Umbaian untuk Panduan Keadaan Buku 22 May 2021
Umbaian adalah padanan untuk istilah ‘glossary‘ yang mana kami menemui penggunaannya di dalam buku Istilah dan Konsep Pengukuran Tradisional Alam Melayu tulisan Shaharir Mohamad Zain. Justeru, senarai umbaian yang kami ketengahkan ini adalah bertujuan sebagai rujukan kepada para penjual buku serta pembeli buku secara am, dalam memudahkan urusan mengenal pasti serta menerangkan keadaan dan rupa fizikal sesebuah buku terutamanya buku-buku bekas atau stok lama.
Panduan umbaian ini, dibantu dengan merujuk kepada senarai yang dikeluarkan oleh AbeBooks—memandangkan kurangnya rujukan yang berwibawa dalam Bahasa Melayu oleh mana-mana badan berkanun atau perpustakaan dalam Malaysia, buat masa ini.
Baharu (As New): Lazimnya, istilah ini merujuk kepada buku-buku cetakan baru, yang mempunyai keadaan sama sebagaimana sewaktu ianya diterbitkan. Ianya juga boleh digunakan untuk buku stok lama, yang mungkin tersimpan dalam gudang untuk beberapa tempoh masa yang panjang, dan tidak pernah dibuka atau diselak.
Sempurna (Fine): Buku yang sempurna, mempunyai keadaan semacam naskah baharu, tetapi mungkin sudah dibuka, diselak, dan malah dibaca, namun tiada sebarang kecacatan/kerosakan pada kulit buku, pembalut, atau halamannya.
Sangat Baik (Very Good): Keadaan ini memerihalkan naskhah buku yang mempunyai kecacatan/kerosakan kecil, tetapi tiada sebarang renyuk atau koyakan pada pembalut, kulit, atau helaian halamannya.
Baik (Good): Keadaan ini memerihalkan buku terpakai/bekas yang kelihatan usang pada kesemua halamannya.
Boleh Diterima (Fair): Keadaan ini memerihalkan buku terpakai/bekas yang mungkin kehilangan beberapa halaman tidak kritikal seumpama endpapers, half-title, dan sebagainya—yang tidak menjejaskan kandungan halaman utamanya. Boleh jadi, keadaan ini boleh juga digunakan untuk menerangkan buku yang mengalami kerosakan pada pembalutnya.
Bermutu Rendah (Poor): Keadaan ini memerihalkan buku yang cukup terpakai, kehilangan beberapa halaman penting serta komponen utama seperti lampiran peta, indeks. Naskah tersebut boleh jadi kelihatan usang dan kotor, adanya gores-gores yang jelas, berbintik/bernoda, dan tulang buku yang sudah tidak lagi kemas.
Naskhah Tetulang (Binding Copy): Keadaan ini memerihalkan naskhah buku yang mempunyai isi halaman yang baik tetapi tetulangnya rosak, atau rapuh, atau longgar, atau mungkin sudah tiada lagi tulang belakang.
Naskah Selakan (Reading Copy): Keadaan ini memerihalkan naskhah buku yang masih boleh dibaca, teks masih jelas kelihatan, walaupun mutu fizikalnya sudah mengalami kerosakan—dari berkeadaan Boleh Diterima (Fair) sehingga ke Bermutu Rendah (Poor).
Untuk melengkapkan Skala Penggredan Buku di atas, beberapa istilah lain turut disenaraikan dalam senarai umbaian ini yang boleh digunakan berselari bagi menerangkan keadaan buku dengan lebih rinci.
Melengkung (Bowed) — Keadaan ini biasanya terjadi pada buku berkulit keras. Kulit buku mungkin melengkung ke dalam atau ke luar, yang berkemungkinan terhasil akibat pertukaran tahap kelembapan udara yang rencam dalam suatu tempoh masa, yang mempengaruhi kadar pengembangan dan pengecutan terhadap bahan yang digunakan pada balutan kulit tersebut.
Sumbing (Chipped) — Digunakan untuk memerihalkan keadaan buku yang kehilangan kepingan kecil dari kulitnya, mungkin terkopek, atau tersodok, atau tercarik pada pembalutnya atau bucu halamannya.
Tompokan Capuk (Dampstained) — Biasanya digunakan untuk menerangkan buku yang mempunyai noda pada kulit buku atau halamannya, akibat dari kesan makanan, atau peluh. Umumnya, keadaan ini tidak seteruk kesan yang terhasil akibat tumpahan air.
Gelap (Darkening) atau Pudar (Fading) — Kebiasaanya, keadaan ini terjadi akibat buku terdedah kepada pancaran cahaya dan haba dalam suatu tempoh masa tertentu, yang menyebabkan tekstur warnanya berubah menjadi semakin gelap atau semakin pudar.
Kelusuhan Susur (Edgeworn) — Keadaan ini biasanya kelihatan pada bucu atau susur tepi buku berkulit keras.
Naskhah Lupus (Ex-library) — Naskah ini biasanya berasal dari proses pelupusan perpustakaan awam. Umumnya, naskhah dari simpanan perpustakaan akan mempunyai penanda bercetak logo, pelekat nama, dan kesan penggunaan/pembacaan umum dari pengguna perpustakaan. Sebarang naskhah yang berasal dari proses pelupusan pustaka, mestilah ditandai dengan sewajarnya sebagai pelupusan pustaka.
Tompokan Perang (Foxed/Foxing) — Kebiasaan bintik atau tompok perang atau coklat terhasil pada kertas halaman buku akibat dari tindak balas kimia bahan pembuatan kertas tersebut. Menurut AbeBooks, keadaan ini biasanya dijumpai dalam buku yang dicetak pada abad ke-19 yang mana cetakan menggunakan teknik ukiran keluli. Pemerhatian kami, buku-buku yang dicetak pada sekitar 90-an sehingga awal 2000, pun masih mengalami keadaan yang sama apabila disimpan dalam suatu tempoh masa tertentu.
Tetulang Longgar (Loose) — Bahagian tetulang buku sudah longgar sehingga ke suatu tahap, naskhah boleh dibentangkan rata pada sebarang halaman tanpa sebarang masalah. Umumnya, buku baharu akan mempunyai ikatan tetulang yang kejap dan buku sukar untuk diselak tanpa ada masalah halaman tertutup dengan sendirinya.
Naskhah Solekan (Made-up Copy) — Biasanya keadaan ini menerangkan buku yang beberapa bahagianya merupakan cantuman dari beberapa naskhah yang rosak, menjadi suatu naskhah baharu.
Keratan Harga (Price Clipped) — Untuk sesetengah buku terpakai/bekas, keadaan ini menerangkan pekedai mengerat harga yang terdapat pada bucu sampul pembalut (dust jacket).
Tetulang Baru (Re-backed) — Naskhah yang telah melalui proses pembaikpulihan atau gantian tetulang yang baharu.
Pengikatan Baru (Re-cased) — Naskhah yang dilekatkan kembali pada sampul asal yang tercabut.
Penyambungan Baru (Re-jointed) – Naskhah yang dibaiki dengan mengekalkan sampul asal termasuklah tetulangnya.
Gembur (Shaken) — Suatu keadaan yang memerihalkan halaman buku mula berpisah dan berderai dari ikatan tetulangnya.
Kelusuhan Rak (Shelf Wear) — Kesan kelusuhan ini kebiasaannya berlaku terhadap naskhah buku yang kerap kali disimpan dan diambil dari rak buku, yang menyebabkan telapaknya menjadi haus, atau terdapat kesan kelepek, atau kehitaman akibat berlakunya geseran pada lantai rak buku. Kesan lusuh ini turut kelihatan pada sampul pembalut, atau bucu atas tetulang.
Terjemur (Sunned) — Kulit buku pudar akibat terdedah terhadap cahaya matahari secara langsung.
Ketat (Tight) — Keadaan ini memerihalkan naskhah yang berlawanan dengan keadaan Tetulang Longgar. Biasanya terjadi pada naskhah baharu keluar dari cetakan.
Dipangkas (Trimmed) — Keadaan yang menerangkan naskhah buku telah dipotong kepada saiz yang lebih kecil berbanding saiz asal sewaktu dicetak dari kilang.
Melekat (Unopened) — Keadaan yang menerangkan halaman buku yang melekat antara satu sama lain, sama ada terhasil akibat gam tetulang sewaktu proses pengikatan buku, atau proses pangkasan tidak kemas menyebabkan helaian halaman masih bersambung.
Naskhah Bawah Tara (Working copy) — Keadaan naskhah yang lebih teruk berbanding Naskhah Selakan (Reading Copy), yang mungkin memerlukan proses pembaikpulihan yang khusus.
Bubuk (Worming, Wormholes) – Naskhah sudah berlubangan akibat dimakan bubuk.
Kami yakin, pengistilahan di sini mungkin ada kelemahan dan kekurangannya, dan kami sangat mengalu-alukan sebarang cadangan penambahbaikan untuk manfaat semua yang membuat rujukan pada masa-masa akan datang, terutamanya penjual buku.