Islam, Feminisme Barat dan Sastera Melayu menjurus kepada persoalan yang sering mendapat perhatian dalam medan kesusasteraan iaitu wanita serta pemerihalan dan penampilannya dalam karya kreatif. Dalam konteks sastera Melayu, persoalan ini perlu berdepan dengan tiga unsur penting iaitu perspektif Islam, budaya Melayu dan teori Barat khususnya feminisme, yang terakhir selaku kerangka analisis yang kerap menjadi pilihan penulis kreatif dan juga pengkritik.
Sejauh manakah persoalan tersebut telah ditangani secara adil dan saksama, sesuai dengan pengungkapannya dalam karya kreatif dan kritikan yang berlatarkan budaya dan akal budi Melayu-Islam? Atau, adalah persoalan tersebut dikesampingkan sebagai tidak relevan kerana budaya Melayu dan agama Islam dianggap sedia tertanam secara tersirat dalam tulisan yang terhasil?
Buku ini mengetengahkan perbincangan mendalam daripada perspektif Islam dan juga feminisme Barat agar keduanya dapat dihayati serentak untuk membolehkan kita menjawab dengan objektif dan tepat satu soalan penting, relevan dan serius, yang memang wajar diajukan: benarkah sastera dan kritikan kita telah diperkayakan secara berhikmah dan bijaksana dengan penerapan idea-idea feminisme Barat?
Dalam soal hubungan seperti ini, dan merujuk secara khusus kepada sastera Melayu, jelas teori feminisme begitu menarik perhatian para sarjana dan pengkritik terutama sarjana dan pengkritik wanita. Fahaman feminisme serta teori sastera feminis cetusannya seperti yang diutarakan oleh Sandra Gilbert serta Susan Gubar dan juga Elaine Showlater sering menjadi kerangka pilihan dan diutamakan dalam urusan perungkaian teks.
Reviews
There are no reviews yet