al-Simt al-Majid dalam Masyarakat Melayu menyelidiki pengaruh al-Simṭ al-Majīd, sebuah kitab yang masih berbentuk asal, belum dicetak, karya Shaykh Ahmad al-Qushashi, salah seorang ulama Haramayn dari abad ke-17 Masihi. Jaringan antara ulama dengan ulama Haramayn (Makkah dan Madinah) telah terjalin semenjak Islam tersebar di Alam Melayu. Hasil daripada kegiatan Islamisasi ini muncul pada awal abad kelima Hijrah (abad ke-11 Masihi) pelbagai pusat dakwah dan pengajian kitab yang berkiblatkan Haramayn pusat ilmu pengetahuan agama.
Antaranya ialah zawiyah Cot Kala di Kerajaan Islam Perlak yang mewarisi tradisi pengajian kitab dan amalan serta tarekat bersanad. Daripada zawiyah ini bercambah pelbagai institusi pengajian, seperti pondok, pesantren dan surau yang mempunyai hubungan keintelektualan di antara satu sama lain di samping berkiblat Haramayn sebagai pusat ilmu pengetahuan agama.
Hubungan erat antara Haramayn dan Alam Melayu terus ditingkatkan pada abad ke-12 Masihi. Beberapa rombongan yang terdiri daripada para pendakwah diutus ke Alam Melayu. Antaranya rombongan yang diketuai oleh Shaykh Ismā’īl al-Zarfī yang membawa al-Qur’ān untuk disampaikan beberapa kerajaan Melayu yang baru menerima agama Islam. Rombongan lain diketuai oleh Shaykh Abdullah al-Malik al-Mubin pada era Sultan Alaiddin Firman Syah (1309-1354M).
Penyebaran dakwah Islamiah diteruskan oleh para pembesar Kerajaan Aceh Darussalam yang adalah kerajaan Islam terbesar di Alam Melayu, iaitu dengan membahagi tugas dakwah kepada lima kelompok, Shaykh Ahmad al-Tawawi ke Samudera-Pasai, Shaykh Muhammad Sa’id Tathiri ke Campa, Shaykh Muhammad ke Minangkabau, Shaykh Muhammad Dawud ke Patani dan Shaykh ‘Abd al-Wahid ke Kedah.
Hubungan ini berterusan ke abad 17 Masihi. Ramai ulama al-Haramayn turut memberi sumbangan dakwah dan keilmuan ke Alam Melayu, antara mereka ialah Shaykh Ahmad al-Qushashi. Beliau berjaya menghasilkan lebih kurang 78 buah karya dalam bidang akidah dan tasawuf, seperti al-Simṭ al-Majīd, aI-Durrah al-Thamīnah, al-Thanā’ aI-Manzzūm, Daw’ aI-Hālah fi ism hua wa aI-Jalālah, dan Wasiyat li aI-Awlād wa aI-Bariyyah. Karya beliau disusun dalam bentuk prosa dan puisi Arab.
Sanad kitab al-Simṭ al-Majīd diperoleh daripada salasilah dalam Jadual 1.1 Sanad Salasilah Pengajian ilmu kitab al-Simt aI-Majid. Teks al-Simṭ al-Majīd diperoleh daripada naskhah yang diterbitkan oleh Majlis Dā’irat al-Ma’ārif al-Nazzamiyah al-Kā’inah, India, pada tahun 1327H. Selain itu, telah ditemukan dengan naskhah manuskrip aI-Simt al-Majid di beberapa tempat, seperti perpustakaan al-Kutub wa al-Wathā’iq al-Qawmiyyah di Qaherah, di bawah no. 89 tasawwuf, mengandungi 94 halaman, selesai penyalinannya pada tahun 1097H, dan ditemui juga di Markaz Jum’ah al-Mājid li al-Thaqafah wa al-Turath di Dubai di bawah No. 228812, 56235 sebanyak 199 halaman dan daripada Maktabat al-Asad di Syria di bawah No. 8458 (GA) mengandungi 23 halaman.
Kitab al-Simṭ al-Majīd karangan Shaykh Ahmad al-Qushāshi adalah kitab akidah dan tarekat. Antara pembahasannya ialah kelebihan berzikir dengan ungkapan La illa hail Lallah, adab-adab berzikir, cara berbay’at dan diikuti salasilah ahli tarekat yang wujud di Semenanjung Tanah Arab.
Sungguhpun Ahmad al-Qushashi tidak menjejaki kakinya ke Alam Melayu, namun pengaruh pemikiran, amalan dan tarekat beliau telah memberi impak besar dalam pembentukan jati diri masyarakat Alam Melayu melalui murid-muridnya. Antara mereka ialah Shaykh Abdul Rauf Ali al-Fansuri al-Singkili, Shaykh Daud al-Fathani, Shaykh Ahmad Fathani, Tok Kenali, Wan Ali Kutan al-Kelantani, Tok Pulau Manis, Shaykh Abdullah Fahim dan lain-lain.
Jelas di sini, Shaykh Ahmad al-Qushashi telah berjaya mengemukakan karya agungnya ini sebagai landasan untuk membentuk jati diri masyarakat Alam Melayu hari ini dan akan datang.
Reviews
There are no reviews yet