Hikayat Panca Tanderan

Diterjemah oleh ABDULLAH MUNSYI

DBP (Ulang Cetak, 2016)
84 halaman termasuk Glosari

RM10.00

Only 1 left in stock

Edisi Hikayat Panca Tanderan ini diterjemahkan oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi daripada Bahasa Tamil. Panca Tanderan berasal daripada bahasa Sanskerta, iaitu Pancatantra. Pancatantra merupakan karya Sanskerta yang terkenal. Ia mengandungi peradaban yang tinggi dan pengajaran yang membina masyarakat. Disebabkan ketinggian mutu karya inilah, maka ia telah diterjemah dan disadur ke dalam beberapa bahasa di Asia dan Eropah, seperti Parsi, Arab, Latin, Inggeris, Jerman, Perancis dan beberapa bahasa lagi.

Terdapat banyak penyelidikan dilakukan mengenai asal usul Pancatantra ini. Akan tetapi, dipercayai versi asli Pancatantra ini telah hilang. Terjemahan awalnya dalam bahasa Pahlawi juga telah hilang. Yang ditemui dan termasyhur hingga sekarang ialah versi terjemahan dalam bahasa Arab. Kebanyakan terjemahan dan saduran ke dalam bahasa Eropah dan Asia itu berdasarkan versi Arab ini. Versi Arab ini diberi judul Kalilah wa Dimnah. Kemudian daripada versi Arab ini juga telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan judul Kalilah dan Dimnah.

Dalam bahasa Melayu terdapat beberapa versi Pancatantra. Yang terkenal ialah Kalilah dan Dimnah dan Hikayat Panca Tanderan. Kalilah dan Dimnah daripada versi Arab telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1962. Manakala, Hikayat Panca Tanderan pula diterjemahkan oleh Abdullah Munsyi pada tahun 1835 daripada versi Tamil. Kemudiannya, terjemahan Abdullah Munsyi ini diterbitkan oleh Oxford University Press pada tahun 1965.

Hikayat Panca Tanderan terjemahan Abdullah Munsyi daripada versi Tamil ini dianggap berasal daripada versi yang tertua. Terdapat perbezaan antara Hikayat Panca Tanderan dengan Kalilah dan Dimnah. Hikayat Panca Tanderan dianggap berasal daripada versi yang tertua, hanya mengandungi lima bab cerita pokok. Sedangkan Kalilah dan Dimnah terjemahan versi Arab mengandungi 13 bab atau lebih cerita pokok. Hal ini menunjukkan versi Arab itu telah mengalami tokok tambah dengan cerita-cerita yang lain.

Hikayat Panca Tanderan lebih hampir kepada versi asalnya yang terdapat dalam bahasa Sanskerta. Cerita bermula dengan Raja Sugadarma dari negeri Padali Parum (cerita asal versi Tamil disebut Raja Sugadarma dari negeri Padalipurvam berbanding dengan versi Sanskerta yang menceritakan Raja Amarasakti dari negeri Mahilaropya) berasa dukacita terhadap kebodohan empat orang puteranya yang bakal mewarisi takhta kerajaan. Seorang Berahmana bernama Sumasanma telah menyanggupi untuk memberi nasihat dan mengajari putera-putera raja itu hingga menyedari kedudukan diri mereka. Kisah ini tidak terdapat dalam versi Arab dan versi-versi terjemahan darinya. Kalilah dan Dimnah menceritakan kisah seorang ahli falsafah Baidaba yang berasa bimbang terhadap kezaliman rajanya Dabsyalim. Baidaba memberikan nasihat kepada raja itu, tetapi pada mulanya raja itu tidak menurutinya, malah Baidaba dimurkai. Kemudian, setelah sedar akan kesalahannya, Raja Dabsyalim telah meminta Baidaba mengarang sebuah buku yang mengandungi nasihat-nasihal kepadanya dan orang ramai.

Weight0.132 kg
Dimensions21.5 × 14 × 0.7 cm
Format

Class

Language

Publisher

Series

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.