Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang. Beliau lahir pada 17 Oktober 1951 di Pontian, Johor. Hassan memenangi kerusi Parlimen P.159 Pasir Gudang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018 dan berjaya mempertahankan kerusi tersebut pada PRU-15 pada tahun 2022. Hassan memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti London, United Kingdom dan Sijil Amalan Guaman (CLP, Malaysia). Hassan diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaysia pada tahun 2003 dan menubuhkan firma guamannya, Hassan Karim & Co. pada tahun berikutnya.
Hassan bersama isterinya Rodiah Iliyas dikurniakan empat orang anak; tiga lelaki dan seorang perempuan. Kini Hassan dan Rodiah punya enam orang cucu. Sebagai seorang peguam dan ahli parlimen, Hassan sentiasa lantang mempertahankan kebebasan bersuara dan pembinaan Bangsa Malaysia yang hidup dalam masyarakat yang adil, progresif, demokratik dan bersatu padu.

