Selamat Tahun Baru 2026 By: • 1 January 2026 • Stories

Kedatangan tahun baharu ini disambut dengan cita-cita yang menggunung. Pelbagai. Pojok ini bergerak dalam tahun kesembilannya, bertatih masih. Kami mengucapkan selamat tahun baru buat semua pembaca yang setia, yang dikasih dan dirindui. Sesungguhnya, pojok ini terus berdiri pun kerana cita dan pembaca yang tidak lekang mendampingi.

Tahun 2025 mengajar banyak perkara—membuah banyak perkara juga. Daripada koleksinya, penerbitannya, jaringan kolaborasinya, jenama dan kedudukannya, jualan dan jatuh bangunnya; ya terakam segalanya dalam tahun yang sudah.

Pastinya yang manis adalah perkongsian cita dengan Iman Publication menerusi Rumaa Books, dengan penerbitan semula karya nan bestari, Tunggu Teduh Dulu oleh Faisal Tehrani. Tentu sekali penghargaan ini terutamanya buat Fatin Syamimy, sang CEO yang penuh budiman, yang membuka dan mempermudahkan banyak niat baik ini—juga buat teman-teman yang berbudi di Iman Publication seluruhnya yang menjayakan projek kecil ini.

Jika setahun yang lalu, kami menulis darihal “mula bergerak keluar”, ya rasanya 2025 menyaksikan Kawah Buku masih menghidupkan gelora itu. Menyebut hal ini, tentu sekali tidak terlepas rasa terima kasih kepada tangan-tangan yang tidak lekang menghulur jemputan, mempermudah segala rancangan, mengongsi ruang dan peluang. Kami akan cuba berbuat hal yang sama setahun ke hadapan—doakan.

Kami juga ingin merakam setinggi penghargaan buat Merdeka Center, Team Selangor, MyCatalyz yang menghulur kolaborasi penuh makna. Di sini, kita menganyam nusa bersama, berkongsi citra yang sama. Terima kasih buat semua insan-insan budiman yang menjayakan segala hal ini.

Untuk para penulis budiman yang tumbuh bersama INTISARI, Cerekayasa dan Soeloeh Merdeka; kita akan terus mekar, kita akan terus menapak, kita akan terus gencar. Medan ini pastilah, sebahagian besarnya, milik penulis. Justeru Kawah Buku mahu menjadi batas yang untuk mimpi itu.

Setahun mendatang, pastilah banyak cerita lagi yang boleh kita coret bersama. Untuk para pelanggan, pembaca, pendokong Kawah Buku—terima kasih untuk segalanya. Moga 2026 terus membawa kemakmuran yang sejagatnya buat kita semua. Selamat tahun baru 2026!