Sejarah Tamadun Alam Melayu, Jilid 1: Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda membentangkan beberapa teori dan dapatan terbaru dalam penyelidikan ilmiah mengenai asal usul Bangsa Melayu, yang mungkin akan mencetus kontroversi dan polemik serta menarik minat bagi mereka yang terbuka minda ingin mengetahui secara lebih mendalam tentang perkembangan tamadun di Alam Melayu dan tentang penghuninya yang asal. Kira-kira 20 tahun yang lalu, dua penyelidik antropologi (Wan Hashim) dan arkeologi (Nik Hassan Suhaimi) di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengemukakan dapatan kajian mereka yang menolak teori besar bahawa bangsa Melayu berasal dari Wilayah Yunnan atau Selatan Negeri China.
Mereka mengemukakan teori bahawa migrasi moyang kepada rumpun Melayu dari kabilah Negrito komposit dari Semang dan Senoi adalah secara terus menerus dari benua Afrika melalui Timur Tengah ke benua Melayu Sunda atau Alam Melayu di antara 65,000-75,000 tahun yang lalu. Dalam sebuah buku lain, Eden in the East: The Drowned Continent of Southeast Asia seperti disebut dalam tulisan ahli falsafah Greek Plato (330 SM) adalah benua Melayu Sunda; dan pandangan ini disokong oleh beberapa sarjana lain. Zaharah Sulaiman telah menghabiskan masa tujuh tahun mengumpul bahan dan meneliti lebih 1,000 sumber penyelidikan dari tokoh-tokoh penyelidik berwibawa dunia, telah membuat rumusan bahawa:
i) Martin Richards, antara penyelidik archaeogenetics terkemuka dunia menyimpulkan, “keputusan terbaru mencadangkan bahawa Saudi sememangnya ‘Pentas Pertama’ (first staging post) dalam penyebaran manusia modern ke seluruh dunia”, dan Benua Melayu Sunda adalah antara tapak permulaan tamadun awal manusia, ‘gene pool‘ atau ‘kolam pembenihan etnik’ dan pembentukkan bangsa Melayu Induk dalam evolusi puluhan ribu tahun.
ii) Bahawa penghuninya adalah peneroka dalam ilmu pelayaran sehingga mereka diberi gelaran ‘vikings of the orient‘ dalam The Malays: A People of Fascinating Divisions oleh John Tiffany, pembina kapal yang lebih besar daripada Flor De La Mar kebanggaan Portugis.
iii) Pentadbir Empayar Melayu Funan, Champa, Kedah Tua, Empayar Srivijaya, Empayar Langkasuka hingga ke Kelantan, Empayar Melaka sebagai sebuah pelabuhan perdagangan terbesar di dunia pada abad ke-2 hingga ke-15 mengatasi pelabuhan Venice.
iv) Pembina puluhan kerajaan dan negara kota sebelum satu demi satu ia diceroboh, serta dimusnah oleh kuasa-kuasa Eropah dan kabilah-kabilah jiran yang lebih agresif mulai awal kurun ke-16. Dan zaman itulah juga bermulanya kejatuhan dan kemunduran rumpun bangsa Melayu-Polinesia yang berjumlah lebih 400 juta manusia, menduduki sekitar satu per-enam muka bumi ini.
Di zaman kunonya, kegemilangan Asia Tenggara telah diperkenalkan oleh seorang pengkaji bumi Yunani (Greece) bernama Ptolemy dalam bukunya Geographia yang menamakan Semenanjung Tanah Melayu sebagai ‘Aurea Chersonesus‘, atau dalam bahasa sanskritnya Suvarnadvipa yang bermaksud Semenanjung Emas sementara Java dinamakan ‘Labadius‘, dalam Sanskritnya Yavadvipe yang bermaksud Pulau Emas. Dalam teks Hindu kuno Asia Tenggara pula dipanggil Suvarnabhumi yang bermaksud Bumi Emas. Teks Cina merujuk Semenanjung Malaysia dan selatan Burma sebagai Suvarnakudya atau Wall of gold. Bergenerasi orang purba di benua ini, diikuti pengkaji sejarah hari ini menamakan tanah ranah dari Segenting Kra utara Semenanjung Tanah Melayu, Jawa dan Borneo sebagai benua Sunda, penghuni dan pedagang bumi ini adalah keseluruhannya daripada rumpun Melayu dan saudara terdekatnya Polinesia.
Reviews
There are no reviews yet