Dalam Rempuhan Gelora 98: Catatan dari Kurungan I.S.A lahir daripada suatu pengalaman ketika penulis berada dalam tahanan ISA pada tahun 1998. Meskipun sudah lebih 24 tahun berlalu, peristiwa itu masih segar bermain-main dalam ingatan penulis. Sukar untuk penulis melupakan peristiwa ini kerana ia berlaku pada detik-detik awal beliau aktif dalam dunia politik bersama dengan Pemuda UMNO tetapi kemudiannya ditangkap dan menjadi tahanan ISA. Walaupun penulis melalui tempoh tahanan yang singkat, selama 15 hari, cara penahanan yang dilakukan dan tempat beliau disumbat di dalam sebuah bilik kecil (solitary confinement) telah memberikan impak yang besar terhadap kehidupannya. Ketika itu beliau tidak lagi menyedari perubahan waktu siang dan malam dan tempat sebenarnya saya dikurung. Konsep masa (time) dan tempat (space) sudah terputus sama sekali dalam dirinya. Jam tangan diambil dan disimpan oleh pihak polis. Begitu juga telefon bimbit.
Dalam pertarungan sesama sendiri untuk merebut kuasa, maka perkakas dan institusi pemerintah turut digunakan. ISA ialah akta yang sangat digeruni dan dibenci oleh ahh politik, khususnya ahli politik pembangkang, Tetapi kali ini Mahathir Mohamed menggunakannya untuk menahan orang politik dalam kalangan partinya sendiri, UMNO. Inilah langkah yang dapat mendiamkan dan membisukan penentang politiknya. Mungkin ada yang bertanya, di manakah kedudukan dan pendirian politik penulis hingga kini? Dalam analisis dan catatan buku ini, penulis sedaya upaya memberikan penilaian yang objektif terhadap setiap watak dan aktor politik negara yang terlibat dalam peristiwa politik 1998.
Dalam siri penyiasatan yang berlangsung, penulis dipaksa untuk mengakui bahawa Anwar Ibrahim mempunyai masalah moral. Setiap kali dipaksa, penulis enggan tunduk kepada tekanan yang dikenakan ke atasnya. Ini ialah soal prinsip dan pegangan agama. Bagaimana mungkin, menurutnya, untuk beliau hanya mengakui dan menerima sesuatu tanpa usul periksa dan bukti yang nyata terhadap seseorang insan. Terpulang kepada pembaca sekalian untuk menilai apakah pendirian penulis terhadap setiap watak dan aktor yang beliau ulas dalam buku ini.











Reviews
There are no reviews yet