Out of stock

Bahasa Istana D’Raja Kelantan: Mercu Kegemilangan Budaya

NIK SAFIAH KARIM adalah Profesor Emeritus (Bahasa) dan Ahli Jawatankuasa Adat Istiadat MAIK.

ROZITA CHE RODI adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

MAIK (Cetakan Pertama, 2019)
195 halaman termasuk Bibliografi dan Lampiran

RM35.00

Out of stock

Bahasa Istana D’Raja Kelantan: Mercu Kegemilangan Budaya memperincikan keunikan bahasa istana D’Raja Kelantan, serta peranan dan pengaruh bahasa istana dalam menjadi pemersatu antara golongan diraja sebagai pemerintah dan golongan rakyat jelata sebagai yang diperintah. Sebagai tumpuan utama penulisan, huraian tertumpu kepada penyenaraian perbendaharaan kata khusus dalam bahasa istana Kelantan serta beberapa aspek penggunaan loghat Kelantan. Selain itu, bagi memenuhi objektif penulisan buku ini, gelaran-gelaran khas atau utama yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan turut disentuh secara sepintas lalu. Ini memberi gambaran bahawa Baginda Tuanku begitu prihatin dan menyanjung tinggi setiap individu yang menyumbangkan jasa dan taat setia kepada negeri Kelantan Darul Naim.

Usaha penerbitan buku ini diharap dapat membantu masyarakat Melayu menerokai semula segala khazanah yang semakin dilupakan ini. Di samping itu, kajian ini juga merupakan usaha para pengkaji untuk melestarikan kembali bahasa istana Kelantan, iaitu khazanah agung yang menjadi sebahagian daripada warisan jati diri masyarakat Melayu Kelantan. Selain itu, penerbitan buku ini selaras dengan hasrat MAIK yang melihat betapa perlunya khazanah ini dikaji dan didokumentasikan demi terus memartabatkan kedaulatan institusi diraja.

Bahasa istana ialah bahasa yang digunakan oleh golongan diraja di sesebuah negara. Lazimnya bahasa istana berasal daripada bahasa yang sama dengan bahasa yang dituturkan oleh rakyat jelata tetapi berbeza dari beberapa aspek, seperti perbendaharaan kata khusus dan cara mengungkapkan perkara serta tindakan tertentu. Setiap negara yang mempunyai institusi diraja akan mempunyai variasi bahasa yang digunakan oleh golongan diraja dan orang-orang yang ada hubungan dengan mereka.

Dalam sejarah, ada juga berlaku golongan diraja yang menggunakan bahasa lain selain bahasa sendiri, atas sebab-sebab tertentu, yang selalunya berkait dengan aspek status atau sikap memandang tinggi terhadap bahasa-bahasa tertentu atau sikap setia terhadap bahasa-bahasa tertentu. Istana Parsi, misalnya, apabila dijajah oleh orang Arab, bertukar kepada bahasa Arab daripada bahasa Parsi. Sejarah juga mencatatkan bahawa bangsa Seuna yang pernah memerintah negeri Karnataka di India menggunakan bahasa Kannada dan tidak bahasa Sanskrit sebagai bahasa istana.

Buku ini menghuraikan aspek perbendaharaan kata khusus yang terdapat dalam bahasa istana Kelantan. Yang akan menjadi tumpuan ialah jenis-jenis perbendaharaan kata dengan contoh-contoh penggunaannya. Perbendaharaan kata khusus bermaksud perkataan dan ungkapan yang secara khusus digunakan dalam konteks orang-orang dan suasana masyarakat di istana dan persekitarannya. Dalam bab ini, aspek perbendaharaan kata khusus dilihat dari tiga perspektif berikut: (i) Perbendaharaan kata diraja, (ii) Kata ganti nama diri, dan (iii) Ungkapan tertib.

Dengan perbendaharaan kata diraja dimaksudkan sejumlah perkataan yang digunakan apabila merujuk golongan diraja, dan yang berbeza dengan perkataan yang digunakan untuk rakyat jelata. Sebagai contoh, golongan diraja dikatakan beradu tetapi golongan bukan diraja dikatakan tidur. Apabila raja sakit, baginda dikatakan gering. Unsur perbendaharaan kata ini terdapat dalam bahasa Melayu baku dan juga dalam loghat bahasa Melayu.

Kata ganti nama ialah perkataan yang merujuk diri, seperti saya, kamu dan mereka. Dalam bahasa istana, wujud perkataan-perkataan khusus yang berbeza dengan perkataan-perkataan untuk masyarakat biasa, misalnya beta, yang digunakan oleh raja bagi merujuk diri baginda sendiri dan patik yang merupakan rujukan orang biasa bagi dirinya apabila bercakap dengan golongan diraja. Kedua-dua beta dan patik ialah kata ganti nama diri orang pertama.

Akhir sekali Bahasa Istana D’Raja Kelantan: Mercu Kegemilangan Budaya turut memerihalkan ungkapan tertib yang digunakan apabila berhubung dengan golongan istana, terutama dengan alSultan dan ahli-ahli kerabat yang dekat dengan DYMM Sultan. Antara contoh ialah ungkapan Junjung kasih, tuanku, bagi tujuan menyatakan terima kasih, dan Ampun tuanku, sebagai tanda bersetuju dengan apa yang dinyatakan, iaitu dengan maksud “Ya” dalam bahasa rakyat jelata.

Weight0.432 kg
Dimensions23.4 × 15.8 × 1.7 cm
Author(s)

,

Format

Class

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.