Buku ini adalah terjemahan yang sah dari buku Galileo oleh Stillman Drake yang diterbitkan oleh Oxford University Press. Perihal pentingnya Galileo terhadap pembentukan ilmu pengetahuan yang moden adalah terletak sebahagiannya di dalam penemuannya dan pendapatnya mengenai fizik dan astronomi, tetapi yang lebih adalah keenggannya membenarkan ilmu sains daripada terus dibimbing oleh falsafah. Secara berperingkat, penyangkalan beliau terhadap kewibawaan ahli-ahli falsafah yang telah lama diperakui itu telah mendorong mereka merujuk kitab Injil demi mendapatkan sokongan dan di sana tercetuslah suatu penentangan untuk membebaskan penyiasatan ilmu sains yang meninggalkan kesan yang penting terhadap perkembangan masyarakat moden.
Galileo Galilei telah dilahirkan di Pisa pada 15 Februari 1564. Bapanya, Vincenzio Galilei, adalah seorang pemuzik yang mana keaslian dan bakatnya yang dipertikaikan telah mencetuskan revolusi amalan dan teori di dalam muzik sama sepertimana Galileo yang akan menyatukannya di dalam sains. Ibu Galileo, Giulia Ammannati, diketahui tetapi hanya sedikit sahaja daripada beberapa warkah yang tidak dapat memberikan gambaran yang merangsangkan tentang dirinya.
Galileo adalah anak yang tertua daripada tujuh orang adik beradik. Keluarganya menetap di Pisa sehinggalah beliau berusia lebih kurang 10 tahun dan kemudiannya berpindah ke Florence. Setelah beberapa waktu bersekolah di sana, beliau telah dihantar ke sebuah biara Camaldolesa yang lama di Vallombroso, di sana beliau amat tertarik dengan keadaannya yang tenang dan suasana belajarnya yang merangsangkan sebagai seorang ‘saudara baru’. Walau bagaimanapun, bapanya lebih suka anaknya itu mempelajari bidang perubatan dan beliau telah membawanya pulang ke Florence. Di sana dia menyambung pelajarannya semula dengan rahib-rahib dari biara Camaldolesa walaupun dia bukan lagi merupakan seorang ahli institusi berkenaan, hinggalah dia menjalani kursus matrikulasinya di Universiti Pisa pada tahun 1581.
Pada tahun 1583, Galileo menghadiri beberapa kuliah mengenai ilmu geometri yang dipelopori oleh Euclid, bukannya kuliah yang diadakan di universiti tetapi kuliah yang diadakan oleh seorang ahli matematik praktikal yang memberi khidmatnya kepada Grand Duke of Tuscany. Hal ini telah merangsang beliau untuk memulakan pengajiannya sendiri terhadap hasil kerja Euclid yang bertajuk Element. Seorang ahli matematik diraja bernama Ostilio Ricci segera mengenali bakat Galileo melalui soalan-soalan yang dikemukakan oleh beliau itu. Beliau kemudiannya memohon kepada Vincenzio supaya membenarkan Galileo menumpukan perhatiannya kepada matematik, tetapi bagi bapa Galileo, dia ingin melihat anaknya itu terlebih dahulu menamatkan pengajiannya di bidang perubatan. Walau bagaimanapun Galileo tidak mengabaikannya, beliau telah mempelajari bidang matematik dan falsafah, dan meninggalkan Universiti Pisa pada tahun 1585 tanpa mempunyai apa-apa ijazah pun.
Reviews
There are no reviews yet