Yang Nakal-Nakal menghimpunkan 17 cerpen dan 8 sajak oleh Sasterawan Negara Usman Awang. Ia adalah satu sisi Usman Awang yang lain; tulisan dan cerita yang antaranya memperlihatkan beliau sebagai pucuk muda, yang mencuba-cuba mengolah bakat menulis dengan bayangan kenakalan yang berlapik. Tidak ada hal-hal patriotisme seperti yang sedia dimaklumi di sini. Perkara itu sangat cliché ketika membicarakan sosoknya. Tetapi, yang ada adalah satu sisi lain: nuansa sensual yang dikait ke dalam setiap pemerhatiannya.
Perasa dari setiap cerita dan sajak yang dihidangkan dalam himpunan ini tidak sama seperti himpunan tulisan yang biasa ditemui. Usman Awang yang ingin dipersembahkan dalam himpunan ini adalah seorang penulis yang kadang-kadang mencuit hati, walaupun tetap memasang kepekaan yang tinggi terhadap persekitaran. Ia adalah satu sisi Usman Awang yang lain, mungkin saja tulisan yang terlahir dari rentang waktu yang panjang, tulisan dan cerita yang antaranya memperlihatkan beliau sebagai pucuk muda, yang mencuba-cuba mengolah bakat menulis dengan bayangan kenakalan yang berlapik.
Antaranya, perli-perli kepada kelompok sendiri, terutamanya orang Melayu (kerja yang sama dilakukan misalnya oleh Za’ba dengan gigih) yang terus mengena batang hidung. Sebahagiannya juga adalah cerita dalam lenggok satira yang akar membuatkan kita tersenyum, padahal beliau sedang mengasah kata dengan sangat tajam untuk dihamburkan dengan hemah, dan tetap mengandung erti yang bukan kosong. Walaupun mungkin ramai yang akan menanggapi itu sebagai kritik sosial, ia sebenarnya ditampilkan dengan cara gaya yang memikat, jika tidak keterlaluan dinyatakan begitu. Cerita-cerita yang tidak kering daya bayang, walaupun kebanyakan situasi yang diceritakan itu ringkas dan bersaja.
Ada beberapa yang sudah selalu ditemukan. Ada juga beberapa yang barangkali belum pernah dibukukan, yang ditulis asalnya dengan nama pena berlainan, yang dikutip dari penerbitan seperti majalah yang bertaburan judulnya. Nama pena yang bermacam ini juga menarik; di zaman itu, penulis tidak ramai. Usman menggunakan pelbagai nama untuk menampakkan yang bilangan kelompok penulis sepertinya itu semakin bercambah. Atau, siapa tahu mungkin dia sedang berangan memunculkan alter-ego yang bertukar-tukar dan mencari gaya tersendiri untuk setiap mereka.
Ironi juga, beberapa cerita yang terkandung ini menyentuh perihal pilihan raya. Semacam ia satu keraian yang perlu diberi perhatian khusus. Juga, kisah-kisah polis (yang kerap disebut mata-mata) dengan seribu satu gambaran yang agaknya terbit dari pengalaman Usman Awang sendiri yang pernah bertugas dengan pasukan itu sebelum giat menulis.
Nikmatilah himpunan cerita dan sajak yang tersimpan dalam Yang Nakal-Nakal. Senyumlah dengan hati yang girang ketika bertemu dengan baris-baris ayat dan babak ‘gatal’ yang dihidangkan. Cuma, perlu diingat juga, itu semua adalah hal-hal kulit saja. Lebih penting yang ingin disampaikan adalah citranya, yang tersurat dan tersirat, dari waktu dan era sebelum ini untuk tatapan pembaca alaf 21.
Reviews
There are no reviews yet