Out of stock

Jawa di Balik Tabir

NORIAH MOHAMED adalah Profesor Madya dalam Kesusasteraan Jawa. Selain mengajar di Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau juga menjadi pensyarah tamu di Institute of Asian and African Studies, Universiti Moscow selain memberi kuliah di Institute of Oriental Studies Saint Petersburg, Rusia. Sebagai mengenang sumbangan beliau bersama-sama mendirikan Pusat Pengajian Nusantara di Institute of Asian and African Studies Universiti Moscow, Noriah dianugerah Medal of Pushkin.

Penerbit UKM (Cetakan pertama, 2001)
280 halaman termasuk Rujukan dan Indeks

RM40.00

Out of stock

Jawa di Balik Tabir memberi tumpuan kepada beberapa sosok dalam pengajian Jawa mencakupi bahasa, kesusasteraan, wira dan tokoh serta hubungan kesusasteraan Jawa dan Melayu. Kajian ini juga merupakan pengembangan daripada karya Noriah Mohamed terdahulu, iaitu Jayengbaya: Memahami Pemikiran Orang Jawa. Karya tersebut telah mendapat sambutan baik terutama dalam pembelajaran sastera dan telah diulang cetak dalam waktu dua tahun dan juga telah memenangi salah satu hadiah daripada Hadiah Buku Kebangsaan 1994. Suatu hal yang menarik ialah buku tersebut telah mengundang perbahasan daripada pembaca, lebih-lebih lagi daripada mereka yang berketurunan Jawa yang ingin mencari jati diri. Justeru sebagai penerus garis yang sudah dilakar, Jawa di Balik Tabir akan cuba memaparkan Jawa dari perspektif bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan yang dikaitkan pula dengan kesusasteraan tempatan.

Karya-karya yang ditampilkan ini adalah sebahagian tulisan yang pernah terbit dan makalah yang dibentang di dalam dan luar negara. Penulisan-penulisan ini hanya sekadar pengenalan yang memerlukan suatu penelitian yang mendalam pada masa-masa mendatang. Pengembangannya yang lain akan dibuat secara lebih jitu terutama yang berkaitan dengan pemikiran dan kehidupan masyarakat Jawa. Pada bahagian pertama disentuh latar belakang masyarakat Jawa secara umum yang mencakup pelbagai aspek sama ada dari segi geografi, sejarah dan budaya. Sumber diolah kembali daripada beberapa penulisan terutama oleh Koentjaraningrat (1984).

Bahagian kedua menyorot kesusasteraan Jawa dari perspektif aksara dan perlambangan sebagaimana yang amat kerap digunakan dalam setiap pencernaan. Aksara Jawa dilihat dari perspektif makna dan realiti penggunaannya di Malaysia. Kebanyakan keturunan Jawa di Malaysia sudah bukan lagi orang Jawa, tetapi adalah orang Melayu yang punya hak dan kedudukan sebagaimana termeterai di dalam perlembagaan. Melalui bahasa dan tulisan dapat pula dicerna gambaran jiwa dan fikiran masyarakat ini yang terbukti unggul dalam peradaban leluhur. Dalam kelompok ini disediakan lima tulisan sebagai pembuktian bahawa kesusasteraan Jawa adalah kesusasteraan yang kaya dengan khazanah yang dapat dicontohi oleh pencinta sastera di Malaysia.

Bahagian ketiga lebih menitikberatkan kepada wira-wira Jawa, walaupun mereka tidak terlepas daripada aroma kehinduan seperti tokoh-tokoh dalam Mahabharata dan Ramayana. Mereka sudah dianggap sebahagian daripada wira kepunyaan Jawa kerana sifat-sifat yang sudah di jawakan. Harus disedari bahawa budaya Hindu sudah berakar lama di Jawa sejak kurun keempat lagi dan sehingga kini pun tinggalan-tinggalan mereka masih boleh disaksikan sebagai lambang pewujudan pengaruhnya.

Mengenai pengarang Jawa yang berwibawa pula, Jawa di Balik Tabir menyentuh pelbagai aspek dan dibahagikan kepada beberapa pembahagian seperti bahasa, kesusasteraan, wira dan tokoh, kesusasteraan Jawa dan kaitannya dengan budaya Melayu. cuba menyorot tokoh Ranggawarsita yang dianggap sebagai tokoh pujangga Agung Jawa terakhir yang amat sukar untuk dicari ganti. Beliau menjadi pelopor dalam penulisan sehingga dianggap sebagai manusia lengkap kerana dapat meramal perkara-perkara yang akan terjadi. Dalam tradisi penulisan kesusasteraan sama ada Jawa Kuno, Tengahan atau Baru ramai tokoh pujangga yang muncul seperti Mpu Tantular, Mpu Seddah dan Panuluh yang memberi sumbangan yang tidak ternilai.

Dalam bahagian kesusasteraan Jawa Moden telah ditampil beberapa novel karya penulis baru yang kondang seperti karya Arswendo Atmowiloto, Ahmad Tohari dan Umar Kayam. Ketiga-tiga karya ini disorot dari perspektif yang berkaitan dengan pandangan jagat Jawa. Kesusasteraan Jawa cuba dikaitkan dengan kesusasteraan Melayu tradisional terutama yang berkaitan dengan pewayangan, lipur lara Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Dalam perspektif ini akan cuba disorot beberapa persamaan dan kelainan di antara tokoh-tokoh yang ditampilkan seperti Hang Tuah lima bersaudara dengan Pendawa lima bersaudara.

Dalam bahagian budaya beberapa tulisan yang berkaitan dengan budaya warisan yang masih diamalkan oleh masyarakat Jawa di beberapa tempat turut disertakan sebagai pembuktian bahawa budaya warisan tidak pernah luntur, walaupun kehidupan masyarakat ini sudah berbaur dengan masyarakat tempatan dan terpengaruh dengan senario budaya masa kini. Kelompok ini masih dapat mempamerkan budaya warisan dalam perspektif jual beli dan perubatan. Walaupun mereka masih mengekalkan tradisi kejawaan, namun mereka sudah memantapkan diri bahawa di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung.

Buku yang terdiri daripada pelbagai jalur dan warna yang kesemuanya terjalin dalam satu rantai yang merentasi bahasa, sastera dan budaya diharapkan dapat dimanfaatkan sebagai suatu sarana untuk mengenali masyarakat Jawa yang mapan dengan ketamadunan yang dapat dibanggakan. Semoga terkikislah tanggapan negatif yang sering menjadi momok kepada masyarakat Jawa di Malaysia bahawa mereka juga punya jati diri.

Senarai kependekan
Senarai gambar
Pendahuluan

BAHAGIAN I – PENDAHULUAN
1. Latar belakang Masyarakat Jawa

BAHAGIAN II – BAHASA DAN KESUSASTERAAN
2. Aksara Jawa dalam Kehidupan Orang Jawa
3. Penggunaan Bahasa Jawa di Kampung Batu Satu Sapintas
4. Kesusasteraan Jawa Seimbas Lalu
5. Tembang Macapat sebagai Teknik Penulisan
6. Perlambangan dan Makna dalam Teks Jawa
7. Unsur Erotik dalam Damar Wulan
8. Anjasmara pada Pandangan Hindu, Jawa dan Islam
9. Kewajaran Cerita Panji dalam Kehidupan Masa Kini

BAHAGIAN III – TOKOH DAN PENGARANG JAWA
10. Wira dalam Kesusasteraan Jawa Klasik
11. Raden Ngabehi Ranggawarsita sebagai Pujangga Jawa

BAHAGIAN IV – KESUSASTERAAN JAWA MODEN
12. Pandangan Wanita Jawa dalam Canting karya Arswendo Atmowiloto
13. Para Priyayi
14. Bekisar Merah dan Isteri: Sejambak dan Serumpun

BAHAGIAN V – HUBUNGAN KESUSASTERAAN JAWA DENGAN KESUSASTERAAN MELAYU
15. Hubungan Kesusasteraan Jawa dengan Kesusasteraan Melayu Tradisional
16. Hikayat Sempurna Jaya: Suatu Adaptasi Pewayangan
17. Malim Dewa daripada Sorotan Jawa
18. Tuah dan Pendawa: Dua Jalur yang Sama Makna

BAHAGIAN VI – KEBUDAYAAN
19. Jawa: Di Mana Bumi Dipijak di Situ Langit Dijunjung
20. Jawa di Balik Tabir
21. Konsep Ngedol Arep Tuku Gelem dalam Budaya Jawa dan Penerapannya dalam Masyarakat Jawa di Kelang
22. Jawa di Malaysia: Ke Mana Arahnya?
23. Adat Jawa dan Penerimaannya di Malaysia
24. Perubatan Tradisional dalam Masyarakat Jawa di Sabak Bernam Selangor

Rujukan
Indeks

Weight0.407 kg
Dimensions22.5 × 15 × 1.1 cm
Author(s)

Format

Language

Publisher

Year Published

Reviews

There are no reviews yet

Only logged in customers who have purchased this product may leave a review.