Tiga Sebab Kami Teruja dengan Kegawatan dan Crises 25 December 2023
Sepanjangan kami menyunting dan mengusahakan penerbitan novelet Kegawatan dan edisi terjemahannya, Crises; kami menemukan paling kurang ada tiga hal yang mendatangkan keterujaan kami kepada karya ini.
Pertama, mengenali seorang Faisal Tehrani sebermula awal.
Mereka yang mengenali Faisal Tehrani lewat novel-novelnya pasti akan mengenali Faisal Tehrani dari perspektif yang rencam. Mereka yang mengenali beliau melalui 1515, pasti tak sama yang mengenal Faisal Tehrani melalui Perempuan Nan Bercinta ataupun Profesor.
Begitulah Faisal Tehrani, musafir intelektual beliau jauh menyeberang pelbagai idea dan gagasan. Namun yang istimewanya, Kegawatan adalah langkah pertama beliau dalam memulakan permusafiran intelektual yang panjang tersebut.
Kedua, klasik Faisal Tehrani.
Ada sebahagian pembaca merindukan Faisal Tehrani di zaman awalnya—Faisal Tehrani yang bercirikan ‘orang perjuangan’, tegar dengan idea Islam dan cita-cita bangsanya.
Nah, Kegawatan adalah sebuah novelet yang menjadi cerminan kepada era tersebut. Era klasik. Era tatkala Faisal Tehrani dipuji, dipuja dan didamba. Dan ia menjadi penawar rindu kepada sesiapa yang mengikuti Faisal Tehrani sedari awal.
Ketiga, menggilap kembali mutiara yang berlumpur.
Seperti yang kami kongsikan, Kegawatan adalah sebuah novelet yang terkandung dalam naskhah Tiga Kali Seminggu yang pernah diharamkan kerajaan Malaysia pada tahun 2015. Kenapa pernah? Sebab perintah pengharaman ini telah pun ditarik semula pada tahun 2018 yang lalu oleh para hakim di Mahkamah Rayuan.
Natijah pengharaman, buku tersebut tiada lagi di pasaran. Apatah pembaca yang mahu menjamahnya. Maka Kegawatan yang muncul ini adalah sebuah nyawa yang dikembalikan untuk tatapan lebih ramai pembaca di luar sana.
Mungkin ini keterujaan kami, justeru keterujaan inilah yang membuatkan kami berhati-hati untuk memberikan persembahan yang terbaik kepada penerbitan Kegawatan dan Crises.
Maka teman-teman, jangan lupa. Kami akan membuka pra-pesan untuk Kegawatan dan Crises pada Rabu ini, 27 Disember, jam 8.00 malam melalui rangkaian emel kami. Masukkan emel di bawah, kami akan hantarkan kiriman emel yang mengandungi pautan pra-pesan nanti.
Moga usaha penerbitan semula Kegawatan dan Crises buat teman-teman pembaca berbaloi hendaknya. Amin.
Newsroom
THE LATEST NEWS AND UPDATES, DIRECT FROM KAWAH BUKU.