Lewat 2016, idea ‘membina’ sebuah kedai buku yang berfokus—niche—mula membibit, sementelah mendapati sekian banyak kedai buku popular di Malaysia lebih bersifat borong, seumpama MPH, Borders dan Kinokuniya.
Bermula dari bermodalkan RM124, Kawah Buku beroperasi menerusi jualan atas talian dengan memanfaat keberadaan Facebook dan Instagram sebagai medium jualan utama. Setelah beberapa bulan mengoperasi jualan secara insani, Kawah Buku berpindah kepada sistem e-dagang yang lebih sistematik dengan pembinaan laman sesawang www.KawahBuku.com.
Menerusi laman sesawang, selain dari fungsi utama sebagai kedai atas talian, Kawah Buku turut menerbitkan sejumlah terjemahan makalah dan tulisan-tulisan penting, dengan cita-cita untuk mewujudkan perkumpulan sewacana bermula dari himpunan idea-idea dari makalah utama, sehinggalah kepada ulasan buku rangkum filsafat, politik, sastera, sosiologi dan sejarah.
Judul-judul buku yang dijual adalah judul terpilih, dan Kawah Buku memfokuskan pada judul-judul berwibawa yang menjadi mangkin kepada percambahan pemikiran dan wacana di Malaysia.
Bermula Januari 2018, Kawah Buku mencatat lembaran baharu dengan terbinanya toko ‘brick-and-mortar’ di Kampung Teras Jernang, setelah hampir setahun beroperasi menerusi atas talian. Toko ini, dinamakan Mandala, akan difungsikan sebagai pojok buku, pojok wacana dan berbudaya.
Dengan terbinanya Mandala, sepanjangan 2018 akan terisi dengan ragam wacana melingkar judul buku terpilih dan peristiwa pemergian tokoh-tokoh politik kiri, sastera dan filsafat. Turut menjadi tema bawaan 2018 adalah penerusan aktiviti perkumpulan bacaan menerusi Sekolah Malam yang diadakan bersela dengan aktiviti bicara umum.
Sebetulnya, Kawah Buku masih mencari identiti kendiri untuk terus berdiri kekar pada zaman serba digital.
Perkembangan dari kedai atas talian, sehinggalah ke toko buku fizikal, adalah rupa perjalanan-perkembangan entiti Kawah Buku dalam era penuh mencabar begini. Tentu-lah yang diharap dan diimpikan, entiti ini terus bertahan, memelihara sifat dan sikapnya dan berterusan membina konsep toko buku yang menjadi impian selama ini, sebagai sebuah realiti.
Azan Safar
Pengurus
Subscribe now for the pass to the latest buzz on our titles, events, and podcasts. Because staying in the loop is just so much cooler when it's book-shaped.