bergabungnya tiga parti Melayu dalam satu barisan pemerintahan.

Justeru, persoalannya sekarang ialah apakah relevannya Tun Mahathir menubuhkan sebuah lagi parti politik berteraskan Melayu yang hanya punya lima anggota parlimen sahaja? Kalau sebelum ini ketika menghadapi PRU-14 tentunya tindakan menubuhkan sebuah parti berteraskan Melayu (BERSATU) adalah wajar dan strategik kerana Pakatan Harapan memerlukan sebuah parti Melayu dengan sosok berpengaruh seperti Tun Mahathir untuk meraih sokongan pengundi-pengundi Melayu yang berada di atas pagar ketika itu. Dan dengan wujudnya sebuah lagi parti Melayu iaitu PAS yang berseteru dengan UMNO pada PRU-14 yang lepas, maka peluang Pakatan Harapan untuk menang akan lebih cerah dan ternyata keputusan PRU-14 membenarkan tindakan strategik ini.

Tetapi sekarang ini, ketiga-tiga parti berteraskan Melayu sudah pun bergabung dalam satu pemerintahan bersama melalui Perikatan Nasional. Dan populariti Tun Mahathir sendiri di kalangan masyarakat Melayu sama ada di bandar mahu pun di luar bandar menurut beberapa penganalisis politik tempatan semakin merudum pada ketika ini.

Justeru, dalam situasi politik yang sebegini, dengan mengambil kira jumlah anggota parlimen yang cuma lima orang sahaja bersama Tun Mahathir, manakala tiga parti berteraskan Melayu (BERSATU-UMNO-PAS) telah bergabung membentuk pemerintahan kerajaan kepimpinan Melayu, ditambah pula dengan sebahagian besar anggota-anggota BERSATU memilih untuk bersama Tan Sri Muhyiddin serta populariti Tun Mahathir sendiri sekarang ini sudah jatuh merudum di kalangan masyarakat Melayu, maka apakah relevannya untuk Tun Mahathir menubuhkan Pejuang?

Yang lebih tidak munasabah lagi ialah Tun Mahathir telah memutuskan untuk tidak bersama-sama dalam gabungan Pakatan Harapan buat masa ini walau pun Anwar Ibrahim sudah pun menyatakan kesediaan beliau untuk mempertimbangkan penyertaan parti baru Tun Mahathir itu dalam Pakatan Harapan. Dengan memilih untuk tidak bersama Pakatan Harapan khususnya ketika kempen Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Perak di Slim sedang berlangsung, calon sokongan Tun Mahathir tentunya akan kehilangan dukungan dan sokongan jentera pilihanraya dari parti-parti yang tergabung dalam Pakatan Harapan.

Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dan mahir dalam sepak-terajang politik Malaysia, adalah mustahil Tun Mahathir tidak tahu bahawa tiada parti politik di Malaysia ini yang boleh memenangi tampuk kekuasaan negara secara bersendirian. Takkan mungkin UMNO yang dianggap oleh Tun Mahathir sebagai sebuah parti kleptokrasi boleh ditumbangkan tanpa Pejuang bergabung dengan parti-parti lain. Takkan mungkin juga Tan Sri Muhyiddin yang dianggap oleh Tun Mahathir sebagai pengkhianat boleh dijatuhkan hanya melalui lima kerusi parlimen yang dimiliki oleh Pejuang. Mustahil Tun Mahathir tidak tahu semua ini.

Jadi, apakah sebenarnya motivasi Mahathir menubuhkan Pejuang? Hanya untuk melawan rasuah? Apakah parti-parti lain dalam Pakatan Harapan tidak melawan rasuah? Justeru, kenapa menubuhkan sebuah parti berteraskan Melayu di kala tiga lagi parti besar Melayu yang lain sudah bergabung dalam satu permuafakatan bersama dan kenapa pula Tun Mahathir memilih untuk tidak bersama-sama dalam gabungan pembangkang Pakatan Harapan yang lebih kuat? Kenapa beliau memilih untuk bersendirian?

Apakah sosio-psikologi Tun Mahathir dalam mengambil tindakan politik sebegitu rupa? Apakah yang menjadi motivasi Tun Mahathir dalam tindakan politiknya yang terkini?

Bahagian II

Dalam Bahagian I, telah diajukan bahawa dua dimensi penting yang wujud dalam masyarakat iaitu struktur sosial yang bersifat sosiologis dan tekad peribadi yang bersifat psikologis, adalah diperlukan untuk memahami dengan lebih tuntas tentang apakah motivasi Tun Mahathir menubuhkan Parti PEJUANG Tanah Air atau ringkasnya PEJUANG.

Melihat dari sisi struktur sosial, bahagian pertama tulisan ini telah mengajukan bahawa unsur bangsa dan kebangsaan Melayu adalah penyebab utama yang memotivasi Tun Mahathir untuk menubuhkan PEJUANG. Dalam konteks ini sosok seorang Tun Mahathir pertama-tamanya adalah sebagai nasionalis Melayu.

Di sini, timbul satu persoalan—kalau benar Tun Mahathir seorang nasionalis Melayu apakah keperluan untuk beliau menubuhkan satu lagi parti Melayu sedangkan sudah ada parti-parti Melayu yang lain? Bukankah dengan adanya satu lagi parti Melayu akan menyebabkan perpecahan di kalangan masyarakat Melayu itu sendiri? Bukankah sebelum ini Mahathir sendiri telah berhujah bahawa kewujudan terlalu banyak parti-parti Melayu hanya akan melemahkan kuasa politik orang Melayu? Kenapa kini Mahathir melawan kenyataan dari hujah beliau itu sendiri? Sebagai seorang nasionalis Melayu bukankah seharusnya beliau menyokong penyatuan parti-parti Melayu yang kini telah membentuk suatu gabungan politik di bawah kerajaan Perikatan Nasional yang memberikan kuasa politik yang lebih kuat kepada bangsa Melayu?

Tetapi ternyata tindakan politik Tun Mahathir menubuhkan PEJUANG berlawanan dengan sifatnya sebagai seorang nasionalis Melayu yang pernah bercita-cita untuk menyatukan parti-parti Melayu di bawah satu payung. Persoalannya ialah kenapa Tun Mahathir mengambil tindakan sebegini?

Dan seperti mana yang telah diajukan dalam bahagian pertama, mustahil Tun Mahathir tidak tahu bahawa menubuhkan satu lagi parti politik Melayu hanya dengan lima kerusi parlimen adalah suatu tindakan politik bunuh diri? Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dan telah bergelut dalam sepak-terajang politik berpuluh-puluh tahun, mustahil Tun Mahathir tidak tahu.

Jadi, kenapa beliau masih meneruskan tindakan bunuh diri politik ini?

Di sinilah kita memerlukan analisis daripada perspektif psikologi yang membentuk tekad peribadi seorang Tun Mahathir. Namun harus difahami bahawa tekad peribadi beliau yang bersifat psikologis itu masih terkait dan dipengaruhi oleh struktur sosial yang wujud dalam masyarakat beliau sendiri, masyarakat Melayu. Menganalisis dari sudut sosio-psikologi akan memberikan jawapan yang lebih tuntas dalam memahami tindakan politik Mahathir yang terkini.

Kalau kita menekuni beberapa fakta dalaman yang telah pun didedahkan oleh beberapa pimpinan politik BERSATU, jelas bahawa:

  1. Pertamanya, Tun Mahathir keberatan untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  2. Keduanya beliau juga tidak selesa untuk terus bekerjasama dengan DAP sebuah parti yang didominasi oleh etnik Cina.
  3. Ketiganya, beliau berhasrat untuk menyatukan semua parti-parti besar Melayu yang terpecah di bawah kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri.
  4. Keempatnya, beliau tahu tentang usaha-usaha untuk menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri dan juga usaha-usaha untuk menyingkirkan DAP daripada kerajaan pusat tetapi mengambil sikap membiarkan tanpa sebarang tindakan menghalang atau mengeluarkan arahan untuk menghentikan usaha-usaha tersebut.
  5. Dan kelima, pada peringkat awalnya Tun Mahathir sendiri telah bersetuju dan menyokong cadangan agar Tan Sri Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru menggantikan beliau.

Fakta-fakta ini boleh diperolehi menerusi rencana berwasit yang berjudul “Why did BERSATU leave Pakatan Harapan?”3 tulisan Wan Saiful Wan Jan dalam Trends in Southeast Asia terbitan ISEAS-Yusof Ishak Institute—sebuah institut penyelidikan terkenal yang banyak memfokuskan kajian tentang Asia Tenggara.

Sebagai “orang dalam” yang memegang jawatan dalam kepimpinan BERSATU, rencana Wan Saiful Wan Jan ini telah mendedahkan beberapa fakta dalaman yang tidak terlihat oleh masyarakat biasa melainkan jika ada antara mereka menjadi sebahagian daripada anggota kepimpinan BERSATU dan terlibat di dalam perbincangan dan mesyuarat dalaman parti.

Fakta kelima berhubung dengan sokongan Tun Mahathir kepada Tan Sri Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan beliau kemudiannya telah diabsahkan oleh Tan Sri Rais Yatim dalam satu kenyataan beliau minggu lepas. Dalam kenyataan tersebut Tan Sri Rais menyatakan bahawa Tun Mahathir telah memberitahu beliau dan ahli perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary bahawa beliau (Tun Mahathir) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia sebelum kemudiannya menarik balik sokongan tersebut.

Justeru, dari fakta-fakta yang terbentang ini bagaimanakah untuk kita making sense atau mencari kemunasabahan dalam memahami tindakan Tun Mahathir menubuhkan PEJUANG. Ini pada pandangan saya memerlukan analisis di luar kotak yang konvensional. Apa yang perlu diteliti adalah persoalan—apakah consequences atau kesan daripada penubuhan PEJUANG kepada bangsa Melayu bukan hanya kepada Tun Mahathir. Kalau hanya kepada Mahathir, penubuhan PEJUANG dari pandangan kasar kelihatannya akan menempatkan Mahathir sebagai pemecah usaha-usaha penyatuan bangsa Melayu. Ini tentunya berlawanan dengan sosok seorang Tun Mahathir.

Seperti mana yang telah dihujahkan pertama-tamanya sosok Tun Mahathir adalah seorang nasionalis Melayu. Rasa kebangsaan Melayu adalah pendorong utama kepada banyak tindakan-tindakan politik beliau.

Justeru, penubuhan PEJUANG pada andaian saya bukan untuk memecahkan bangsa Melayu, sebaliknya dilakukan untuk mendorong kepada pengukuhan penyatuan Melayu yang sedang berlangsung kini. Andaian saya ini memerlukan kita berfikir di luar kotak analisis konvensional.

Berdasarkan fakta yang dibentangkan oleh Wan Saiful Wan Jan dan juga kenyataan Tan Sri Rais Yatim menunjukkan bahawa Mahathir sebenarnya tidak ada masalah untuk Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan beliau. Motivasi beliau ini pada pandangan saya datang dari struktur sosial yang paling dominan yang wujud di Malaysia iaitu unsur bangsa. Rasa kebangsaan Melayu inilah yang mempengaruhi keputusan Tun Mahathir pada awalnya untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin dengan kepercayaan bahawa kepimpinan politik Malaysia bukan sahaja harus datang dari bangsa Melayu tetapi juga dari parti politik yang berteraskan Melayu.

Malahan dari fakta yang dibentangkan oleh Wan Saiful Wan Jan juga agenda untuk menolak kepimpinan politik tertinggi negara datang daripada pemimpin parti pelbagai-kaum (Anwar Ibrahim/PKR dan DAP) sudah pun bermula lebih lama iaitu berbulan-bulan sebelum “Langkah Sheraton”. Agenda ini telah mendorong kepada penyusunan perhimpunan Kongres Maruah Melayu pada bulan Oktober 2019 yang telah berjaya mengumpulkan tiga parti Melayu terbesar iaitu BERSATU-UMNO-PAS dan NGO-NGO Melayu yang lain di bawah suatu perhimpunan bersama di Shah Alam. Dari fakta, perhimpunan ini bukan sahaja mendapat sokongan Mahathir, malah beliau sendiri menjadi perasmi dan pemberi ucaptama yang inti ucapannya adalah tentang keperluan untuk parti-parti dan pertubuhan Melayu menyatu di bawah satu kesatuan Melayu yang kukuh.

Dan dinamika sesuatu hubungan atau penyatuan itu boleh diperkukuhkan bila wujudnya ancaman. Tidak dinafikan bahawa ancaman juga boleh memecahkan jika intensitinya kuat. Tetapi pada masa yang sama ancaman yang muncul itu juga boleh bertindak sebagai agen pengukuhan kepada suatu hubungan atau penyatuan. Dalam konteks inilah pada pandangan saya tindakan Tun Mahathir menubuhkan PEJUANG perlu dilihat. Motivasi Tun Mahathir adalah untuk mengukuhkan penyatuan parti-parti Melayu. Menimbulkan ancaman melalui PEJUANG dalam kerangka yang tersiratnya adalah untuk mengukuhkan penyatuan parti-parti Melayu seperti mana yang telah pun dimulai oleh Tun Mahathir sendiri di perhimpunan Kongres Maruah Melayu sebelum tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Timing atau masa menjadi analisis penting untuk memahami motivasi Tun Mahathir ini. Terdapat tiga timing atau masa yang digunakan oleh Tun Mahathir untuk mengisytiharkan penubuhan PEJUANG.

Pertamanya, masa yang dipilih oleh Tun Mahathir adalah di waktu sudah termaterainya suatu bentuk kerjasama longgar antara BERSATU-UMNO-PAS. Mahathir tidak melakukannya di kala belum ada sebarang ikatan antara ketiga-tiga parti terbesar Melayu ini. Ikatan kerjasama yang longgar cenderung mendorong kepada usaha-usaha untuk mengejapkannya bila muncul ancaman.

Keduanya, masa yang dipilih adalah setelah keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Datuk Seri Najib Razak di atas semua pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram. Perseteruan Tun Mahathir bukanlah dengan UMNO sebagai sebuah institusi tetapi sebaliknya dengan individu-individu yang terkait dengan tuduhan rasuah yang memimpin UMNO. Di lihat dari konteks ini, tidak mustahil untuk PEJUANG bergabung atau kembali kepada UMNO jika sekiranya individu-individu yang terpalit dengan tuduhan rasuah telah dihukum sewajarnya.

Justeru itu, selain daripada berfungsi sebagai ancaman untuk mendorong kepada usaha-usaha penyatuan parti-parti Melayu, PEJUANG juga berperanan untuk menyemak, memantau dan mengawasi pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh parti-parti Melayu ini agar tidak melencong daripada salah satu tujuan asal penyertaan Tun Mahathir di dalam Pakatan Harapan di PRU-14 yang lalu iaitu untuk memastikan semua kepimpinan UMNO yang terlibat dalam kes rasuah dihukum setimpalnya.

Dan ketiganya, masa yang dipilih oleh Tun Mahathir juga adalah di waktu beliau tidak punya kekuatan iaitu ketika beliau hanya punya lima kerusi parlimen sahaja.

Justeru, ancaman yang dilakukan oleh Tun Mahathir dengan penubuhan PEJUANG ini intensitinya adalah lemah dan takkan mampu untuk menggugat penyatuan parti-parti Melayu ini tetapi cukup untuk mengawasi, memantau dan “mengacau” kerajaan Perikatan Nasional jika ia dilihat melencong. Dalam konteks ini, jika akhirnya nanti ketiga-tiga parti Melayu ini gagal menyatu ianya bukan kerana Tun Mahathir tetapi berpunca daripada pertelagahan dan perbalahan antara sesama mereka sendiri khususnya di dalam menangani masalah rasuah yang melibatkan beberapa orang pemimpin tertinggi UMNO. Hanya dengan lima kerusi parlimen, tentunya ancaman yang diberikan oleh PEJUANG tidak cukup kuat untuk memecahkan tapi berfungsi mendorong kepada usaha-usaha pengukuhan dan pengawasan.

Andaian saya ini akan kelihatan lebih munasabah jika kita mempertimbangkan keputusan yang diambil oleh Tun Mahathir untuk PEJUANG tidak duduk bersama-sama dalam gabungan Pakatan Harapan. Sebaliknya beliau memilih untuk berada di luar Pakatan Harapan sebagai suatu strategi “mengucar-kacirkan” parti-parti di dalam Pakatan Harapan dengan tujuan khusus untuk menafikan peluang parti-parti yang bukan berteraskan Melayu (PKR dan DAP) dari kembali menjadi kerajaan Pusat.

Tanpa PEJUANG sukar untuk Pakatan Harapan merebut kembali kepimpinan kerajaan Pusat. Dan tanpa Pakatan Harapan pula, takkan mungkin untuk PEJUANG menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional. Justeru, kedudukan yang sebegitu rupa diambil secara sedar oleh Tun Mahathir untuk memenuhi motivasinya yang tersirat iaitu rasa kebangsaan Melayu yang menginginkan Malaysia terus dipimpin oleh parti-parti berteraskan Melayu.

Justeru itu persoalannya, jika inilah yang menjadi motivasi Tun Mahathir kenapa beliau tidak memilih untuk bersama-sama dengan Perikatan Nasional walhal seperti mana yang telah saya bentangkan di awalnya Tun Mahathir sendiri telah menyatakan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk menggantikan beliau? Kenapa di saat-saat akhir, beliau memilih menentang Tan Sri Muhyiddin serta menolak untuk kembali kepada BERSATU dan sebaliknya menubuhkan PEJUANG?

Sebagai mana yang telah dihuraikan, dalam bingkai tindak-tanduk seorang nasionalis Melayu seperti Tun Mahathir, PEJUANG adalah suatu strategic political devices atau alat politik strategik yang digunakan oleh beliau untuk mendorong kepada pengukuhan penyatuan parti-parti Melayu. Namun pada masa yang sama sebagai seorang individu bebas, Tun Mahathir juga sudah tentu punya tekad peribadinya sendiri yang ingin dicapai sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Tekad peribadi Tun Mahathir ini pada pandangan saya merupakan keinginan beliau yang bersifat psikologis tetapi berkait rapat dengan sistem budaya masyarakat beliau sendiri iaitu masyarakat Melayu. Istilah “nama” sebagai suatu konsep budaya banyak tercatat di dalam hikayat-hikayat Melayu yang ditulis sejak ratusan tahun dahulu. Dan sehingga sekarang “nama” sebagai sebuah konsep budaya dimanifestasikan secara khas di dalam upacara penganugerahan gelaran nama pada sosok-sosok terpilih di setiap Hari Keputeraan Raja-Raja Melayu.

“Nama” dalam budaya Melayu bukan sekadar istilah tetapi membawa nilai-nilai khusus yang menentukan kedudukan sosial, darjat, maruah, harga diri, reputasi, wibawa dan martabat seorang individu Melayu. Dan pada pandangan saya Tun Mahathir dalam konteks ini memiliki tekad peribadi untuk menjaga, memelihara dan seterusnya membersihkan “nama” beliau apatah lagi di saat hayat beliau yang sudah hampir ke penghujungnya.

“Nama” untuk sosok seperti Tun Mahathir bukan lagi bersifat darjat atau kedudukan sosial. Ini adalah kerana dalam struktur budaya masyarakat Melayu gelaran nama yang tertinggi telah pun diperolehi beliau apabila dianugerahkan dengan ‘Tun’ oleh Yang di-Pertuan Agong. “Nama” dalam konteks Tun Mahathir di ketika umurnya sudah pun mencecah 95 tahun membawa makna reputasi, wibawa atau nama baik yang ingin ditinggalkan kepada dunia.

Tun Mahathir sedar “nama” beliau tidaklah sepenuhnya baik dalam kalangan masyarakat Malaysia. Beliau telah dikritik teruk di sepanjang pemerintahan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun. Menyedari hal inilah telah mendorong beliau memuatkan penjelasan khusus tentang kontroversi-kontroversi yang pernah melibatkan nama beliau ketika menjadi Perdana Menteri di dalam buku autobiografi beliau sendiri yang berjudul A Doctor in the House. Bagi sesiapa yang telah membaca habis dan menekuni secara intim autobiografi karangan beliau ini akan menyedari bahawa terdapat semacam usaha tersirat yang dilakukan oleh Tun Mahathir untuk membersihkan “nama” beliau.

Justeru, A Doctor in the House bukan sahaja digunakan sebagai sebuah pengkisahan hidup seorang Tun Mahathir tetapi juga sebagai strategic purification medium atau sarana penyucian strategik untuk membersihkan “nama” beliau supaya dilihat baik oleh khalayak masyarakat.

Secara psikologi, manusia umumnya mahu dilihat baik, bersih, suci, tidak bersalah, berintegriti, berprinsip dan berwibawa. Sifat-sifat ini memberi “nama” yang baik kepada seseorang individu itu. Apatah lagi di dalam masyarakat Melayu yang mana konsep ‘nama’ sangat penting khususnya di dalam konteks penghakiman nilai diri seseorang individu itu. Kerana itulah munculnya peribahasa yang sehingga sekarang masih dipakai dan diangkat—”harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Buat seorang individu Melayu di saat nyawanya sudah lagi tiada, yang ditinggalkan bukan harta, bukan wang ringgit, bukan tanah atau kekayaan material tetapi “nama”.

Justeru itu, Tun Mahathir sebagai seorang nasionalis Melayu tegar tidak terkecuali dari psikologi atau psike Melayu ini yang melahirkan tekad peribadi untuk beliau meninggalkan “nama” baik, suci dan bersih sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dan sarana yang paling strategik untuk melakukan proses penyucian ini adalah melalui PEJUANG.

Seperti mana buku autobiografi beliau A Doctor in the House, pola tindakan yang sama dilakukan oleh Tun Mahathir iaitu dengan mengguna PEJUANG sebagai suatu bentuk strategic purification medium atau sarana penyucian strategik untuk membersihkan “nama” beliau.

Melalui penubuhan PEJUANG sebagai sebuah parti politik berteraskan Melayu, Tun Mahathir ingin memperlihatkan kepada masyarakat umum khususnya Melayu bahawa beliau tetap teguh dan komited di dalam perjuangan untuk bangsa Melayu tetapi kekal berprinsip dan berintegriti apabila beliau mengambil pendirian untuk tidak bersekongkol dengan UMNO yang masih dibarisi oleh pemimpin-pemimpin yang didakwa oleh Tun Mahathir sebagai perasuah.

Justeru itu, melalui pendekatan analisis sosio-psikologi yang mengambil unsur struktur sosial yang wujud dalam masyarakat dan juga unsur psikologi yang dimanifestasi oleh tekad peribadi individu membolehkan kita untuk making sense atau mencari kemunasabahan di dalam tindakan politik seorang sosok yang kompleks dan rumit seperti Tun Mahathir.

Dari analisis yang telah dilakukan di atas dengan mengutip fakta-fakta yang ada dan mencari hubung-kait fakta-fakta tersebut dengan tindakan Tun Mahathir, apa yang boleh dirumuskan adalah unsur struktur sosial yang diwakili oleh idea bangsa dan kebangsaan Melayu sebagai teras kepimpinan negara Malaysia yang Tun Mahathir yakini serta tekad peribadi beliau sendiri yang didorong oleh sistem budaya masyarakat Melayu untuk meninggalkan “nama” yang baik menjadi motivasi utama Tun Mahathir menubuhkan Parti PEJUANG.


Rujukan

1. Kawah Buku. Keterpendaman Melayu. https://wp.me/p8IwzU-8u0

2. Ibid.

3. Rujuk Wan Saiful Wan Jan. 2020. “Why did Bersatu leave Pakatan Harapan?” dalam Trends in Southeast Asia. Sinapore: ISEAS–Yusof Ishak Institute


RUHAN SHAHRIR adalah penyelidik bebas dan pemerhati politik nasional.

Artikel ini diterbitkan pertama kali dalam beberapa bahagian oleh The Malaysian Insight pada 24 Ogos, 3 September dan 10 September 2020.