Pusaka Watan dalam Manuskrip Melayu menghimpunkan sejumlah makalah yang membincangkan perihal manuskrip Melayu sebagai suatu warisan pusaka yang penting dengan merangkumi perbincangan politik diplomasi, etnosentrisme, sejarah kesultanan, kesusasteraan, budaya dan bahasa. Sesebuah masyarakat yang bertamadun mempunyai daya pemikiran dan kemahiran menulis serta membaca yang menjadi satu syarat dalam penyebaran ilmu. Masyarakat Melayu meneruskan legasi sebagai masyarakat bertamadun dengan merekodkan pencapaian dan kejadian yang telah berlaku dan yang sedang berlaku dalam zaman mereka dalam bentuk bertulis yang menjadi rekod sejarah yang mampu menjadi bukti pencapaian masyarakat Melayu. Manuskrip menyimpan seribu satu kisah tentang kehidupan masyarakat di wilayah yang diberi nama alam Melayu ini.
Manuskrip dihasilkan dalam pelbagai bentuk sama ada yang berjilid atau pun tidak berjilid. Naskah manuskrip yang berjilid sering menyimpan pelbagai ilmu yang mempunyai teks yang panjang dengan pelbagai perbincangan yang terhasil daripada pemikiran penulis. Bagi naskah manuskrip yang tidak berjilid seperti warkah rasmi mahupun tidak rasmi mengandungi maklumat yang berkisar tentang kehidupan dan kejadian yang berlaku sewaktu warkah tersebut ditulis. Selain daripada jenis manuskrip yang menyimpan ilmu tempatan ini, teks manuskrip alam Melayu boleh diterokai daripada pelbagai kaedah penelitian manuskrip seperti filologi, kodikologi, epigrafi, transliterasi, transkripsi dan terjemahan. Setiap daripada kaedah ini akan membawa kepada serlahan ilmu yang lebih luas mengenai kehidupan, pemikiran dan budaya masyarakat yang tinggal di alam Melayu. Justeru itu, bab dalam buku ini disusun dalam tiga tema utama, iaitu pensejarahan, kebitaraan pengarang Melayu dan keindahan teks dalam manuskrip Melayu.















Reviews
There are no reviews yet