Out of stock

Islam dan Dasar Pemerintahan: Sebuah Kajian Tentang Kedudukan Khilafah dan Kerajaan dalam Islam

ALI ABDUL RAZIQ (b. 1888 – d. 1966) adalah antara ulama Al-Azhar dan hakim mahkamah syariah di Mesir. Beliau merupakan antara anak murid kepada Muhammad ‘Abduh. Selain mendapat pendidikan di Al-Azhar dan Universiti Mesir (sekarang Kaherah), beliau juga mendapat pendidikan dalam bidang ekonomi dan politik di Universiti Oxford.

Diterjemah oleh AL-MUSTAQEEM MAHMOD RADHI dan FARHAN AFFANDI

Terjemahan dari karya asal Al-Islam Wa Usul Al-Hukm: Bahth Fi-l Khilafa Wa-l Hukuma Fi-l Islam.

Institut Kajian Dasar (Cetakan kedua, 2015)
130 halaman, termasuk Rujukan dan Indeks

RM20.00

Out of stock

ISBN: 9789838840743 Product ID: 1954 Subject: Sub-subjects: , , , ,

Islam dan Dasar Pemerintahan: Sebuah Kajian Tentang Kedudukan Khilafah dan Kerajaan dalam Islam ialah terjemahan daripada karya asal yang berjudul Al-Islam Wa Usul Al-Hukm: Bahth Fi-l Khilafa Wa-l Hukuma Fi-l Islam karya Ali Abdul Raziq. Buku mengandungi hujah bahawa doktrin khilafah tidak mempunyai asasi di dalam Islam. Penerbitan buku ini telah menimbulkan kontroversi hebat di Mesir, menyaksikan pengarangnya dipinggirkan oleh golongan ulama konservatif.

Islam dan Dasar Pemerintahan pernah menimbulkan keributan. Bahkan, ia mungkin buku paling ribut yang pernah ditulis oleh seorang ulama dalam abad ke-20. Akibat penulisan buku ini, status “syeikh” ditarik dari beliau. Kerana buku ini, Universiti Al-Azhar menghukum penulis sebagai sesat, menggantungnya dari mengajar dan menarik kembali ijazah yang diberikan kepada penulis.

Tesis yang dikemukakan oleh sang penulis dianggap mencabar fahaman Islam sebagai agama. Dan agama di sini difahami sebagai satu sistem kehidupan yang menyeluruh Islam bukan sahaja akidah atau keyakinan terhadap realiti metafizik, kewujudan alam trasendan (transcendent) dan nasib manusia selepas matinya, tetapi juga satu sistem pengaturan kekuasaan, siapa yang layak dan berhak memerintah dan bagaimana cara memerintah. Ali Abdul Raziq menolak fahaman ini. Pada beliau, Islam tidak merangkumi politik atau urusan kenegaraan. Rasul tidak diutuskan untuk menegakkan sebuah negara. Urusan duniawi politik, ekonomi dan sebagainya adalah terlalu rendah, maka tidak wajar Allah SWT mengutuskan rasul untuk menyelesaikan persoalan itu.

Maka, dalam sejarah intelektual umat Islam di abad ke-20, Ali Abdul Raziq tersohor sebagai penganjur sekularisme—sekularisme di sini dalam pengertian agama; iaitu Islam perlu dipisahkan dari politik; Islam jangan campur tangan dalam urusan kenegaraan. Beliau mengemukakan hujah sejarah dan dalil syar’ie untuk menyanggah khilafah sebagai satu institusi agama. Dan antara sasaran hujah beliau adalah pendapat tokoh salafi par excellence Muhammad Rashid Ridha, yang tertera dalam bukunya Al-Khilafah wa Imamah al-Uzma. Rashid Ridha kemudiannya menyanggah hebat pandangan Ali Abdul Raziq dalam Al-Manar; jurnal salafi yang beliau pimpin.

Ironisnya, Ali Abdul Raziq dan Rashid Ridha adalah kedua-duanya anak murid kepada reformis besar Sheikh Muhammad Abduh. Mungkin kerana kebesarannya maka Abduh merupakan mata air kepada beberapa aliran, termasuk dua aliran yang masih ‘berperang’ hingga kini.

Satu aliran dipimpin oleh Rashid Ridha editor Al-Manar. Meskipun pengaruh beliau muram di hujung hayatnya, tetapi aliran ini mendapat nafas baru dan meledak dalam tangan seorang tokoh yang menghirup ilham dari Al-Manar. Tokoh tersebut tidak lain dari Hassan al-Banna, pengasas Ikhwan Muslimin; gerakan Islam yang paling berpengaruh dalam abad ke-20.

Ali Abdul Raziq menjadi antara pengasas aliran sekular. Tokoh-tokoh lain yang mengasaskan aliran sekular di dunia Arab ialah antaranya, Farah Antun, Shibli Shumayyil, Salamah Musa, Luth al-Sayyid dan Taha Husayn. Tokoh-tokoh ini mungkin lebih prolifik, tetapi mereka melakukan advokasi sekularisme dari luar, dibandingkan dengan Ali Abdul Raziq. Tulisan Ali Abdul Raziq menjadi begitu dramatik kerana beliau menyemai. atau cuba menyemai benih pemikiran sekular dari dalam kubu yang berabad-abad dianggap sebagai penakrif dan penafsir rasmi Islam arus perdana. Mungkin kerana syeikh-syeikh di Al-Azhar menyedari begitu besar bahayanya benih yang ditaburkan oleh ulama muda ini maka reaksi terhadap beliau begitu keras.

Rashid Ridha membawa pemikiran agung gurunya kepada aliran salafi yang semakin hampir kepada Wahabi. Pada tangan Rashid Ridha, dimensi rasional pemikiran Abduh terbantut. Beliau tidak mengikut jejak gurunya yang lebih mempercayai peranan akal dalam agama, dan beliau juga tidak mengikut jejak gurunya dalam menolak ijmak. Ali Abdul Raziq membawa dimensi rasional pemikiran Abduh ke haluan yang lebih berani dan kontroversi, menjadikannya senjata untuk menyanggah pendapat bahawa khilafah adalah sebahagian dari Islam dan satu keperluan kepada umat. Pada beliau, hanya satu hujah agama yang dikemukakan untuk menyokong institusi khilafah, iaim ijmak, dan beliau mengkritik pandangan Rashid Redha terhadap ijmak.

Reaksi yang seperti histeria di kalangan ulama pada waktu itu terhadap pandangan Ali Abdul Raziq hanya boleh difahami kalau Islam dan Dasar Pemerintahan dilihat dalam konteks masa penerbitannya. Islam dan Dasar Pemerintahan diterbitkan hanya setahun setelah umat Islam di seluruh dunia digegarkan oleh penghapusan khilafah oleh Mustafa Kamal Attaturk. Dari segi idea, gegaran ini lebih dahsyat dad jatuhnya kota Baghdad ke tangan Mongol yang dipimpin oleh Hulagu dalam tahun 1258. Khilafah dilihat sebagai simbol, kalau pun tidak realiti, kepada perpaduan umat Islam. Khilafah dalam sistem politik umat adalah seperti Kaabah dalam arah kerohanian. Langkah Mustafa Kamal boleh dilihat seperti Copernican moment dalam sejarah umat Islam dan Ali Abdul Raziq, secara sedar atau tidak, memberikan justifikasi intelektual dan syafie kepada langkah tersebut. Sebagai reaksi kepada kejutan itu, muncul gerakan untuk menghidupkan semula khilafah dan Rashid Ridha memainkan peranan yang penting dalam agitasi tersebut. Persidangan demi persidangan dianjurkan: persidangan pertama (1926) di Al-Azhar dan dipengerusikan oleh rektornya sendiri, diikuti satu persidangan di Mekah dalam tahun yang sama, di Baitul Maqdis dalam tahun 1931 dan di Geneva dalam tahun 1935. Semua persidangan mengulangi dan menegaskan kembali kedudukan khilafah sebagai sebahagian daripada agama.

Rashid Ridha menuduh Islam dan Dasar Pemerintahan sebagai usaha terbaharu musuh-musuh Islam untuk melemah dan memecahbelahkan Islam dari dalam. Dan seorang dari pensyarah Al-Azhar,

Sheikh Muhammad Bakhit al-Muti’i, menulis buku Haqiqat al-Islam wa Usul al-Hukm untuk menjelaskan pendirian para ulama dan mengapa tindakan keras diambil terhadap Ali Abdul Raziq. Separuh hujahnya bersifat syar’ie untuk menjawab aspek syafie dari hujah Ali Abdul Raziq dan separuh lagi bersifat politik seperti yang terdapat dalam sanggahan Rashid Ridha. Tetapi, dalam keras usahanya untuk menyanggah dan membetulkan pendapat musuh intelektualnya Sheikh Bakhit secara tidak sedar juga telah makan dengan hujah lawannya. Beliau menegaskan bahawa keabsahan atau legitimasi khilafah, atau kepimpinan, datangnya semata-mata dari ummah dan pemerintahan Islam adalah satu pemerintahan yang demokratik, bebas, berasaskan syura dan diketuai oleh seorang khalifah atau Imam sejagat.

Apakah akhirnya perdebatan sengit ini semata-mata bersifat Wittgensteinian—persoalan kekeliruan istilah dan perbedaan menggunakan bahasa?

Weight0.164 kg
Dimensions20 × 13.1 × 0.8 cm
Author(s)

, ,

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.