Drama Purbawara: Robohnya Kota Indera Kayangan merupakan skrip drama yang diadaptasi daripada Novel Purbawara Robohnya Kota Indera Kayangan yang diterbitkan pada 1975. Buku ini mengisahkan tentang angkatan perang Bugis yang ingin menyerang Kota Indera Kayangan ketika Sultan Dhaiauddin gering. Tujuan Bugis menyerang bukan sahaja ingin menawan kota tersebut malah ingin merampas Puteri Suria, berketurunan Bugis yang juga merupakan anak angkat Sultan Dhaiauddin. Perang ini berlanjutan hinggalah Panglima Hitam berjaya menyelamatkan Puteri Suria dan kembali ke Kota Indera Kayangan.
Robohnya Kota Indera Kayangan pada tahun 1661, apabila Baginda Sultan Dhaiauddin gering, ketika itulah angkatan perang Bugis ingin menyerang kota tersebut, di samping ingin menguasai kota Kota Indera Kayangan, ingin pula merampas Puteri Suria, berketurunan Bugis yang kini sebagai anak angkat baginda.
Baginda menitahkan Datuk Kelana, adinda Raja Permaisuri mengepalai angkatan perang menentang Bugis; akan tetapi beliau keberatan. Panglima Hitam yang menjadi galang-gantinya. Panglima begitu handal dan gagah perkasa. Kulitnya benar-benar hitam. Dia telah berhubungan dengan Puteri Suria dan ingin memperisterikannya. Baginda Sultan pun merestui perhubungan mereka. Namun, Datuk Kelana juga memuja puteri tersebut. Apabila Panglima Hitam pergi berjuang mempertahankan tanah Indera, Raja Permaisuri mendendami Puteri Suria sehingga sanggup menyuruhnya mencuci pinggan mangkuk di dapur.
Baginda Sultan semakin gering, akhirnya mangkat apabila diberitahu Panglima Hitam terkorban di laut ketika bertarung dengan angkatan Bugis. Ketika itulah jua, Raja Atullah (adinda Sultan) yang mendapat perkenan daripada pihak istana Kedah dilantik menggantikan Sultan Dhaiauddin, meskipun pada mulanya Baginda ingin melantik Tengku Ngah Putera, cucu Baginda, menggantikan Baginda.
Raja Atullah berpindah ke Bukit Pinang—sebagai kelaziman raja-raja masa dahulu, mendirikan kerajaan di tempat baharu. Ramai penduduk Indera Kayangan menurut Baginda kerana pantang derhaka kepada Raja. Tinggallah Kota Indera Kayangan menempuh kerobohannya.
Sesuatu di luar jangkaan, tiba-tiba muncul kembali Panglima Hitam ke Kota Indera Kayangan—beliau tidak terkorban, cuma terapung-apung di permukaan laut ketika melompat ke kapal perang Bugis yang jaraknya agak jauh. Panglima Hitam berpaut pada sekeping papan, terdampar di Pulau Langkawi, meminjam sebuah perahu dan belayar pulang ke Kota Indera Kayangan. Beliau bersama beberapa orang yang masih tinggal di Kota Indera Kayangan menyusul ke Istana Bukit Pinang untuk menemui Puteri Suria.
Kebetulan sekali Puteri tersebut sedang bersanding dengan Datuk Kelana. Berlakulah pertarungan yang hebat di hadapan istana antara Panglima Hitam dengan Datuk Kelana. Ketika Raja Permaisuri ingin menghalang Datuk Kelana, Baginda ditikam oleh Panglima Hitam. Akhirnya Panglima Hitam membunuh Datuk Kelana yang tercedera. Puteri Suria ingin ikut pulang bersama Panglima Hitam. Panglima Hitam menyambut baik, pulanglah mereka ke Kota Indera Kayangan.
Reviews
There are no reviews yet