Falsafah Politik Barat Masa Kini: Metafizik dan Tokoh memuatkan perbincangan-perbincangan tentang konsep-konsep penting falsafah seperti metafizik, deontologi dan teleologi, di samping perbahasan-perbahasan dalam perkara-perkara pokok yang ditekuni oleh ahli falsafah, khususnya daripada ahli falsafah analitik yang berkaitan dengan tema individualiti dan komuniti. Seterusnya, perbincangan tentang bagaimana falsafah politik itu berkembang pada era modenisme dan pascamodenisme juga dibahaskan dengan meneliti perkara-perkara pokok yang mempengaruhi perubahan gerakan berkenaan.
Falsafah politik seperti juga falsafah barat yang lain, amat berteraskan kepada perdebatan aspek metafizik. Tokoh tokohnya boleh dibahagikan kepada Kantian, utilitarian, kontraktarian dan Aristotelian yang kemudiannya membentuk beberapa sublalsalah lain seperti egalitarian dan libertarian. Buku ini menghuraikan tentang tokoh-tokoh dari Zaman silam sehinggalah ke zaman kontemporari semenjak pemikir Greek hinggalah masa kini, ahli falsafah terus berusaha menemukan kesepakatan tentang keadilan sebenar yang mempunyai nilai-nilai sejagat. Karya John Rawls, A Theory of Justice (1971) merupakan antara usaha untuk mengembalikan perbahasan mengenai keadilan sejagat ini dan pandangan beliau mendapat pelbagai respons. Golongan yang menyokong falsafah libertarianisme berhujah bahawa keadilan haruslah berteraskan konsep entitlement iaitu seseorang itu perlu diberikan monopoli terhadap yang dimiliki sebagai haknya. Golongan berpendirian egalitarian berpandangan, untuk memastikan tiada monopoli mana-mana pihak sebarang bentuk milikan itu perlulah diagih secara saksama.
Daripada perbahasan seperti inilah, ahli falsafah terutama yang berteraskan falsafah politik analitik di Amerika Syarikat melanjutkan perbahasan pada masa kini. Sebahagiannya membawa bersamanya falsafah feminisme yang membawa maksud keadilan sebenar adalah mengambil kira peranan wanita. Sebahagian lain mengubah pendekatan keagamaan yang mahukan prinsip kesejagatan yang ada, misalnya Thomastik, dijadikan nilai sebenar. Sementara golongan egalitarian menitikberatkan kepentingan komuniti. Ian Shapiro pula mengambil jalan tengah dengan falsafah separa kontekstualisme dan Burkeanisme demokratik bagi memastikan bukan sahaja semua falsafah politik barat masa kini diambil kira tetapi juga dimensi Kantianisme, utilitarianisme, kontraktarianisme dan Aristotelianisme turut dimasukkan dalam memastikan konsep keadilan sejagat benar-benar dapat memenuhi pandangan semua pihak.
Umumnya Falsafah Politik Barat Masa Kini: Metafizik dan Tokoh mempunyai tiga bahagian besar. Bahagian A adalah mengenai kerelevenan falsafah silam yang mengandungi empat bab, iaitu Bab 1, Bab 2, Bab 3 dan Bab 4. Bab 1 adalah huraian idea-idea Aristotle, Thomas Aquinas dan Machiavelli yang inti pentingnya berlegar pada persoalan etika murni melawan pekerti keji. Bab 2 pula adalah tinjauan mendalam terhadap ahli teori pakatan sosial, khususnya Hobbes, Locke dan Rousseau yang bertujuan bagi menyediakan asas kepada pemahaman tentang falsafah politik masa kini. Seterusnya, Bab 3 adalah perbincangan khusus tentang idea Kant, Bentham dan Mill yang ketiga-tiganya dibincangkan sekaligus bagi melihat pertentangan antara falsafah Kantian dan Utilitarianisme. Kedua-dua falsafah ini merupakan falsafah penting yang mempengaruhi perbahasan tentang politik dan moral pada masa kini. Idea-idea Barat masa silam ini telah dikritik oleh ramai ahli falsafah termasuklah ahli falsafah di dunia Barat itu sendiri. Bab 4 adalah perbincangan tentang kritikan-kritikan penting Edmund Burke, Kari Marx dan Friedrich Nietzsche terhadap idea-idea ahli falsafah zaman silam berkenaan.
Bahagian B memuatkan perbincangan tentang bagaimana idea-idea liberalisme pada masa kini muncul dan berkembang dan bagaimanakah idea itu dikritik pada zaman ini. Khususnya mengenai Bab 5, idea John Rawls diangkat ke permukaan bagi melihat dinamisme idea universalismenya dalam kerangka menunjukkan bahawa konsep keadilan sejagat dapat dibuktikan secara saintifik berdasarkan dua prinsip keadilan. Bab 6 adalah perbincangan tentang idea Robert Nozick yang memberikan respons serta bantahan terhadap idea Rawls tentang keadilan berkenaan dengan mengemukakan konsep keadilan berasaskan hak atau entitlement. Perbincangan mengenai Susan Okin dimuatkan dalam Bab 7 yang banyak tertumpu pada idea
Rawls, iaitu pendekatan asal mula kedudukan (the origin of position). Okin cuba membuktikan kelemahan idea tersebut, khususnya bila ia gagal melihat bagaimana keluarga sebagai satu institusi merupakan tempat bermulanya eksploitasi dan subordinasi dalam masyarakat. Bab 8 adalah perbincangan tentang Alasdair MacIntyre yang mengkritik secara habis-habisan bukan sahaja idea Rawls tetapi juga idea-idea gerakan modenisme yang dimulakan oleh Rene Descartes dan Immanuel Kant yang disifatkan sebagai gagal dalam menerangkan nilai realiti masyarakat sebenar. MacIntyre juga walaupun pada peringkat awalnya memberi sokongan kepada gerakan relativisme yang dimulakan oleh Nietzsche, akhirnya menolak juga gerakan pascamodenisme yang dilihatnya sebagai gagal menunjukkan bahawa nilai-nilai aspek murni yang sejagat sememangnya telah wujud sebagaimana yang dibahaskan oleh Aristotle dan Thomas Aquinas.
Bahagian C juga mengandungi empat bab iaitu Bab 9, Bab 10, Bab 11 dan Bab 12 yang merupakan perbincangan tentang respons terhadap perbahasan gerakan liberalisme masa kini dan kritikankritikan, sebagaimana yang dilakukan oleh Macintyre. Bermula dengan perbincangan Michael Walzer dalam Bab 9, perbahasan tentang adanya konsep keadilan yang sejagat, sungguhpun ia sangat sedikit atau nipis (thin) tetapi tetap wujud dalam semua masyarakat. Ini adalah kerana bagi Walzer setiap masyarakat dalam negara itu mempunyai takrif dan maksud keadilannya tersendiri, yang dibangunkan berdasarkan budaya dan cara hidup mereka. Namun begitu, bagi Walzer tiada seorang manusia pun yang boleh menafikan tentang adanya aspek-aspek sejagat yang dapat diterima oleh semua masyarakat. Bab 10 adalah perbincangan idea William A. Galston tentang minimum liberalisme yang antara lainnya menerangkan bahawa prinsip liberalisme merupakan sesuatu prinsip yang universal tetapi tidak hegemonik, iaitu tidak perlu berteraskan nilai liberalisme yang hegemonik. Semua masyarakat dibenarkan mengamalkan budaya dan cara hidupnya, namun manusia itu tidak dapat menolak tentang hakikat adanya persefahaman sejagat tentang inti liberalisme seperti kebebasan dan hak individu.
Reviews
There are no reviews yet