Zaid Akhtar
Zaid Akhtar atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Abdul Majid lahir di Endau, Mersing pada 16 April 1977. Mendapat pendidikan awal di SK Teluk Lipat, Endau dan menengah di SMKA Segamat, Johor sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Bahasa dan Sastera Arab di Universiti Yarmouk, Jordan (1995-2000). Selanjutnya Zaid beroleh Sarjana Pengajian Bahasa Moden (Bahasa Arab) di Universiti Malaya (2010) dan Doktor Falsafah Bahasa Arab di Universiti Putra Malaysia (2018). Pernah berkhidmat sebagai pendidik di SMKA Segamat (20012012), IPGM Kampus Pendidikan Teknik (2015-2022), dan kini bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.
Mula menulis pada akhir 1993 dan cerpen sulungnya yang tersiar di majalah Dewan Siswa Januari 1994 berjudul ‘Juara yang Tewas’ telah memenangi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat-DBP 1994. Selain itu, cerpen Mencari Kiblat berjaya meraih hadiah penghargaan Pertandingan Cerpen Sekolah Menengah Malaysia 1994 (Minda Pelajar-DBP). Dua lagi cerpen beliau telah meraih anugerah dalam Hadiah Sastera Darul Takzim iaitu ‘Nil Masih Mengalir’ (2001) dan ‘Pendedahan’ (2005). Kumpulan cerpen Bayu Dingin Mediterranean (2012) yang memuatkan 15 buah cerpennya kemudiannya terpilih memenangi anugerah yang sama pada tahun 2013 bagi kategori Kumpulan Cerpen Remaja.



