Selamat Tahun Baru 2025 1 January 2025
Kawah Buku ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada semua pelanggan dan pembaca yang dikasihi. Dengan doa dan harapan, semoganya tahun 2025 ini akan membawa lebih banyak kegembiraan dan kemakmuran kepada kita semua.
Sepanjangan tahun 2024, Kawah Buku telah melalui beberapa fasa penumbuhan yang memberangsangkan. Pastinya, pertumbuhan itu akan menjadi suntikan untuk kami terus bekerja keras sepanjangan tahun 2025, dan menggapai sasaran yang diimpikan.
Mengenai penerbitan, Kawah Buku telah berjaya menerbitkan empat judul baharu di bawah imprin Cerekayasa, INTISARI dan Soeloeh Merdeka. Antara judulnya adalah Pelindung: Amalan Taat Setia Masyarakat Melayu (Intisari, 2024), Se-balik Kain (Cerekayasa, 2024), Tumbuh Menjadi Pohon Sakura (Cerekayasa, 2024) dan Babi, Kongkang, Panda dan Hal-hal yang Dipungut Kembali (Cerekayasa, 2024). Meskipun perancangan awal melibatkan sejumlah judul yang lain, namun dengan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan, penerbitan tersebut perlu dianjak ke tahun 2025.
Kami juga mula keluar dari Mandala, dengan maksud katanya, Kawah Buku mula menyertai pesta buku dan jualan di luar kedai. Bermula daripada sekecil jualan di syarahan-syarahan umum, sehinggalah kepada penyertaan semula Kawah Buku ke dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 dan juga Selangor International Book Fair 2024. Bergerak ke tahun 2025, kami berazam untuk terus menyertai lingkungan jualan sebegini dan menjadi lebih aktif berada di luar Mandala.
Antara hal yang menjadi topik perbincangan kami sebelum memasuki tahun 2024 adalah keinginan Kawah Buku untuk mengambil bahagian dalam mana-mana acara seputar kebudayaan. Ternyata tahun 2024 telah membuka pintu dan ruang kerjasama dengan beberapa program bersifat sebegini. Antaranya yang paling bermakna sudah pastilah kerjasama dengan Kultus Kata, yang menjadi natijah kepada dua program yang berjaya dijalankan di Putrajaya dan Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi.
Tahun 2024 menjadi sangat bermakna kerana Kawah Buku juga telah berjaya memulakan kelas berkala, yang mengangkat wacana Ilmu Mandiri, bersama Dr Azhar Ibrahim—selain daripada siri kuliah dan perbincangan menerusi Syarahan Guru Bangsa dan Sekolah Malam. Kesemua gemblengan ini telah mencetuskan lebih banyak ruang kerjasama dalam mengharungi tahun 2025.
Sudah semestinya, kami ingin merakam setinggi penghargaan buat semua pendokong, pelanggan dan pembaca Kawah Buku, yang tidak pernah jemu memberi sokongan dalam segenap segi, kepada kemandirian sebuah pojok buku serba sederhana ini. Kami turut ingin menyebut dan memulangkan penghargaan kepada para pelajar yang telah memilih Kawah Buku untuk menebus Baucer Buku MADANI menerusi portal MySiswaPlace dan BookCapital.
Semoganya, tahun 2025 membawa lebih banyak kemakmuran dan peluang kepada kita semua. Selamat tahun baru 2025!
Newsroom
THE LATEST NEWS AND UPDATES, DIRECT FROM KAWAH BUKU.