Zaleha Ahmat
Zaleha Ahmat lahir di Klebang Besar, Melaka dan membesar di Pulau Pinang. Beliau ialah lulusan Ijazah Sarjana Muda daripada Jabatan Pengajian Media (sebelumnya dikenali sebagai Jabatan Penulisan) Universiti Malaya pada tahun 1994. Zaleha menerima Ijazah Sarjana Sastera dari universiti yang sama pada tahun 2001 dan kemudiannya bertugas sebagai tutor serta pensyarah (IPTA/ IPTS) selama 17 tahun. Karya-karya kreatif beliau dalam genre cerpen, puisi, esei/ese1 kritikan sastera muncul dalam akhbar dan majalah tempatan, termasuklah Berita Harian, Berita Minggu dan Dewan Sastera sejak tahun 1992.
Zaleha pernah memenangi hadiah pertama untuk Pertandingan Menulis Puisi Tradisional PNB (1999) dan tempat kedua (kategori puisi) dalam Sayembara Sastera Islam YPI-DBP (2001). Beliau juga memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) untuk kategori esei eceran (2012) dan Buku Umum Terbaik (kategori buku biografi) Anugerah Buku Negara (2015). Kini, beliau menumpukan sepenuh masa dalam kerja-kerja kajian sastera, penyuntingan, penulisan karya ilmiah dan kreatif, serta penterjemahan.