Kawah Buku Menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 By: • 16 May 2025 • Announcements

Kawah Buku akan menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL) sebagai pempamer untuk kali ke-5 pada 23 Mei sehingga 1 Jun di World Trade Centre Kuala Lumpur. Penyertaan pada tahun ini juga menampilkan tujuh judul baharu yang akan menemui pembaca sepanjang berlangsungnya PBAKL.

Pada siri PBAKL kali ini, Kawah Buku menampilkan tiga karya Faisal Tehrani, termasuklah karya baharunya berjudul Hadi, Hadi Anadolu; selain daripada cetakan semula Tunggu Teduh Dulu (penerbitan bersama Iman Publications) dan 1515 (edisi dwidasa). Hadi, Hadi Anadolu merupakan karya sastera perjalanan pertama yang ditulis oleh Faisal Tehrani; manakala 1515 pula ditampilkan dalam bentuk edisi dwidasa dengan jumlah cetakan terhad sebanyak 1,000 naskhah.

Selain daripada itu, Kawah Buku juga akan membawakan cetakan semula Cita Sempurna Warisan Sejarah karya Syed Hussein Alatas, dan In the Center of Authority karya Hendrik M.J. Maier. Kehadiran semula kedua-dua karya penting ini dalam edisi baharu hadir menerusi imprint INTISARI, cap cetak kepada penerbitan ilmiah Kawah Buku.

Istimewanya juga, PBAKL kali ini akan menampilkan terjemahan baharu How To Read A Book ke dalam Bahasa Melayu. Kali terakhir karya klasik ini diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu adalah sekitar tahun 1989, dan kini diterjemahkan semula untuk terbitan Kawah Buku dengan judul Seni Membaca Buku. Kawah Buku juga akan menampilkan karya sulung F. Budi Hardiman di Malaysia, dengan judulnya Jiwa Kolektif. Karya tersebut merupakan kumpulan kuliah mayanya mengenai fenomena massa sewaktu kemuncaknya COVID-19 sekitar tahun 2022.

Untuk edisi 2025, Kawah Buku menyediakan miniweb bagi kemudahan pembaca mencapai maklumat mengenai penglibatan kami sepanjang PBAKL 2025, termasuk senarai acara di Reruai 6-50, Dewan Tun Razak 3, World Trade Centre. Pengunjung boleh mengakses miniweb tersebut di sini. Kami mengalu-alukan kehadiran semua pembaca untuk memeriahkan pesta buku terbesar di Malaysia ini.