Ishak Haji Muhammad
Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali dengan nama penanya, Pak Sako; dilahirkan pada bulan September 1909 di Kampung Bukit Siguntang, Temerloh, Pahang. Selain Pak Sako, beliau juga dikenali dengan nama pena yang lain seperti Hantu Raya, Isako San, Pak Pandir Moden dan juga Anwar. Beliau banyak menghasilkan novel, cerpen, esei dan memoir serta turut menulis rencana untuk akhbar Utusan Melayu. Antara karya beliau yang cukup terkenal ialah novel Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila. Kedua-dua novel tersebut mencerminkan pandangan dan cita-cita pengarangnya sebagai seorang patriot dan sasterawan. Dari tahun 1939 hingga 1941, beliau bertugas sebagai salah seorang sidang pengarang Utusan Melayu yang pada ketika itu dipimpin oleh Abdul Rahim Kajai. Dalam waktu yang sama beliau mula bergiat dalam pergerakan politik.
Pengalaman dan sumbangan beliau dalam bidang kesusasteraan ini memang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana beliau pernah dianugerahi gelaran Pejuang Sastera oleh Perdana Menteri pada tahun 1976. Dalam bidang penulisan kreatif, beliau menghasilkan tidak kurang daripada 23 buah cerpen pada waktu sebelum Perang Dunia Kedua. Seperti kebanyakan pengarang sebelum merdeka, beliau menggunakan novel dan cerpen bagi mengobarkan semangat orang-orang Melayu dan menyedarkan mereka tentang kedudukan mereka yang rendah dalam lapangan politik, ekonomi dan sosial. Oleh kerana cintanya terhadap bangsa dan negara terlalu besar, jadi tidak hairanlah kalau dikatakan bahawa hampir keseluruhan karya-karya beliau bercorak didaktik dan idealistik. Sebagai seorang pejuang nasionalis dan sasterawan, beliau mempunyai tempat yang penting dalam sejarah kebangsaan dan kesusasteraan tanahair.