Out of stock

Fosil Dialek Melayu Hulu Pahang

MOHD TARMIZI HASRAH adalah Guru bahasa Melayu (sambilan) di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

RAHIM AMAN adalah Profesor Madya di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, FSSK, Universiti Kebangsaan Malaysia.

SHAHIDI A. HAMID adalah Profesor Madya di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, FSSK, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penerbit UKM (Cetakan pertama, 2014)
112 halaman, termasuk termasuk Indeks dan Bibliografi

RM35.00

Out of stock

Fosil Dialek Melayu Hulu Pahang adalah sebuah buku yang mengkaji salah sebuah dialek Melayu yang dituturkan oleh masyarakat di Hulu Pahang. Untuk mengkaji dialek yang dinyatakan itu, buku ini menerapkan tata-kaedah ilmu linguistik perbandingan sejarawi yang dikenali juga sebagai dialektologi diakronik. Oleh sebab itu, titik tumpuan perbincangan yang terkandung di dalamnya, sebagaimana menjadi kelaziman ilmu tersebut, berlegar-legar pada dua perkara, iaitu rekonstruksi dan klasifikasi.

Fosil Dialek Melayu Hulu Pahang mengandaikan dialek purba yang dikenali sebagai Dialek Hulu Pahang Purba, atau singkatannya DHPP adalah sebuah dialek sumber, atau dialek induk, yang telah menurunkan varian semasa yang dituturkan penduduk yang tinggal di kawasan Lembangan Hulu Pahang. Klasifikasi yang dimaksudkan di atas dapat dirunut dalam dua segi. Pertama, untuk melihat hubungan DHPP dengan induknya, bahasa Melayik Purba. Tujuannya adalah untuk merungkai persoalan mengenai inovasi (atau perubahan) yang memisahkan DHPP daripada Melayik Purba di samping menyerlahkan hubungan vertikal. Justifikasi pemilihan Melayik Purba untuk dibandingkan dengan DHPP akan disentuh di tempat lain dalam buku ini.

Kedua, untuk melihat hubungan DHPP dengan varian turunannya. Dalam perenggan di atas telah dinyatakan mengenai andaian DHPP sebagai induk kepada varian yang ada di Lembangan Hulu Pahang. Jadi, secara tidak langsung penelusuran ini akan merungkai pula hubungan di antara varian yang dibandingkan dalam buku ini, iaitu hubungan yang bersifat horizontal.

Adalah penting untuk dijelaskan serba sedikit mengenai kawasan yang digelar sebagai Lembangan Hulu Pahang supaya dimensi fizikalnya terserlah. Lembangan Hulu Pahang merujuk kepada sebuah kawasan yang berlokasi di hulu Sungai Pahang atau dengan lebih tepatnya merujuk kepada kawasan barat laut negeri Pahang. Kawasan ini merangkumi perkampungan yang berderetan di sepanjang Sungai Jelai dan sebahagian Sungai Lipis (bermula dari Benta membawa ke hilirnya), termasuk juga perkampungan yang terletak di sekitarnya.

Dari satu segi, rekonstruksi yang diusahakan dalam Fosil Dialek Melayu Hulu Pahang bolehlah dikatakan sebagai suatu usaha yang penting. Dikatakan penting bukanlah bertujuan untuk masuk bakul angkat sendiri, tetapi dikarenakan oleh suatu sebab bahawa sehingga kini pun masih belum ada sebarang kajian yang pernah merekonstruksi bentuk purba dialek Melayu yang terdapat di Semenanjung.

Walaupun Asmah Haji Omar pernah mengusahakan rekonstruksi sebuah bahasa purba, yang digelarnya sebagai Bahasa Melayu Purba, dengan menggunakan data daripada pelbagai dialek Melayu Semenanjung, dalam beberapa karya beliau seperti Kepelbagaian Fonologi Dialek-Dialek Melayu (1991), Rekonstruksi Fonologi Bahasa Melayu Induk (1995), Rekonstruksi Kata Bahasa Melayu Induk (1995) dan Susur Galur Bahasa Melayu (2008). Namun, dalam kesemua karya Asmah tersebut, tumpuannya adalah rekonstruksi bahasa yang lebih tua. Bukan rekonstruksi dialek. Kalau ditinjau pula keadaan di luar Semenanjung, mungkin karya-karya, antara lainnya, oleh Bernd Nothofer, Dialek Melayu Bangka (1996) dan James T. Collins dalam makalahnya yang diterbitkan dalam Jurnal Dewan Bahasa, telah melaksanakannya.

Walau bagaimanapun, itu keadaan di luar Semenanjung. Di Semenanjung sendiri, kecuali karya-karya Asmah tersebut, masih belum ada rekonstruksi dialeknya. Kalau ada pun usaha yang sedemikian hanya bertumpu pada usaha rekonstruksi bahagian fonologi tertentu, yang dapatlah juga dikatakan sebagai sebuah usaha rekonstruksi yang bersifat serpih-serpihan dan terpecah-pecah, seperti yang dilakukan oleh Collins dalam beberapa tulisannya menerusi Jurnal Dewan Bahasa.

Ketiadaan usaha untuk merekonstruksi bahasa atau dialek pada tingkat yang lebih rendah (lower level reconstruction) seperti yang terjadi di Semenanjung sememangnya menjadi tabir ghaib yang menghalangi saujana pemahaman mengenai bahasa atau dialek pada tingkat yang lebih tinggi (higher level). Setidak-tidaknya begitulah yang diutarakan Adelaar dalam Proto-Malayic: The Reconstruction of Its Phonology and Parts of Its Lexicon and Morphology (1992). Dengan nada yang hampir sama seperti Adelaar, Collins dalam Antologi Kajian Dialek Melayu (1989) juga pernah mencatat bahawa “…kalau kita belum memperoleh gambaran yang terang tentang bahasa Melayu Induk, pengelompokan serta rekonstruksi pada peringkat yang lebih tua akan terjejas.”

Untuk melihat kaitan kenyataan Collins dengan usaha merekonstruksi dialek purba yang dilakukan dalam buku ini, mungkin cara pembacaan kenyataan beliau itu boleh dilakukan dengan cara begini: “jikalau gambaran yang terang tentang bentuk purba dialek Melayu di Semenanjung belum diperoleh, keadaan sebegitu pastinya menjejaskan pula rekonstruksi dan pengelompokan pada tingkat bahasa Melayu Induk.”

Jadi, dengan hadirnya kajian perintis melalui Fosil Dialek Melayu Hulu Pahang diharapkan tabir ghaib itu tersingkap. Penyingkapan itu pula tentunya membolehkan rekonstruksi tahap lebih tinggi dikerjakan.

New Product Tab

Here's your new product tab.

Weight 0.289 kg
Dimensions 22.8 × 15 × 0.9 cm
Edition

Format

ISBN

9789674122041

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet.

Be the first to review “Fosil Dialek Melayu Hulu Pahang”

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.