Dua Judul Baharu Terbit Bakal Dijual Bermula KLAB 2025 By: • 28 January 2025 • Publications

Kawah Buku memulakan tahun 2025 dengan menerbitkan dua judul baharu iaitu Manikam Budi karya Faisal Tehrani; dan Sosiologi Rasuah, karya Syed Hussein Alatas. Kedua-dua judul ini akan menemui pembaca di KLAB 2025 yang dijadualkan bermula pada 29 Januari, bertempat di Central Market, Kuala Lumpur.

Sosiologi Rasuah

Sosiologi Rasuah (ISBN: 9789672640578) merupakan terjemahan daripada The Sociology of Corruption, karya Syed Hussein Alatas yang telah diterbitkan pada tahun 1968. Terjemahan ini diusahakan oleh Ahmad Tajuddin dan diterbitkan menerusi INTISARI, sebuah label imprint di bawah Kawah Buku. Usaha menterjemah karya ini telah bermula semenjak tahun 2018 sewaktu Kawah Buku mengadakan siri pertama Sekolah Malam.

Manikam Budi

Manikam Budi (ISBN: 9786299951841) pula merupakan sebuah karya akademik tulisan Mohd Faizal Musa, atau lebih dikenali dengan nama penanya Faisal Tehrani. Buku ini menghimpunkan beberapa makalah penulis yang membahaskan konsep akal budi Melayu dengan mencerap contoh dan fenomena daripada aspek gastronomi, hak asasi, kesenian dan bahasa.

Kedua-dua judul ini turut boleh dibeli menerusi laman sesawang Kawah Buku, pelantar edagang seperti Shopee dan TikTok, dan juga jualan langsung di kedai-kedai buku terpilih.