Sutan baginda mengisahkan hal orang politik yang sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk kepentingan politik mereka demi mencapai ‘glory’ dan ‘power’. Politik bagi mereka bukan lagi amanah yang sewajibnya dijaga dan disanjung tetapi politik sudah menjadi nafsu amarah yang hanya mengejar kekuasaan untuk mengisi perut. Bagaimanapun politik gelabah hodoh begini akan terarah kepada puncak kehancuran kerana demikianlah janji Allah. Dan Sutan Baginda akhirnya mengalami sakit jiwa di hujung dunia balasan daripada ketidak-ikhlasan ketidakjujuran dan lemahnya keimanan.
Demikian tertekan dan tertindasnya jiwa-hati oleh iklim persekitaran sehingga lahirlah Sutan Baginda. Politik bukan lagi amanah yang sewajibnya dijaga dan disanjung tetapi politik sudah menjadi jenis nafsu amarah yang hanya mengejar kekuasaan untuk mengisi perut. Persoalan segan-silu dan malu-alah dan hormati-menghormati dan jujur ikhlas dengan sendirinya terhakis. Masing-masing melonjak wajah dan fiil untuk ampu konco-konconya. Dan bila jari-jari terpaut pada dahan yang agak kukuh, konco sendiri itu pun disepak terajangkan; malah segala benda yang terjangkau, termasuk maruah sendiri, dieksploitkan selicik mungkin. Waktu itu tak kira lagilah tentang amanah, tanggungjawab, keadilan atau keimanan.
Itulah yang nampaknya berlaku dalam iklim politik gelabah dan hodoh sekarang ini sehingga segala peralatan diperkakaskan termasuk hati sendiri, maruah sendiri, agama sendiri dan isteri suami sendiri. Dan Sutan Baginda memperlihatkan wajah yang hodoh itu—wajah hodoh yang hanya sampai hati wujud dalam kepimpinan politik yang berjiwa reput dan bersisa. Dan seperti sisa-sisa lain, sisa-sisa politik ini pun akan luput dan terhakis juga di hujung perjalanannya kerana itulah yang dijanjikan oleh Allah. Yang hak tetap hak, yang palsu akan luput. Yang palsu pasti luput akhirnya. Sutan Baginda akhirnya luput di hujung perjalanan. Dan waktu itu sisa hidupnya tidak bermakna lagi selain yang diludahi orang dan dihurungi langau-langau.
Demikian politik gelabah hodoh kontemporari yang berkembang kesongsangan dan terarah kepada puncak kehancuran yang pastinya parah kerana demikian janji Allah. Iklim inilah yang menekan dan menindas hati-jiwa sehingga tergelodak daya persepsi, menggelisahkan sensitiviti dan terus menggalakkan daya kreatif. Dan akhirnya di subuh yang bening dalam cuaca yang basah lahirlah novel pendek Sutan Baginda. Dan Sutan Baginda benar-benar licik dengan taktik-taktik dan cekcok-cekcoknya; mengikis segala adab dan susila ketimuran dan keislaman sehingga buah-buah hati pun hanya dilihat sebagai barang-barang sekadar untuk dieksploitkan untuk perut dan syahwat sendiri. (ms. vi—vii)
Anonymous (store manager) –
Anonymous (store manager) –
Rafizal Ali (Verified Reader) –