Warkah Melayu Lama membincangkan aspek komponen warkah, struktur warkah sosial, struktur warkah perjanjian, serta variasi struktur warkah-warkah tersebut; aspek bahasa dalam kepala surat dan juga cap-cap yang digunakan oleh pengirim; dan strategi komunikasi dan kesopanan dalam warkah. Lebih 400 tahun yang lalu warkah telah menjadi salah satu daripada medium komunikasi antara para pedagang dengan kerajaan tempatan dan juga hubungan diplomatik antara kerajaan. Warkah-warkah ini dikarang dengan berstruktur, menggunakan kata-kata yang indah, tulisan jawi yang cantik serta hiasan yang menarik yang menggambarkan tamadun yang tinggi pada zaman tersebut. Kekayaan khazanah persuratan Melayu, kehalusan budi dan kesenian Melayu dipaparkan dalam buku ini.
Kajian tentang warkah-warkah Melayu lama amat kurang dilakukan oleh para pengkaji sama ada pengkaji tempatan mahupun pengkaji luar negara. Lebih empat ratus tahun yang lalu warkah telah menjadi salah satu daripada medium komunikasi antara para pedagang dengan kerajaan tempatan dan juga hubungan diplomatik antara kerajaan. Peranan surat amat penting dan pada zaman tersebut dan ini dapat dilihat dalam warkah-warkah Melayu yang dipaparkan dalam buku ini. Kepentingan warkah-warkah Melayu tidak akan dapat dilihat sekiranya tidak dilakukan kajian yang teliti terhadap manuskrip ini.
Aspek bahasa dalam kepala surat dan juga cap-cap yang digunakan oleh pengirim dibincangkan dengan terperinci kerana kedua-dua komponen ini mempunyai unsur yang berkaitan dengan diri pengirim warkah. Bahagian-bahagian lain dalam komponen ini juga dibincangkan dengan mendalam. Setiap komponen yang terdapat dalam warkah ini dibincangkan dari pelbagai aspek sama ada aspek bahasa, aspek budaya ataupun aspek lain yang berkaitan.
Warkah Melayu lama merupakan manuskrip terawal yang terdapat di Alam Melayu dan merupakan warisan bangsa yang tidak ternilai. Ia penting sebagai sumber primer tentang kajian politik, hubungan diplomatik dan sejarah ekonomi orang Melayu dan juga dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu. Pada zaman lampau warkah digunakan oleh para pembesar atau sultan untuk mengadakan hubungan perdagangan ataupun mengirim berita. Selain pembesar dan sultan, para pedagang yang terdiri daripada pelbagai bangsa, seperti Portugis, Inggeris, dan Belanda juga menggunakan warkah untuk tujuan yang sama.
Reviews
There are no reviews yet