Seni Tekat Perak: Kreativiti Kearifan Lokal menterjemahkan hasil penyelidikan, kajian literatur dan pengalaman penulis dalam bidang kraf yang dicatatkan menjadi satu lembaran awal tentang akal budi pemikiran di sebalik objek kraf tekat yang menyentuh tentang aspek sejarah, kearifan lokal, filasafat terhadap motif alam dan eksplorasi terhadap kreativiti seni tekat. Kajian ini menyingkap tentang keindahan seni tekat yang merupakan salah satu cabang dalam bidang tekstil yang dihasilkan dengan kaedah menyulam benang emas pada permukaan kain dasar iaitu jenis baldu. Seni tekatan amat popular di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar, Perak yang menjadi lokasi pengoperasian aktiviti penghasilan produk tekat Hajah Azizah binti Mohd Yusof pada ketika ini. Hal ini kerana kemahiran ini telah dijadikan warisan turun temurun dan terus berkembang di persekitaran tersebut sehingga kini.
Pada asalnya, barangan seni tekat dijadikan sebagai alat atau bahan kegunaan seharian di istana iaitu singgahsana diraja, perhiasan bilik tidur dan dekorasi pada pakaian rasmi sultan. Penggunaan hasil tekat masih kekal sehingga hari ini dan telah dijadikan pelbagai barangan kraftangan malahan boleh dipakai oleh masyarakat biasa. Masyarakat Melayu biasanya menggunakan barangan seni tekat ketika upacara istiadat dan majlis-majlis adat seperti kelengkapan perkahwinan, upacara peminangan, khatam Quran dan sebagainya. Namun penggunaannya masih terbatas dari segi fungsi. Hal ini kerana produk tekat memiliki nilai harga yang sangat tinggi disebabkan bahan asasnya merupakan bahan mewah. Suatu ketika dahulu, masyarakat Melayu tradisi di negeri Perak amat mementingkan kemahiran seni tekatan sehingga dijadikan kriteria oleh ibu bapa untuk memilih calon isteri untuk anak mereka.











Reviews
There are no reviews yet