Sejarah Astronomi Islam di Malaysia menyentuh beberapa aspek sejarah berkaitan pengajian Astronomi Islam. la dimulakan dengan bab pengenalan Islam dan astronomi. Bab ini menggarap ayat-ayat aI-Quran dan hadis berkaitan keperluan dan kepentingan ilmu tersebut. Bab-bab yang seterusnya menyentuh kaedah pensejarahan, perkembangan Pengajian Astronomi Islam, penggunaan rubu‘mujayyab dalam Pengajian Astronomi Islam, kajian bintang dalam tafsiran al-Quran dan hadis serta implikasi terhadap perkembangan Pengajian Astronomi Islam. Buku ini diakhiri dengan bab perkembangan balai cerap di Malaysia.
Bidang pengajian ini telah membina kehebatan tamadun Islam merentas sejarah dunia Islam. Ia dibuktikan melalui penulisan sumbersumber sejarah: tokoh-tokoh Astronomi Islam, bahan-bahan artifak serta gambar-gambar peralatan yang digunakan dalam bidang tersebut. Pengajian Astronomi Islam telah berlangsung sejak awal kedatangan Islam dan ia diselitkan dalam pengajian fiqah terutamanya kerana kegunaannya dalam ibadat seperti menentukan waktu solat lima waktu, penentuan kalendar Islam, cerapan hilal seperti awal Ramadan dan permulaan bulan Syawal.
Penulisan sejarah Pengajian Astronomi Islam di Malaysia amat penting bagi pengukuhan jati diri anak bangsa melalui pengetahuan dalam khazanah ilmu tradisi warisan nenek moyang. Kehebatan ilmuwan tempatan telah terbukti setanding tokoh-tokoh astronomi Islam silam demi kelestarian ilmu tersebut dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia.
Sejarah pengajian astronomi Islam di Malaysia, digarap daripada aktiviti keilmuan yang dilalui oleh tokoh-tokoh astronomi. Biografi tokoh-tokoh astronomi Melayu memaparkan warisan ilmu dari timur tengah berdasarkan rantaian ilmu yang disusur-galur kepada tokoh astronomi zaman awal Islam seperti Al-Khawarizmi, Al-Battani, Al-Biruni dan lain-lain. Penyelidikan perpustakaan di beberapa buah negeri menunjukkan kitab-kitab turath seperti Al-kitāb al-mukhtaṣar fī ḥisāb al-ğabr wa’l-muqābala (The Compendious Book on Calculation by Completion and Balancing) oleh Al-Khawarizmi, kitab Suwar al-Kawakib oleh Abdul al-Rahman al-Sufi dirujuk oleh pengkaji-pengkaji astronomi. Aktiviti penulisan kitab-kitab astronomi penting bagi memastikan ilmu tidak pupus dan terus berkembang.
Justeru, buku ini mendokumentasikan sejarah pengajian ilmu Astronomi Islam di Malaysia sebagai rujukan pelajar, pendidik, pengkaji, sarjana dan sesiapa sahaja yang berminat dengan bidang ini sejajar dengan pembangunan pendidikan Astronomi Islam di Malaysia sejak akhir-akhir ini.
Reviews
There are no reviews yet