Dua Pesisir: Antologi Cerpen Malaysia-Indonesia lahir hasil kolaborasi dua negara Malaysia dan Indonesia. Koleksi cerpen yang mantap digarap oleh lima sasterawan negara Malaysia iaitu Usman Awang, Anwar Ridhwan, Kemala, Baha Zain dan Zurinah Hassan serta lima karyawan sastera Indonesia iaitu Umar Kayam, Ajip Rosidi, Mochtar Lubis, Hanna Rambe dan William.
Usman Awang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara Malaysia yang ke-3. Beliau menggarap nama dalam bidang kesusasteraan Melayu moden dengan menulis puisi di samping menulis cerpen. Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara ke-10 berpengalaman luas dalam bidang penerbitan dan sangat aktif dalam penulisan cerpen, drama, novel, puisi serta esei dan kritikan sastera. Sasterawan Negara ke-11, Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama pena Kemala amat cenderung menerbitkan kumpulan puisi selain daripada cerita pendek, esei, cerpen dan drama.
Baha Zain, Sasterawan Negara ke-12, cemerlang dengan sumbangan beliau dalam kesusasteraan Melayu, Bahasa dan budaya terutama dalam bidang penulisan puisi dan cerita pendek. Zurinah Hassan merupakan sasterawan wanita pertama diiktiraf sebagai Sasterawan Negara ke-13. Beliau menulis dalam pelbagai genre dan hingga kini telah menghasilkan pelbagai puisi, cerpen, novel, kajian sastera dan memoir.
Indonesia menampilkan cerpen dari 5 pengarang terkenal, iaitu Mochtar Lubis, seorang pengarang, wartawan yang dikenal di luar negeri; pendiri Yayasan Obor Indonesia. Karyanya sudah banyak diterjemahkan dan diterbitkan di pelbagai bahasa: Inggeris, Belanda, Perancis, dan lain-lain, termasuk baru-baru ini adaptasi ke dalam bahasa Malaysia iaitu Harimau, Harimau, kerjasama dengan ITBM, dan Jalan Tak Ada Hujung, kerjasama dengan Legasi Oakheart. Mochtar Lubis banyak menerima hadiah/Award nasional dan internasional, di antaranya Magsaysay Award, Yayasan Buku Utama, dan lain sebagainya. Begitu juga pengarang Indonesia lainnya Ajip Rosidi, seorang sastrawan dan budayawan yang mendapat gelar Doktor Honoris Causa dari Universitas Padjadjaran.
Sedangkan Umar Kayam, sosiolog, novelis, cerpenis, penulis skenario film yang aktif di bidang perfileman pernah menjadi aktor film. Hanna Rambe, seorang wartawati di beberapa media yang cukup dikenal. Karyanya juga telah diterjemahkan dan diterbitkan di luar negeri. Dan yang terakhir di antara yang paling muda di antara para senior adalah William. Seorang penulis dan pengarang muda berbakat. Dua karyanya diterbitkan ketika dia masih remaja dan masih studi. Cerpennya, “Sakit Maag” dan “Elif” ini khusus dipersembahkan untuk edisi Malaysia dan Indonesia.
Cinta, kehidupan dan kemanusiaan menjadi fokus goresan para karyawan Dua Pesisir: Antologi Cerpen Malaysia-Indonesia yang mampu membuai pembaca menghayati keindahan gaya bahasa dan plot cerita yang dipaparkan.
Reviews
There are no reviews yet