Legasi Ulama Melayu mengupas peranan ulama di Alam Melayu khususnya pengembangan ilmu Islam yang selari dengan metode Ahli Sunnah wal Jamaah. Pengajian akidah di Alam Melayu berdasarkan akidah Maturidiyyah melalui kitab utamanya al-Aqaid al-Nasafiyyah oleh Imam Abu Hafs ‘Umar Najm al-Diin al-Nasafi (1067–1142) dan aliran Ash’ariyyah melalui kitab Umm al-Barahin oleh al-imam Muhammad bin Yusuf bin ‘Umar bin Syu’aib al-Sanusi (meninggal pada tahun 1490 M). Dalam bidang fiqah, mazhab al-Syafi‘i telah diiktiraf sebagai mazhab fiqah rasmi di Tanah Melayu sehingga sekarang. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah membawa perubahan yang besar dalam semua aspek kehidupan masyarakat sama ada dari segi pendidikan, sosial, ekonomi dan perundangan.
Di sebalik kebangkitan dan perkembangan Islam di Tanah Melayu, golongan yang menjadi tulang belakangnya ialah para ulama. Lapan orang tokoh ulama dibincangkan dalam buku ini, iaitu Imam al-Syafi‘i, Syeikh Nuruddin al-Raniri, Tok Pulau Manis, Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Tokku Tuan Besar, Tok Syeikh Duyong, Tokku Paloh dan Tuan Guru Haji Abdul Latiff Alor Keladi. Setiap bab dikupas secara ilmiah bersumber rujukan yang sahih. Penghasilan buku ini diharap dapat membantu generasi masa kini mengenali tokoh ulama Nusantara, menggali mutiara ilmu daripada khazanah karya yang telah mereka hasilkan dan menghargai peranan mereka dalam pengembangan ilmu dan dakwah Islam di Tanah Melayu.












Reviews
There are no reviews yet