Zam Ismail

Zam Ismail, atau nama sebenarnya Md. Ismail Jamjam @ Zainzan dilahirkan pada 19 Mei 1943 di Kampung Parit Rasipan, Batu Pahat, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pintas Puding, Batu Pahat, Johor dan beliau menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Johor Bahru dan Sekolah Dato’ Abdul Razak, Tanjung Malim, Perak. Beliau melanjutkan pelajaran di University of Northern Iowa, Amerika Syarikat dalam bidang Pengurusan Pendidikan dan memperoleh Ijazah Sarjana Pendidikan (M.Ed.) pada tahun 1987.

Beliau kerap mengarang puisi sempena acara atau majlis tertentu antaranya termasuklah Batu Pahat Satu Abad, Ukiran Sebuah Wawasan (1994), Bersatu ke Alaf Baru (1999), Wariskan Budaya Membaca (1994) dan Di Hujung Sebuah Perjalanan (2006). Misalnya, puisi Wariskan Budaya Membaca telah dihasilkan dan dideklamasikan pada Majlis Pelancaran Gerakan Galakan Membaca Kementerian Pendidikan di Pulau Pinang pada 23 Ogos 1994. Beberapa buah puisi beliau telah diterjemahkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Macedonia untuk pembaca antarabangsa.

Sepanjang penglibatan dalam bidang penulisan kreatif, beliau memenangi pelbagai hadiah kesusasteraan pada peringkat negeri dan kebangsaan. Pada tahun 1971, puisi beliau berjudul Air Papan (Mingguan Malaysia, 1 Mei 1971) dan Bebayang (Dewan Sastera, 1971) memenangi Hadiah Karya Sastera. Selain itu, beliau juga memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1994) melalui puisi yang berjudul Kita Hanya Penonton (Mingguan Malaysia, 1994). Pada tahun 1995, sekali lagi Zam Ismail memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank melalui puisinya yang berjudul Jalan-jalan Raya Kotaku (Mingguan Malaysia, 4 Jun 1995). Karya beliau juga turut memenangi Hadiah Sastera Darul Takzim pada tahun 1996 melalui kumpulan puisi Basah dalam Ingatan (DBP, 1995), Hadiah Sastera Darul Takzim pada tahun 1999 melalui puisinya yang berjudul Hujung Tanah. Selain puisi, novel garapannya bertajuk Yang Kesah Gelisah juga memenangi Peraduan Mengarang Novel Marwilis pada tahun 1991.

Zam Ismail menerima Anugerah S.E.A. Write pada tahun 2014.

  • Basah dalam Ingatan

    Basah dalam Ingatan

    RM17.00