Aziz Afkar
Aziz Afkar (Abdul Aziz @ Hussin bin Ismail) lahir pada 12 Disember 1942 di Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pasir Panjang, Sekolah Arab, dan Sekolah Grammar, Kuala Terengganu. Ketika beliau berumur 12 tahun, beliau dipelihara neneknya, Nik binti Ismail. Karya pertama Aziz, Aku Untukmu, diterbitkan oleh M.N. Abdul Hamid, Kuala Lumpur pada tahun 1960-an dalam tulisan Jawi. Kemudian, Aziz melebarkan penanya dalam bidang penulisan cerpen, rencana, dan novel.
Pada tahun 1967, Hartini diterbitkan oleh Pustaka Antara, Kuala Lumpur. Editor yang menangani penerbitannya ialah Arena Wati. Malah Arena Wati yang mencadangkan nama pena “Aziz Afkar” yang digubah dari kata dasar “fikir”. Harum dicetak ulang sebanyak 14 kali, iaitu 11 kali dengan Pustaka Antara dan kemudian tiga kali oleh Creative Enterprise pada tahun 1990-an. Pada tahun 1998, kontroversi tercetus apabila Hartini dijadikan telemovie tanpa keizinannya; kes ini dibawa ke mahkamah sehingga beroleh kemenangan. Novel-novelnya yang lain termasuk Jambatan (1986) yang memenangi hadiah kedua Novel Melayu Bara Perangsang-GAPENA.
Aziz mendirikan rumah tangga dengan seorang penulis Singapura, Kamariah Awang pada tahun 1976. Mereka dianugerahkan lima anak iaitu Azil Hakim, Azmaya, Azil Hizaq, Azmira, dan Azliana. Selain menulis, tugas hakikinya adalah sebagai kontraktor.

