Rejab F.I.

Rejab F.I. atau nama sebenarnya Rejab Ismail ialah seorang anak petani dari Perlis, lahir di Kampung Bongkok, Padang Lati, pada 12 September 1941. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Satan, Perlis pada tahun 1950. Kemudian berpindah ke Sekolah Kebangsaan Paya dan Sekolah Kebangsaan Kangar (Lelaki) hingga lulus Darjah VII pada tahun 1956. Beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1980 dan lulus Sarjana Muda Kesusasteraan (Kepujian). Rejab F.I bertugas sebagai guru besar di sebuah sekolah di Perlis selama 10 tahun. Kemudian, mengajar di sekolah menengah selaku guru penolong kanan, sehingga bersara pilihan pada tahun 1991. Beliau antara penulis tanah air era 1960-an yang masih aktif hingga kini. Dalam kegiatan berorganisasi, beliau menduduki jawatan penting dalam banyak pertubuhan yang dianggotainya, iaitu telah terpilin menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Perlis (8P) sejak tahun 1964. Beliau juga ahli Jawatankuasa Majlis Kebudayaan Negeri Perlis (1977), Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Repoh (1975), Ketua Satu Badan Kebajikan Kampung Tanjung Gorak (1968) serta Jawatankuasa Lembaga Masjid Repoh, Perlis (1974).

Rejab FI mula menceburkan dirinya dalam arena penulisan sejak tahun 1960. Karya pertama beliau merupakan sebuah cerpen yang tersiar dalam Utusan Filem dan Sports (30 Ogos 1960) yang berjudul “Kisah di Sinar Bulan”. Kemudian, bergiat dalam penulisan puisi. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan 168 judul buku (novel dewasa, remaja, kanak-kanak, antologi cerpen, antologi puisi dan drama). Karya eceran: 200 judul cerpen, 451 judul puisi, 355 judul rencana dan esei yang disiarkan dalam media tempatan, 20 judul drama radio, 15 judul drama televisyen dan 4 judul drama pentas. Karyanya turut dijadikan teks sastera sekolah menengah. Novel Sejambak Bakti telah terpilin sebagai teks Komsas Zon Selatan 2015. Beliau turut menerima Hadiah Sastera Nasional 1971 dan 1972 (puisi), Hadiah Sastera Utusan Melayu—Public Bank 1982, 1983, 1984, 1985, 1986, 1988 dan 1992 (kategori puisi, cerpen dan novel remaja). Terkini beliau menerima Anugerah S.E.A. Write Award pada tahun 2016. Kini, beliau menumpukan sepenuh masa dalam bidang penulisan (menghasilkan dan menerbitkan karya sendiri) memberi ceramah dan membuat kebajikan kepada masyarakat (Timbalan Yang Dipertua Persatuan Melayu Negeri Perlis, PEMANIS).

  • Cikgu Shahnon di Mata Kami

    Cikgu Shahnon di Mata Kami

    RM25.00
  • Biografi Tokoh Penglipur Lara

    Biografi Tokoh Penglipur Lara

    RM14.00
  • Papaverine: Kumpulan Cerpen

    Papaverine: Kumpulan Cerpen

    RM25.00
  • Memoir Seribu Riak di Pantai Usia
    Out of stock

    Memoir Seribu Riak di Pantai Usia

    RM35.00
  • Drama Purbawara: Robohnya Kota Indera Kayangan

    Drama Purbawara: Robohnya Kota Indera Kayangan

    RM20.00