Hubungan Politik dan Sosiobudaya China-Dunia Melayu hingga Kurun ke-15 Masihi bertemakan hubungan politik dan sosiobudaya China dan dunia Melayu antara awal kurun Masihi sehingga kurun ke-15 Masihi memaparkan pelbagai skop kajian yang dirangkumkan untuk merungkai peristiwa-peristiwa penting yang berlaku antara kedua-dua wilayah dalam jangka masa tersebut. Peristiwa-peristiwa politik dan sosiobudaya ini penting daripada perspektif sejarah kerana boleh dimanfaatkan oleh generasi mendatang dalam usaha memupuk kesatuan bangsa.
Skop perbincangan yang dibahagikan kepada sembilan buah artikel ini setiap satunya merangkumi ciri-ciri kewujudan masyarakat awal di Nusantara seperti kegiatan yang dilakukan, konsep hunian, penyebaran dan pengaruh agama, hubungan kecendekiawanan, dan tidak lupa juga jalinan diplomatik antara dunia Melayu di Nusantara dengan negara China sejak awal kurun Masihi lagi. Sesungguhnya, jalinan kerjasama dan hubungan antara kedua-duanya telah membuka dimensi baru dalam dunia perdagangan, hubungan politik, sosioekonomi dan juga kebudayaan. Hal ini sekali gus telah memperkayakan khazanah politik dan sosiobudaya dalam dunia Melayu.
Buku ini memaparkan hubungan politik dan sosiobudaya awal yang pernah wujud antara sebuah kuasa besar di Asia dan juga dunia pada masa lalu dengan dunia Melayu yang sangat berpengaruh dalam bidang ekonomi dan perdagangan sejak awal kurun Masihi lagi. Dunia Melayu dalam konteks ini, daripada segi geografinya sangat luas yang meliputi kawasan kepulauan Nusantara. Malahan jika ditinjau daripada aspek bahasa dan budaya jelas bahawa wilayah dunia Melayu ini bukan hanya di Nusantara tetapi juga meliputi wilayah yang jauh lebih luas yang menjangkaui Taiwan, Assam, Benggal Timur, Andaman dan Nikobar di Lautan Hindi.
Pemaparan tentang kewujudan sejarah kerajaan awal ini jelas menunjukkan bahawa kewujudan negeri-negeri Melayu dengan raja yang berdaulat pada masa kini ada akar umbinya yang berdasarkan akar budaya tempatan Nusantara dan bukannya berasal daripada luar Nusantara. Adanya hubungan awal dengan China sejak awal Masihi lagi jelas menunjukkan bahawa kewujudan kerajaan awal dalam dunia Melayu mendapat pengiktirafan kuasa politik dan ekonomi terbesar dunia pada ketika itu.
Perbincangan yang dimuatkan dalam Hubungan Politik dan Sosiobudaya China-Dunia Melayu hingga Kurun ke-15 Masihi ditulis dan dikumpul berdasarkan kepakaran penulis masing-masing daripada pelbagai latar belakang, di bawah tema yang sama. Penulisan ini memberikan pengetahuan kepada pembaca tentang hubungan awal yang pernah wujud antara negara China dan negara-negara yang pernah wujud di dunia Melayu suatu ketika dahulu. Pengetahuan ini sangat penting bagi membentuk satu dasar yang dapat difahami oleh semua lapisan masyarakat yang mendiami wilayah dunia Melayu agar dapat mewujudkan kesatuan bangsa yang utuh di negara ini.
Reviews
There are no reviews yet