S.M. Zakir

S.M. Zakir atau nama sebenar beliau Syed Mohd Zakir bin Syed Othman, dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan dan juga merupakan anak kepada Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Mula menulis pada tahun 1990 dan sehingga sekarang, beliau telah menerima puluhan anugerah sastera termasuk Hadiah Sastera Perdana kategori kumpulan cerpen 1994/95 (Merengkuh Langit, DBP 1995) dan Anugerah Sastera Kelantan kategori Buku Kumpulan Cerpen (Sekuntum Kembang di Sayap Jibril, PPN 2001).

Beliau menerima Anugerah Sasterawan Muda Mastera 2010 dari Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Jakarta, Indonesia. Pada tahun 2011, beliau menerima Anugerah SEA Write Award 2011 dari S.E.A Write Council di Bangkok, Thailand. Antara anugerah sastera yang diterima ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBKL, Hadiah Formula Malaysia, Anugerah Sastera Negeri Kelantan dan Anugerah Gaffim (kritikan filem). Pernah dihantar oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai peserta ke ASEAN Youth Writer’s Conference/Workshop di Bayview Hotel. Pulau Pinang, Disember 1992 dan Bengkel Cerpen MASTERA di Bogor, Indonesia 11-17 Oktober 1998.

Bidang penulisan yang diceburi ialah cerpen, esei, sajak dan novel yang antaranya disiarkan di majalah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Pelita Bahasa, Bahasa, Dewan Siswa, Jurnal Perisa, Jurnal Malay Literature, Jurnal Pangsura, Jurnal Aswara, Milenia Muslim, Pentas, akhbar Berita Minggu, Berita Harian, Utusan Melayu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan pelbagai akhbar serta majalah lagi. Buku-buku yang diterbitkan ialah novel remaja Di Bawah Lembayung (DBP 1991), novel klasik Kembang Kanigara (DBP 1992), novel Ahli Politik (Nusabuku 2012), kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP 1995), kumpulan cerpen-mini Fatamorgana (Sasbadi 1997), kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril (PPN 2001), kumpulan cerpen Menyirat Nirmala (DBP 2004), kumpulan cerpen Sekeping Ruh di Atas Bantal (PPN 2005), kumpulan cerpen Serigala dan Sekuntum Tulip (DBP 2010), kumpulan cerpen Bidadari Burung (ITBM 2012), kumpulan sajak Memburu Malaikat (PPN 2007), kumpulan sajak Sajak-sajak Petualang: Manusia Cinta (PPN 2009), sebuah buku biografi edisi mewah iaitu Seniman Negara ke-7 Datuk (Dr) Ahmad Nawab (JKKN 2008). Beliau turut menghasilkan sebuah buku esei falsafah iaitu Pascamoden Kutukan Terhadap Falsafah dan Agama (Nusabuku 2010). Selain itu beliau turut giat menulis dalam kritikan filem, teater dan budaya. Antara buku eseinya dalam kritikan filem ialah Sinema (Nusabuku 2010) dan Filem dan Pemikiran (Nusabuku 2010).