Abdul Samad Ismail

Abdul Samad Ismail, atau selalunya disebut A. Samad Ismail, lahir pada 1924 di Singapura. Beliau terkenal sebagai wartawan, editor, aktivis politik dan penulis kreatif. Beliau bukan sahaja antara pengasas Gerakan Angkatan Muda (GERAM) dan Persatuan Penulis Nasional] (PENA) tetapi People’s Action Party (PAP) yang hingga kini memerintah Singapura. Setelah lulus peperiksaan Senior Cambridge di Victoria School pada 1940, dia masuk terus ke arena kewartawanan dengan menjadi cub reporter di akhbar Utusan Melayu pada 1941. Apabila akhbar itu dijadikan media propaganda Jepun (dengan nama Berita Malai) semasa pendudukan Jepun (1942-5), dia menjadi editornya. Dia dipenjarakan buat kali pertama oleh pihak British selepas tamat perang, tapi bebas setelah setahun dan menjadi penolong editor akhbar sama.

Sebagai nasionalis Melayu kiri, dia sekali lagi dipenjara oleh penjajah kerana menyebarkan dakyah anti-British. Bebas setelah dua tahun, dia aktif secara terang dalam politik dan menjadi antara ahli pengasas PAP—tetapi kemudian meninggalkan parti itu bila berselisih secara ideologi dengan Lee Kuan Yew. Pada 1957, semasa zaman Konfrontasi, dia berkhidmat di Jakarta selama enam bulan sebagai wakil Utusan Melayu. Pengalamannya sebagai wartawan dan editor yang terlibat dengan politik, mempengaruhi cerpen-cerpen awalnya yang terbit secara eceran dari 1944 (dalam majalah Semangat Asia semasa Pendudukan Jepun); manakala cerpen terakhirnya di Dewan Sastera pada 199]. Selain puluhan cerpen, dia menghasilkan 11 novel, bermula dari Kail Panjang Sejengkal (1963) hingga Hud (1995).

Setelah Utusan Melayu, dia menerajui Berita Harian dan membantu mengasaskan New Straits Times di Malaysia (yang berpecah daripada Straits Times Singapura). Dia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 5 tahun mulai 1976 kerana dituduh pro-komunis. Ironinya, pada tahun yang sama dia diberi Hadiah Pejuang Sastera. Setelah bebas dari ISA pada 1981, dia kembali ke New Straits Times dan berkhidmat di sana hingga bersara pada 1988. Sebagai penulis dan tokoh dwibahasa yang telah banyak menyumbang kepada tradisi intelektual dan aktivisme negara, beliau merupakan penerima Malaysia pertama untuk Ramon Magsaysay Award (1994) dan juga penerima pertama Tokoh Wartawan Negara (1988), di samping menyandang pangkat Tan Sri (1992).

Selain semua anugerah berprestij itu, orang muda pada zaman itu akan mengingati tulisannya dalam majalah Gila-Gila, yang kemudian dikumpulkan dalam buku Tan Sri A. Samad Ismail Menulis (1994) yang menunjukkan bahawa beliau sentiasa ingin berkomunikasi dengan masyarakat pembaca, suatu pertalian yang terjalin selama lebih lima dekad. Ingin jadi Pujangga: Kumpulan Cerpen 1944-1991 diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1995. Beliau meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 2008

  • Tembok Tidak Tinggi

    Tembok Tidak Tinggi

    RM28.00
  • Patah Sayap Terbang Jua

    Patah Sayap Terbang Jua

    RM28.00
  • Temasya Tinta

    Temasya Tinta

    RM25.00
  • No Cowardly Past: James J. Puthucheary; Writings, Poems, Commentaries

    No Cowardly Past: James J. Puthucheary; Writings, Poems, Commentaries

    RM45.00
  • Memoir A. Samad Ismail di Singapura
    Out of stock

    Memoir A. Samad Ismail di Singapura

    RM35.00