Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi merupakan sebuah tatanan khusus daripada Anwar Ibrahim yang menghamparkan enam nilai teras untuk membina Malaysia yang lebih baik dan menyediakan kaedah bagi membangunkan dasar yang sesuai dengan dunia kontemporari dan kompleks pada hari ini. Demikian ikhtiar Anwar Ibrahim menerusi kerangka dasar MADANI. Fokus Anwar Ibrahim adalah pada nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, yakni rangkuman intisari MADANI. Pemerkasaan rakyat bermula dengan rencana untuk menakrifkan semula istilah dalam kerangka MADANI, menjelaskan matlamat dan visi negara mengikut manhaj Malaysia. Penakrifan ini disusuli dengan ikhtisar tentang matlamat dan visi atau wawasan yang ingin Anwar Ibrahim capai menerusi penerapan setiap istilah.
Justeru dengan mencorakkan masa hadapan negara atas prinsip ihsan, dasar yang akan digubal akan meletakkan keutamaan terhadap membela nasib mereka berpandukan kerangka dasar MADANI. Kerangka MADANI merupakan suatu ikhtiar yang bersepadu dan holistik: kesemua enam komponennya tidak berfungsi secara berasingan; ada kesalinghubungan yang rapat antara setiap komponen, sementara ketergantungan mereka antara satu sama lain menjadikan segala dasar yang digubal menjadi lebih manusiawi, yang sentiasa ditambahbaik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat. Justeru secara kolektifnya, kerangka ini akan meletakkan asas untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang madani, maju, terampil dan terangkum. Anjakan demi anjakan yang berlaku begitu pantas memaksa kita untuk mengambil kira keadaan persekitaran yang sentiasa berubah-ubah.
Namun kita tidak akan bermula dengan sifar. Sejarah Malaysia yang panjang dan kaya menjadi landasan utama, dan daripadanya kita belajar memperbetul kesilapan serta membuka jalan menuju kejayaan. Justeru, kepelbagaian agama, kerencaman bahasa, sejarah suku kaum, dan kekayaan tradisi budaya adiwarna akan menjadi binaan asas kepada segala pendekatan kita. Sudah tiba masanya kita noktahkan segala percaturan mengejar kuasa yang semata-mata demi memenuhi tembolok peribadi dan nafsu serakah, serta menolak rasuah, politik wang dan prejudis sempit masa lalu, dan mara ke hadapan bersama, bertindak demi kepentingan rakyat dan negara. Kita tidak berhasrat untuk merubah segala-galanya, sebaliknya menuntut suatu penambahbaikan yang radikal. Dengan mewujudkan suatu kerajaan yang kukuh dan jujur, kita tidak hanya akan memimpin di depan, sebaliknya bergandingan bersama-sama rakyat untuk mendepani perubahan dan menghasilkan dasar yang kukuh untuk tindakan.
Dasar ini laksana denyut nadi rakyat, ia bertanggungjawab membela rakyat dan memperbetul segala kesilapan lalu dan sekarang. Komitmen jelas kepada prinsip ketelusan diikrarkan, bermula dengan membasmi kerosakan dan salah laku, dan bermatlamat untuk memberdaya rakyat melalui pertukaran pandangan dalam sebuah polilog demi manfaat semua. Dasar ini komited untuk memastikan rakyat celik akan masa hadapan serta membangunkan pendekatan yang berupaya mengemudi arah dalam zaman pascanormal. Kita mara ke depan sebagai sebuah masyarakat yang mampan, berintegriti dan bermaruah, dengan kesedaran tanggungjawab antara satu sama lain sebagai warganegara tanah air tercinta, bergandingan bersedia untuk menghadapi apa sahaja yang tersedia pada hari esok untuk kita.
Reviews
There are no reviews yet