Kawah Buku Mendokong Penuh Sumud Nusantara By: • 1 September 2025 • Press Release

Kawah Buku menyatakan dokongan penuh kepada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), yang juga 15 orang rakan-rakan sukarelawan dari Malaysia yang bernaung di bawah Sumud Nusantara. Misi kemanusiaan yang bertujuan menghantar bantuan makanan dan bekalan asas kepada penduduk Gaza yang sedang ditindas dan dihenyak oleh Israel menerusi laut antarabangsa dengan menggunakan 24 buah kapal, bertolak ke perairan Palestin dari Barcelona pada 31 Ogos.

Misi GSF dan Sumud Nusantara ini mendapat sokongan dan pakatan daripada negara-negara Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan membawakan semangat dan prinsip menolak keganasan serta menjadi simbol solidariti dunia kepada perjuangan pembebasan Palestin.

Kawah Buku mendoakan kejayaan misi kemanusiaan ini, dengan keselamatan semua rakan sukarelawan terjaga, berjaya memecahkan sekatan dan tekanan Israel termasuklah risiko penahanan dan pembantaian, dan akhirnya bantuan kemanusiaan berjaya disampaikan kepada penduduk Gaza.