Sejarah Awal Teluk Marudu dan Matunggong merupakan pembukuan sejarah kawasan kajian yang didasarkan daripada sumber cerita etnik Rungus. Menurut masyarakat Rungus di kawasan Matunggong, nama asal Matunggong ialah Marudu. Nama Marudu itu diberikan oleh masyarakat luar, terutamanya dalam kalangan pengayau (pemenggal kepala) yang selalu menangisi kematian (mogkorudhu) apabila sampai di kawasan ini kerana tidak pernah berjaya mendapatkan kepala, sebaliknya mereka yang akan ditangisi kematiannya (korudhuan) oleh keluarga dan saudara-mara kerana tewas di teluk ini, khususnya di kuala Sungai Marudu—kini Sungai Matunggong. Pemimpin setempat bernama Sharif Osman yang berkerajaan di teluk ini pada masa itu mahu menukar nama perkampungan atas faktor kemegahan.
Nama Marudu berasal daripada kisah peperangan yang menyaksikan berlakunya kematian dalam peperangan berkenaan dan ada yang akan menangisinya (mongkorudhu). Kemenangan dalam peperangan yang berlaku di kawasan ini selalunya berpihak kepada penduduk tempatan (masyarakat Rungus) telah menarik perhatian Sharif Osman. Setelah tercapai persetujuan untuk bertukar nama kampung, maka dalam satu perhimpunan di kawasan Marudu (waktu itu Matunggong) Sharif Osman mengumumkan pertukaran nama tersebut. Sementara itu, asal usul nama Matunggong (sebutan asalnya Motunggung), dipercayai berasal daripada bunyi gong yang “motung-otung” di kawasan perkampungan Sharif Osman yang boleh didengari hingga perkampungan lain di sekitarnya.











Reviews
There are no reviews yet