Ep28 – Sebelum Melaka: Champa menurut Dr. Alinor, Bahagian III | Menjadi Malaysia 7 May 2021

Perbincangan siri #MenjadiMalaysia bersambung lagi, masih bersama dengan tetamu istimewa — Dr. Alinor — untuk memperincikan perbincangan tentang Champa. Mad Koy memulakan perbincangan dengan mempertanyakan darihal perkembangan terkini kajian dan penyelidikan Champa. Dr, Alinor mencerakinkan kepada dua hal iaitu apa yang kita tahu, dan apa yang kita boleh berbuat mengenainya. Memetik nama seorang penyelidik Champa, Arlo Griffiths yang menyebut bahawa terdapat 50 penemuan prasasti yang baharu, semenjak Cordes sehingga tahun 2000. Hal ini sahaja menunjukkan suatu keperluan kepada usaha transliterasi manuskrip dilakukan. Demikian juga, Dr. Alinor berkongsikan usaha yang dilakukan oleh Prof. Shaharir Mohd Zain dalam penyelidikan Champa dengan menganalisis data-data saintifik yang wujud di dalam teks prasasti. Perbincangan turut menyentuh teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara dan beberapa kritik sekitarnya.