Hikayat Langlang Buana

Diselenggara oleh MOHD. YUSOF MD. NOR

DBP (Ulang Cetak, 2016)
126 halaman termasuk Daftar Kata

RM13.00

Only 1 left in stock

Hikayat Langlang Buana mengisahkan pengembaraan watak utama iaitu Raja Indera Bumaya, yang ingin mencari Tuan Puteri Kusuma Dewi dengan berkisarkan tema kisah percintaan, pengembaraan dan peperangan. Teks hikayat yang diselenggarakan dan diterbitkan ini berdasarkan sebuah naskhah yang tersimpan di Museum Pusat Jakarta.

Naskhah asalnya bertulisan tangan (Jawi) mengandungi 101 halaman. Pada bahagian kolofon dituliskan tarikh 1283 Hijrah sebagai tarikh penyalinan naskhah ini. Tarikh naskhah ini dikarang tidak diketahui. Tidak ada keterangan mengenai pengarang.

Selain daripada naskhah yang tersimpan di Jakarta, terdapat dua naskhah Hikayat Langlang Buana yang tersimpan di perpustakaan Universiti Leiden, Belanda. Penyebaran hikayat ini agak berkurangan. Liaw Yock Fang menyatakan hikayat ini hanya terkenal di Sumatera sahaja. Walau bagaimanapun, keterangan Liaw Yock Fang itu kurang tepat kerana berdasarkan bahasa pada naskhah Hikayat Langlang Buana ini, banyak pengaruh bahasa Jawa. Berkemungkinan naskhah ini ditulis di Tanah Jawa dan telah dikenali di Jawa,

Berdasarkan tema dan plot Hikayat Langlang Buana ini, ia dapat digolongkan ke dalam hasil kesusasteraan Melayu tradisional zaman peralihan Hindu-Islam. Menurut Siti Hawa Salleh, sastera zaman peralihan ini disebut sebagai Sastera Hikayat.

Semasa pengembaraan Raja Indera Bumaya berlaku beberapa peperangan. Watak utama (wira) sering dibantu oleh watak dewa kayangan iaitu Langlang Buana. Di sini kelihatan hikayat ini menampakkan pengaruh Hindunya lebih banyak daripada pengaruh Islam. Peranan dewa dan Brahman banyak diceritakan. Kerana itu hikayat ini lebih sesuai digolongkan dalam kategori sastera zaman peralihan Hindu-Islam atau Sastera Hikayat.

Walaupun tema dan plot Hikayat Langlang Buana menyerupai tema dan plot cerita-cerita panji tetapi ia tidak dapat digolongkan sebagai sebuah cerita panji. Harun Mat Piah dan Abd. Rahman Kaeh menggolongkan Hikayat Langlang Buana sebagai sebuah cerita panji—dari segi tema dan plot, tetapi tidak dari segi watak dan latar. Kesemua cerita panji berkisar pada watak utama—Raden Inu Kertapati dan Wirawati Raden Galuh Candera Kirana. Kedua-dua watak ini mengembara mencari antara satu dengan yang lain. Dalam pengembaraan, mereka menyamar. Watak utama Hikayat Langlang Buana ialah Raja Indera Bumaya dan wirawatinya Puteri Kusuma Dewi. Kedua-duanya tidak disebut sebagai panji atau raden. Latar tempat kedua-dua cerita ini juga berbeza. Dalam cerita panji, cerita berkisar pada empat buah kerajaan di Jawa iaitu Kuripan, Daha, Singhasari dan Gagelang, yang lebih jelas dari segi geografi. Tetapi latar tempat dalam Hikayat Langlang Buana kurang jelas. Peristiwa banyak berlaku di alam kayangan. Ini amat berbeza dengan latar cerita-cerita panji. Dengan itu, Hikayat Langlang Buana tidak dapat digolongkan sebagai sebuah cerita panji.

Ternyata cara penceritaan Hikayat Langlang Buana lebih mirip kepada cara hasil kesusasteraan zaman peralihan Hindu-Islam. Hikayat ini tidak pula dapat digolongkan dalam genre-genre lainnya dalam kesusasteraan Melayu. Usaha menyelenggara dan menerbitkan hikayat ini adalah untuk memperlihatkan kepada pembaca betapa banyaknya bahan bacaan lama dengan pelbagai corak yang masih terpendam. Diharapkan hikayat ini dapat menyumbangkan sesuatu kepada pembaca, pengkaji dan perkembangan kesusasteraan Melayu.

Weight0.163 kg
Dimensions21.5 × 14 × 0.7 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Series

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.