Bibliografi Dialek Melayu di Indonesia Timur

JAMES T. COLLINS adalah Profesor Emeritus dan juga merupakan ahli linguistik terkemuka dalam bidang linguistik komparatif, leksikografi dan sosiolinguistik. Bidang pengkhususan Collins meliputi bahasa-bahasa Melayo-Polinesia dan memberi sumbangan yang amat besar kepada bidang pengajian Austronesia.

DBP (Cetakan Kedua, 2018)
119 halaman termasuk Bibliografi dan Indeks

RM15.00

Only 1 left in stock

Product ID: 22761 Subjects: , Sub-subjects: , ,

Bibliografi Dialek Melayu di Indonesia Timur merupakan kajian yang diusahakan oleh Profesor Dr. James T. Collins dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kajian beliau berjudul Bibliografi Dialek Melayu di Pulau Borneo, Bibliografi Dialek Melayu di Pulau Jawa, Bali dan Sri Langka; Bibliografi Dialek Melayu di Pulau Sumatera telahpun terbit pada tahun 1990 hingga 1995. Kini, Profesor Dr. James T. Collins sedang mengusahakan kajian yang berjudul Bibliografi Dialek Melayu di Semenanjung Tanah Melayu.

Bibliografi Dialek Melayu di Indonesia Timur membincangkan tulisan tentang dialek-dialek Melayu yang dituturkan di sekitar Indonesia Timur. Setiap tulisan diberikan anotasi yang ringkas, tetapi jelas dan padat. Alat yang ulung sekali dalam upaya mengkaji dialekdialek Melayu tentu sahaja bibliografi dialek Melayu. Tanpa keterangan asasi tentang karya dialektologi yang telah ada, usaha seterusnya hanya dapat dilakukan dengan mencari-cari di sana sini tanpa arah dan tujuan yang jelas, bagaikan kelarai sesat taja. Dengan keinsafan akan pentingnya sumber data ini untuk penyusunan sejarah bahasa Melayu kelak, projek bibliografi dialek Melayu sudah penulis usahakan sejak tahun 1981.

Pada tahun 1982, penulis berunding dengan mendiang Dr. D.J. Prentice di Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia Tenggara dan Oseania, Rijksuniversiteit te Leiden, tentang kemungkinan kerjasama dalam projek bibliografi bahasa Indonesia/bahasa Malaysia di negeri Belanda yang giat diselenggarakannya pada masa itu. Mereka membentuk tatakerja dengan pembahagian tugas, iaitu bibliografi bahasa Melayu baku diserahkan kepada Prentice dan bibliografi dialek Melayu kepada penulis. Malahan, pada akhir tahun 1984, tugas ini diberikan kepada penulis secara rasmi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka demi menjayakan Projek Penyusunan dan Penulisan Sejarah Bahasa Melayu.

Sesungguhnya Bibliografi Dialek Melayu di Indonesia Timur disajikan untuk menarik perhatian pembaca terhadap kepelbagaian dialek Melayu di wilayah geografi itu. Kepelbagaian itu bukan hanya kepelbagaian bentuk fonologi, morfologi atau sintaksis tetapi juga kepelbagaian fungsi. Di sana dialek Melayu jarang-jarang berfungsi sebagai lambang pedesaan atau tanda keterpencilan; sebaliknya di Indonesia Timur penggunaan bahasa Melayu biasanya mencerminkan penutur yang bersikap canggih dan berpandangan moden. Pengkajian dialek di sana bukan lapangan yang wajar diminati hanya oleh sarjana yang gemar akan arkaisme dan peninggalan purba. Sememangnya, penelitian dialek di Indonesia Timur menyangkut persoalan yang serba dinamik; pendekatan sosiolinguistik sangat diperlukan untuk menanggapi suasana kebahasaan di sana, misalnya penukaran kod bahasa, pupusnya bahasa daerah dan pembentukan bahasa pergaulan yang baru.

Dalam bibliografi ini hanya tersingkap sedikit keadaan dan kedudukan bahasa Melayu di Indonesia Timur. Di sana terdapat dialek Melayu yang hanya berfungsi sebagai bahasa perantaraan tanpa banyak penutur yang menggunakan dialek itu sebagai bahasa ibunda, seperti dialek Melayu Makassar. Ada juga dialek seperti dialek Bacanyang hanya dituturkan oleh sesuatu suku yang kecil dan hampir tidak dikenal oleh suku lain. Ada juga dialek yang berfungsi sebagai bahasa ibunda bagi beratus ribu penduduk Nusantara sekali gus sebagai lingua franca bagi beratus ribu orang lain, seperti dialek Melayu Ambon atau dialek Melayu Manado. Maka dapat dilihat bahawa pengetahuan tentang dialek Melayu di Indonesia Timur bukan sekadar kegemaran ahli sejarah dan linguistik bandingan. Sebenarnya, ahli sosiolinguistik dan para perencana bahasa perlu mendalami pengkajian dialek Melayu di Indonesia Timur supaya pola persebaran dan keanekaan fungsinya turut menyoroti masalah bahasa mutakhir di segenap Nusantara.

Dalam bibliografi ini diusahakan penampilan rujukan untuk semua tulisan tentang semua dialek Melayu di Indonesia Timur yang terbit sehingga tahun 1988. Oleh sebab belum terlalu banyak penelitian linguistik yang dilakukan tentang dialek-dialek ini, maka diputuskan untuk menyajikan semua karangan yang ditulis berkenaan dengan hal dialek daerah di Indonesia Timur. Maksudnya, bukan hanya daftar kata dan esei linguistik yang diterangkan di sini, tetapi ditampilkan juga tulisan tentang adat istiadat dan pertukangan tradisional. Bahkan, karya sastera yang diwarnai kata dialek Melayu juga dicatat. Hal ini dilakukan kerana maklumat budaya serta wacana tertulis memang merupakan data dialektologi dan linguistik.

Selain terbitan yang teratur yang memuatkan karangan tentang dialek Melayu di Indonesia Timur, terutamanya jurnal Medan Bahasa dan lain-lain, terdapat juga bermacam-macam terbitan khas atau terbitan tidak bersiri yang juga mengandungi tulisan dalam bidang itu. Sesungguhnya, terdapat banyak tulisan yang tidak diterbitkan pun, maksudnya seperti latihan ilmiah, laporan penyelidikan, kertas kerja simposium dan sebagainya. Di samping itu, terdapat pula maklumat dialek dalam tulisan bidang lain, misalnya karangan zoologi, botani, etnografi, sejarah dan ekonomi. Untuk menampilkan gambaran yang benar tentang dialek Melayu di Indonesia Timur, semua jenis tulisan yang disebutkan di atas mesti diteliti dan dicatat.

Walaupun diusahakan menyemak beberapa jurnal yang mungkin memuatkan tulisan tentang dialek-dialek di Indonesia Timur, belum semuanya yang dirujuk. Ada terbitan yang tidak lengkap di semua perpustakaan yang pernab dikunjungi. Oleh itu, tentu sahaja ada tulisan yang tidak sengaja dilangkahi kerana sumbernya belum ditemukan. Selain penyemakan jurnal bersiri itu, beberapa bibliografi lain diperiksa? dan maklumat tentang berbagai-bagai dialek dikesan dan dicari. Namun demikian, usaha itu juga tidak selalu berhasil kerana ada sahaja buku atau jilid yang hilang. Mudah-mudahan kekurangan seperti itu dapat diatasi dalam cetakan lain kelak.

Prakata
Kata Pengantar

Pendahuluan
Pengenalan dan Latar Belakang
Tujuan dan Cakupan
Perihal Susunan dan Penggunaan

Catatan
Daftar Bacaan

I. Makassar
II. Manado
III. Ternate
IV. Irian Jaya
V. Bacan
VI. Ambon
VII. Kupang
VIll. Larantuka

Indeks Nama Penulis

Weight0.218 kg
Dimensions21.5 × 14 × 0.9 cm
Author(s)

Format

Class

Language

Publisher

Series

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.