al-Quran dan Saintifik Moden: Konsep, Manhaj dan Aplikasi merupakan sebuah karya intelektual yang terhasil daripada usaha penyelidikan yang komprehensif dan kritis terhadap data korpus klasik dan kontemporari meliputi diskusi dan integrasi al-Quran dan saintifik moden. Perbincangan serta penemuan baharu yang paling menarik dalam karya ini ialah bukan sekadar membincangkan konsep terkini dan tema utama mengenai penelitian al-Quran dan penerokaan saintifik moden, malah memandu para pembaca dan pengkaji memahami manhaj terbaik bersumberkan kaedah al-Ma’thur, ijtihad para ulama klasik dan moden, ahli tafsir serta kesarjanaan sains Islam moden dalam memahami ayat-ayat al-Quran selaras dengan perkembangan dan penerokaan ilmu pengetahuan semasa.
Metode yang sahih dan tepat dalam memahami dan mengintegrasikan disiplin ilmu al-Quran dan saintifik moden ini amat penting agar kajian teori dan praktikal yang dilakukan selaras dengan maqasid al-Quran dan mencapai tujuan sebenar penurunan al-Quran, malah dalam masa yang sama implementasi intelektual ini juga menyerlahkan kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW dan kemukjizatan al-Quran sebagai kitab petunjuk (huda) dan kitab yang diberkati (mubarak), serta berfungsi sebagai al-Tabyin (menjelaskan), al-I‘jaz, istikhraj al-‘Ilm (penerokaan ilmu baharu) dan al-Hikmah. Mudah-mudahan karya ini menjadi wasilah terbaik dalam memahami dan berinteraksi dengan makna dan rahsia al-Quran.










Reviews
There are no reviews yet