Buku Sari Budaya dan Bahasa Orang Asli Jahut berasaskan kajian yang dilakukan terhadap suku kaum Jahut di petempatan mereka. Suku kaum Jahut mendiami beberapa buah perkampungan di Temerloh dan Jerantut di negeri Pahang. Penulis hanya memilih Kampung Pian, Kuala Krau, Pahang sebagai lokasi kajian kerana di sini penggunaan bahasa tersebut agak menyeluruh dan hal ini amat bertepatan dengan kajian yang dilakukan. Kajian dibuat secara etnografi dengan penulis berkunjung dan bermukim di perkampungan tersebut untuk melihat aspek sosiobudaya dan sosiolinguistik masyarakat. Tumpuan umum ialah terhadap gejala pemilihan dan penggunaan bahasa dalam seluruh aspek kehidupan seharian. Setelah dikenal pasti, pemilihan dan penggunaan bahasa dalam beberapa mandala tertentu diberikan tumpuan khusus untuk menilai tahap keterancaman bahasa ibunda mereka.
Masyarakat orang Asli adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia yang paling sedikit bilangannya. Dengan hanya sekitar 178,197 orang, mereka yang terbahagi kepada 18 suku sedang berhadapan dengan gejala keterancaman bukan sahaja dari segi bilangan tetapi juga dari segi sosiobudaya. Para antropologis setuju bahawa masyarakat ini merupakan kelompok manusia asal yang mendiami Semenanjung Tanah Melayu. Walaupun begitu masih terlalu sedikit kajian dan pendokumentasian data tentang mereka, sama ada oleh sarjana tempatan atau luar negara. Justeru, buku ini amat signifikan sebagai bahan akademik dan untuk bacaan umum tentang satu daripada 18 suku masyarakat Asli; iaitu suku kaum Jahut yang terdapat di negeri Pahang. Bilangan penduduk suku kaum Jahut di Kampung Pian, Kuala Krau, Pahang yang diperolehi daripada Data Profil Perkampungan Orang Asli Pahang-Daerah Temerloh 2009/2010 ialah seramai 702 orang.
Dapatan kajian Sari Budaya dan Bahasa Orang Asli Jahut yang dibentangkan menggunakan kerangka etnolinguistik dan tipologi keterancaman bahasa. Sebanyak mungkin angkubah mandala atau domain yang memberi kesan terhadap bahasa Jahut dibentangkan bagi membawa pembaca kepada rumusan dan ramalan tentang status keterancaman bahasa kaum ini.
Selain itu, penulis juga memaparkan buat pertama kalinya daftar kata bahasa Jahut yang masih dapat dikutip daripada penutur warga emas di Kampung Pian. Dominasi bahasa Melayu sudah begitu kuat dalam kalangan masyarakat Jahut dan diharap pendokumentasian ini sekurang-kurangnya dapat menjadi rujukan generasi akan datang, terutama dalam kalangan masyarakat Jahut umumnya dan ahli bahasa khususnya.
Reviews
There are no reviews yet