Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi

Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi dilahirkan di Kepala Batas, Seberang Prai pada tahun 1962. Beliau telah mula berkhidmat di UTM sejak tahun 1987. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Marks, Butterworth dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hua Lian, Taiping, beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains (1984) dalam Seni Bina dan Ijazah Sarjana (1986) dari University of Wisconsin, Milwaukee (Amerika Syarikat). Beliau dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Seni Bina oleh University of Edinburgh, (United Kingdom) pada tahun 1996. Beliau telah banyak menyumbang bahan penulisan berupa rencana dalam akhbar, majalah, jurnal kebangsaan, jurnal antarabangsa dan kertas seminar pada peringkat dalam dan luar negara. Beliau mempunyai kepakaran khusus dalam bidang Sejarah dan Falsafah Seni Bina Islam dan juga Seni Bina Moden dan Tradisional Malaysia.

Di peringkat antarabangsa, beliau memperjuangkan Seni Bina Islam dari perspektif al-Sunah. Di samping menjadi penulis, beliau juga banyak memberi ceramah di institusi pengajian tinggi, media elektronik, badan NGO dan badan politik. Beliau pernah dijemput sebagai penulis tamu untuk “Ruang Arkitek Menulis” dalam Utusan Malaysia, dan kini masih menulis untuk ruang “Architecture Inside Out” dalam The Star. Beliau juga menjadi Penasihat Utama kepada MASSA (Modern Architecture Study in Southeast Asia) di Taylors University College dan Center for Islamic Architecture from the Sunah (CIAS) di Universitas Islam Nagari, Malang, Indonesia.